TAZKIRAH : UMUR ITU MODAL

 TAZKIRAH : UMUR ITU MODAL


Umur ialah modal untuk kita menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Umur ialah kurniaan daripada Allah yang dengannya kita membuat sebanyak banyak ketaatan demi mencapai kebahagiaan di syurga. 

Justeru, umur mesti digunakan secara optimum. Dalam apa jua keadaan, umur ialah kesempatan yang tidak boleh dipersiakan. Bagi hamba Allah yang taat, umur ialah peluang untuk terus menambah sebanyak-banyaknya kebaikan dan kebaktian. Bagi yang derhaka, umur ialah kesempatan untuk bertaubat dan membetulkan diri.

Baginda mengingatkan akan keutamaan usia ini melalui sabdanya yang bermaksud: 

"Janganlah salah seorang antara kamu mengharapkan kematian, jika dia orang yang berbuat baik maka mungkin sahaja kebaikannya akan bertambah dan jika dia orang yang berbuat buruk, mungkin sahaja dia akan memohon keampunan." 
(Riwayat al-Bukhari)

Panjang dan pendek umur manusia adalah tidak sama. Kita datang ke dunia seperti menaiki sebuah bas dengan destinasi yang berbeza. Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun terlebih dahulu. Ada masanya yang naik dahulu akan turn kemudian dan ada pula yang naik kemudian, tetapi turun terlebih dahulu. Maksudnya, ada manusia yang baru dilahirkan tetapi usianya tidak panjang, sudah sampai ajal dan pendek umurnya. Ada pula yang lahir lebih awal, tetapi masih hidup berbanding yang lahir kemudian. Penetapan ajal ini sangat rahsia dan hak mutlak Allah menentukannya. 

Oleh sebab umur tidak diketahui panjang atau pendeknya, kita harus bersedia bila-bila masa untuk dipanggil bertemu llahi. Setiap individu mempunyai ketetapan masing-masing. Penetapan usia itu telah ditentukan semasa manusia di alam rahim lagi. Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kematian, celaka atau bahagianya kita.

Abdullah bin Mas'ud RA berkata, "Rasulullah SAW seorang yang benar serta dipercayai bersabda, 'Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Sebaik sahaja genap 40 hari kali kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari, kali ketiga, bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya ditulis empat perkara iaitu rezekinya, tempo kematiannya, amalannya serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan."
(Riwayat al-Bukhari no. 3154)


Wallahu'alam.


No comments