TAZKIRAH : KEBERKATAN

 TAZKIRAH : KEBERKATAN 


Maksud berkat:

Dari segi bahasa:
Berkat "barakah" maksudnya bertambah (al-ziyadah) dan berkembang. Kata ini digunakan untuk menunjukkan "kebaikan yang banyak" seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud; "Kitab penuh berkat" dan "malam penuh berkat", iaitu dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.

Rasulullah SAW juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, "Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya." Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah. Al Hafiz Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.

Ringkasnya. keberkatan dalam sesuatu itu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya.

Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan dan ibadah kita. Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang diakibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya. Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya.

Wallahu’alam.

TAZKIRAH : CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT

 TAZKIRAH : CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT


Syukur adalah satu pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memuji-Nya.

Hakikatnya, menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya.

 

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya.

 

Firman Allah S.W.T:

 وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

MaksudnyaBersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.

                                                                                                                                           Surah al-Nahl (114)

 

Pertama: Hendaklah memuji Allah S.W.T di atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

Kedua: Lakukanlah amalan-amalan sebagai satu bentuk dan tanda kesyukuran Allah S.W.T.

 

Akhir kalam, marilah kita melazimi dengan berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman AS:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

MaksudnyaWahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

Surah al-Naml (19)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Amin



Rujukan:Al-Kafi #1110 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 


Senarai kopi paling mahal di dunia.

Senarai kopi paling mahal di dunia.


9- Kopi Hawaiian Kona. RM155 / 500gm
Kopi Hawaiian Kona merupakan salah satu biji kopi di dunia yang hanya tumbuh di Pulau Hawaii. Itu sebabnya harga kopi ini sangat tinggi. Hanya menggunakan 10% biji kopi kona dan 90% sisanya dicampur dengan biji kopi import atau tempatan. 




8- Kopi Los Planes rm183.50 / 500gm
Tak jauh dari Honduras, El Salvador yang masih terletak di kawasan Amerika Tengah. Industri kopi berkembang pesat di El Salvador dan merupakan hasil bumi utama.

Kopi Los planes diusahakan di wilayah pergunungan Chalatenango dan pernah mendapatkan penghargaan sebagai juara di Cup of Excellence pada 2006 dan tempat ke-6 pada tahun 2011. 






7-Kopi Fazenda Santa Ines. RM229 / 500gm
Kopi ini berasal dari Brazil dan sangat terkenal dengan cita rasa uniknya, kerana rasa manis dengan aroma buah-buahan yang kuat. Biji kopi Fazenda Santa Ines didapat dari kaki Gunung Mantiquera, Brazil. Kopi tersebut sebenarnya sudah diolah secara tradisional lebih dari 100 tahun lalu.




6- Kopi Blue Mountain. Lebih rm230 / 500gm
Selain negara yang menghasilkan bauksit terbesar, ternyata Jamaica memiliki kopi enak yang terkenal seluruh dunia. Kopi Blue Mountain memiliki reputasi baik, tumbuh di ketinggian 5000 kaki di atas permukaan laut. Kopi ini ditanam di Kawasan pergunungan Gunung Blue Jamaica.

Tentunya dengan curah hujan yang tinggi mempengaruhi pertumbuhannya ketika diproses. Kopi ini terkenal karena hampir tak memiliki rasa pahit. Negara Jepun merupakan salah satu pengimport terbesar kopi ini.






5-Kopi St, Helena. Rm361 / 500gm
Napoleon Bonaparte, seorang pemimpin tentera yang sangat hebat adalah peminat kopi ini. Dan beliau sendiri menanamnya di Pulau St. Helena. Dari situ lah asal usul nama kopi hebat ini. 
Istimewanya dari kopi ini adalah ditanam dan diproses selama empat bulan untuk mengeringkan dan menjemur biji kopinya. Kopi ini juga ditanam di tengah-tengah Lautan Atlantik kira-kira 1931km dari pantai barat Afrika. Sebab tu mahal kan? Kena naik bot pula kopi ini. Banyak kos dia.

Selain itu, kopi Saint Helena memiliki rasa yang menakjubkan dengan floral-fruity hints a la citrus dan caramel.





4- Kopi Luwak. RM732 / 500gm
Kopi luwak memang sudah menjadi ciri khas kopi Indonesia yang terkenal dan sangat mahal. Ini kerana cara menghasilkan biji kopinya yang cukup unik. Biji kopi didapatkan melalui proses fermentasi di dalam tubuh Musang Luwak yang memang gemar makan buah kopi.  

Aroma dan rasa kopi luwak memang terasa special dan sempurna di kalangan para penggemar dan penikmat kopi di seluruh dunia. 






3- Kopi Hacienda La Esmeralda. RM1,600 / 500gm
Antara pemegang rekod kopi termahal ternyata dipegang oleh kopi Hacienda la Esmeralda dengan harga yang mahal ini ditanam di lereng Gunung Baru di Panama.

Kopi ini mendapatkan penghargaan tertinggi dan memenangi pelbagai anugerah ini cukup susah ditanam dan dihasilkan. 





2- Kopi Finca El Injerto. RM2,287 / 500gm.
Kopi Finca El Injerto diambil dari biji kopi jenis Bourbon yang tumbuh di ketinggian 1.500-1.900 di atas permukaan laut dan 100% biji kopi Arabika. Biji kopi ini sangat kecil dan jarang ditemui. 

Finca El Injerto Coffee punya aroma khas yang didominasi wangi bunga dan tanaman herbal, tapi ada juga rasa hazelnut dan coklat yang manis ketika diminum





1- Kopi Ivory Black. RM2,488 / 500gm
Status kopi termahal di dunia jatuh pada Black Ivory Coffee yang berasal dari Thailand Utara. Secara teknikal, proses mendapatkan biji kopi ini mirip seperti kopi luwak, hanya saja Black Ivory Coffee dicerna dalam perut gajah. 

Buah tanaman kopi yang dimakan gajah akan dicerna sekitar 20-72 jam sebelum keluar dalam bentuk feces . Rasa pahitnya akan jauh berkurang, kerana proses fermentasi dan pencampuran protein dalam sistem pencernaan gajah.

Pendiri Black Ivory Coffee Company Ltd. memerlukan 10 tahun untuk menyempurnakan penghasilan kopi tersebut. Bayangkan, 33 kilogram buah kopi yang dimakan gajah hanya menghasilkan sekitar satu kilogram biji kopi. Sebab itu mahal kan?

#MamajuraShareKopi

Teringin la nak g Hawaii 😂








TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR

 TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR


Ketahuilah makhluk yang namanya manusia ini, jikalau sudah punyai segunung emas maka pasti masih inginkan yang kedua. Jikalau sudah miliki yang kedua, dia akan inginkan yang ketiga.

Oleh sebab itu disebutkan mafhum dalam satu hadith, menjadi sebutan pada lidah manusia itu adalah harta dan harta, sedangkan yang telah disimpan sudah banyak, tetapi masih ingin lebih banyak. Kerana manusia itu sememangnya sifatnya suka pada harta bahkan suka mengumpul harta.

Telah dikhabarkan oleh Allah dalam Al Quran, maksudnya; "telah melalaikan kamu wahai manusia dengan menyimpan harta yang banyak dan terus dilalaikan sehinggalah nanti kamu masuk dalam kubur."

Padahal, harus disedari daripada harta-harta yang dikumpul, setakat sampai di situ sahaja, tidak akan sampai ke kubur kecuali hanya beberapa ringgit sahaja untuk beli kain kafan.

Ingatlah pesan Baginda Rasulullah SAW, sesungguhnya yang akan mengikuti mayat itu hanya tiga perkara iaitu hartanya, keluarganya dan amalnya dan yang akan balik meninggalkannya adalah keluarganya dan hartanya. Manakala yang tinggal bersamanya adalahnya amalnya sahaja. 

Maka orang yang bijak adalah orang yang miliki harta lalu dia gunakan harta-hartanya untuk mendapat manfaat di kuburnya nanti. Sepertimana sahabat bernama Abu Dzar yang telah menginfaqkan unta paling baik yang dimilkinya supaya nanti dapat melihat hasil terbaik bila mana telah berada di alam kubur sana.

Suatu ketika bertanya Baginda Rasulullah SAW kepada sahabat, maksudnya; "Manakah yang kamu lebih suka, harta kamu ataupun harta ahli keluarga kamu?"

Jawab para sahabat iaitu maksudnya; "Sudah tentu kami lebih suka harta kami wahai Rasulullah." Kemudian diulangi pertanyaan itu oleh Rasulullah untuk memastikan keyakinan sahabat dengan jawapan mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; "Sesungguhnya harta kamu itu adalah harta yang kamu infaq, sedangkan harta yang dimiliki oleh waris kamu itu adalah harta yang kamu simpan."


Wallahu’alam.

Nasihat buat penggemar kopi

  Nasihat buat penggemar kopi. ☕️☕️





Disebabkan kopi adalah minuman yang digemari ramai, kebarangkalian untuk orang berhenti meminumnya adalah rendah. Jadi, di sini kami kongsikan 3 tips buat penggemar kopi untuk minum secara berpada.

1. KAWAL PENGAMBILAN KOPI
Pengambilan kopi secara sederhana adalah selamat, dan ianya boleh termasuk dalam sebahagian dari diet sihat oleh kebanyakan orang dewasa. Pengambilan kafein secara sederhana bersamaan dengan 400mg, atau 3 hingga 4 cawan kopi sehari.

2. TAMBAH SEDIKIT SUSU KE DALAM KOPI ANDA
Walaupun kopi hitam boleh memberi anda rangsangan tenaga dengan pantas, menambah sedikit susu ke dalam kopi juga sebenarnya mempunyai beberapa manfaat kesihatan, seperti membantu pola tidur, keasidan dan pengambilan kalsium.

3. BERTUKAR KE TEH SEKALI-SEKALA
Terdapat beberapa manfaat kesihatan apabila anda bertukar daripada kopi ke teh sekali-sekala. Tidak seperti kopi yang boleh memberi kesan sampingan jika anda tidak meminumnya sehari, teh boleh membantu anda berasa lebih relaks sepanjang hari. Ianya juga mampu mengurangkan berat badan dan mengurangkan kadar kolesterol.

4. BERPENYAKIT
Mereka yang menderita penyakit darah tinggi, diabetes, masalah jantung, osteoporosis dan wanita hamil disarankan untuk mengelakkan atau mengurangkan pengambilan kafein.

Jadi, adakah kopi baik atau buruk untuk anda? 

Jawapannya ambillah secara sederhana. Satu atau dua cawan kopi sehari boleh memberi anda manfaat kesihatan, tetapi pengambilan empat cawan atau lebih dalam sehari boleh memberi kesan negatif. 

Lebih baik mengambil kopi secara sederhana sambil memantau kesan kafein dan mengetahui had pengambilan yang tubuh anda boleh terima.

#MamajuraShareKopi

TAZKIRAH : SIFAT TAWADHUK

 TAZKIRAH : SIFAT TAWADHUK




Bilakah seseorang itu dikatakan memiliki sifat tawadhuk?

Pertamaapabila seseorang itu melihat dirinya tidak mempunyai kedudukan dan tidak mempunyai nilai.

Kedua, bila mana melihat kepada makhluk yang lain, dia merasakan tidak ada yang lebih buruk berbanding dirinya sendiri. Dia sentiasa menganggap keaiban yang ada pada diri sendiri jauh lebih buruk daripada apa yang dilihat pada orang lain. 

Ini supaya setiap daripada kita selamat daripada merasa sombong, takbur dan juga supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan hakikat yang Allah mahukan kepada diri.


Wallahu’alam.






Penulis: Nur Mohamad Adli Rosli

 


Kafien tinggi?

 Tahap tinggi nya kafein bergantung pada warna biji kopi.


Biji kopi yang lebih gelap biasanya dianggap mempunyai tahap kafein yang lebih tinggi. Rasa pahit yang ada pada biji kopi sebenarnya bergantung kepada tahap ianya dibakar, bukan pada kafein. 

Biji kopi yang gelap sebenarnya mempunyai jumlah kafein yang lebih kurang sama dengan biji kopi yang dipanggang dengan warna lebih cerah.

So dont worry. Just enjoy your kupiiiii. ☕️




#mamajurasharekopi

TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS

 TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS


Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut.


Imam Al-Tabari menukilkan pandangan berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan:

وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة

“Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”


Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata :

وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً.

“Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.”


Tafsiran ini memberikan makna bahawa:

-Ketika di dunia rahmat Allah itu umum untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. 

-Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. 

-Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih sayang antara makhluknya.

-Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya :“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

-Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. 

-Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.

-Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya.

-Ini kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.


Wallahu’alam.

PANTANG LARANG MINUM KOPI.

  PANTANG LARANG MINUM KOPI.


!! Minum lah waktu pagi supaya hari ini anda berjalan lancer dan bertenaga. Elakkan dari minum pada waktu malam supaya waktu tidur anda tidak terganggu. 

!! Ambil tahu tentang isi kandungan kopi anda. Pastikan bahan yang tidak terlarang dan memberi manfaat kepada diri anda. Elakkan kopi segera.

!! Pastikan kopi yang anda minum keluar melalui air kencing anda. Kopi akan memberikan kesan bau pada urine anda. Dan jika anda kelihatan terlalu dehidrasi, kurangkan pengambilan kopi. Ia mungkin memudaratkan anda.

!! Jangan mengambil ubat-ubatan atau supplement dengan kopi. Ia bakal memberikan tindak balas yang tidak elok kepada diri anda.

!! Minum kopi berpada-pada kerana ia bakal membuatkan anda mendapat masalah kesihatan.

!! Jikalau anda ajak kawan mengopi, pastikan anda yang membayarnya. Nasihat je tau ni. Hehehe. Rules nya siapa ajak, dialah yang kena bayar.




#MamajurashareKopi

TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN

 TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN


Tidak ada makhluk apa pun juga yang melata di atas muka bumi ini melainkan rezekinya sudah dijamin oleh Allah SWT. Yakni, jangan sahaja manusia, bahkan setiap makhluk lain seperti haiwan juga telah dijamin rezekinya oleh Allah.

Rezeki yang telah dijamin itu sudah ditentukan, seumpama sesuap nasi itu jikalau belum sampai rezeki, belum tentu sampai ke mulutnya. Jikalau sesuap nasi itu adalah rezeki baginya, pasti akan sampai ke mulutnya dan ditelan. Apatah lagi rezeki-rezeki yang lain.

Oleh itu, haruslah mereka yang beriman memahami bahawa menyangka rezeki yang tidak akan cukup untuk dirinya adalah sesuatu sangkaan yang salah.

Orang yang tidak eprnah merasa cukup dan tamak dengan dunia pasti tidak akan didapati kehendaknya melainkan apa yang sudah didapatinya sekarang. Apa lagi yang dicari? Apa lagi yang diharapkan?Tidak akan mencapai kebahagiaan dihatinya melainkan daripada apa yang didapati lalu diucapkan Alhamdulillah.

Bukan daripada apa yang didapati lalu diucap, "Tidak cukuplah ini."

Berkata Imam Abdullah AL-Haddad, "Yang Allah telah tentukan untuk orang lain tidak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentu oleh Allah untuk kamu pasti akan sampai kepada kamu." Maka fahamilah, apa yang kamu cita-citakan itu sejauh manayang akan berlaku tetap sepertimana apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Begitu juga ketentuan rezeki oleh Allah itu, termasuk bilangannya. Berapa yang kita dapat itulah bahagian daripada ketentuan rezeki untuk kita, sama ada ia kurang ataupun banyak menurut kita.

Maka setiap orang yang beriman akan faham, bila mana didapati rezeki walaupun zahirnya tidak cukup tetapi mestilah mempunyai sifat menerima. Itulah kadar rezeki yang ditentukan Allah buatnya dan akan terus berikhtiar untuk menjemput rezeki Allah.

Turut jauh sekali untuk orang yang beriman mengatakan, "Rezeki sepertiini tidak sepatutnya saya dapat," sebagai maksud tidak menerima ketentuan rezeki buatnya. Ini antara tanda orang itu tidak mempunyai sifat mulia Al-Qana'ah.

Wallahu’alam.

Keburukan kopi.

  Keburukan kopi.


KOPI YANG BERLEBIHAN
Pengambilan kafein secara berlebihan adalah fenomena yang boleh berlaku, berikut adalah gejala yang akan anda alami apabila mengambil kopi secara berlebihan:

Rasa gelisah dan gementar
Jantung berdebar-debar
Loya
Merasa bimbang secara tiba-tiba
Insomnia
Pening    

Setiap orang mengalami kesan yang berbeza.   Daya penerimaan kafein biasanya bergantung kepada gaya hidup, metabolisme dan genetik anda. 

Jika metabolisme tubuh lebih tinggi, kafein yang terkandung di dalam kopi lebih cenderung untuk membuat anda berasa gelisah dan gementar. 

Mereka yang menderita penyakit darah tinggi, diabetes, masalah jantung, osteoporosis dan wanita hamil disarankan untuk mengelakkan atau mengurangkan pengambilan kafein.

#MamajuraShareKopi

TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI

 TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI


Jangan Tinggal Ayat Kursi Lepas Solat
=============
1. Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)

2. Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung. Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟  قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)

3. Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:

إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق

“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”

4. al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

5. Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari. Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

6. Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.

Penulis :Dr. Ahmad Sanusi Azmi





APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KAFEIN?

  APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KAFEIN?




Kopi merupakan sumber utama untuk kafein, namun jumlah kafein sebenarnya berbeza dalam kopi yang anda minum; bermula dari hampir kosong sehingga lebih dari 500mg. Secara purata, secawan kopi mempunyai antara 95 – 180mg kafein.

Kafein dikenali sebagai penghalang reseptor untuk adenosin, satu kompaun di dalam otak yang menjadi punca keletihan dan mengantuk, oleh itu ianya boleh meningkatkan prestasi fizikal dan mental.

DECAF TIDAK SAMA DENGAN BEBAS KAFEIN. 

Kopi decaf masih mengandungi 3% kafein. Jumlahnya mungkin lebih kecil tetapi meminum 5 cawan kopi decaf atau lebih bersamaan dengan 1 cawan kopi berkafein biasa.

Selain kopi, teh dan minuman tenaga lain juga mempunyai kafein. Akan tetapi minuman tenaga mempunyai lebihan gula yang boleh memudaratkan kesihatan.

#MamajurashareKopi

TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'

 TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'


Istilah rahsia untuk berjaya sebenarnya sudah tidak wajar digunakan dan ia perlu digantikan dengan perkataan lain kerana ia bukan lagi rahsia.

Rahsia itu apabila hanya diri kita sendiri sahaja yang mengetahui, namun berkenaan tips untuk berjaya, sudah terlalu banyak yang dihebahkan sehingga ia bukan lagi rahsia.

Kita terlalu taksub dengan rahsia untuk berjaya sehingga kita sering mencari tips daripada orang sekeliling mengenainya sedangkan, jika digabungkan tips yang diperoleh, semuanya adalah sama.

Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang individu tersebut mengamalkan tips itu.

Dan pokok pangkalnya adalah bergantung kepada anda sendiri. Bagaimana anda mengambil dan menyerap tips tersebut untuk digunakan.

Mencari tips sahaja tidak memadai jika ia hanya diperam dan tidak digunakan. Ataupun jika anda bersikap suka menangguhkan sesuatu dan berfikir – “Tidak mengapalah, nanti aku atur strategi. Sekurangnya, rahsia kejayaan sudah ada dalam genggamanku.”

Sikap-sikap seperti inilah yang perlu dibuang jauh-jauh dari diri anda kerana ‘rahsia’ terbesar orang yang berjaya adalah dengan memulakan langkah, bukan menunggu dan terus menunggu.

Antara tips kejayaan yang dikongsi dan tidak boleh diabaikan oleh anda adalah;

#1 – Pasang matlamat dan sentiasa ingatkan diri anda mengenai apa yang ingin dicapai.

#2 – Disiplin diri adalah keutamaan kerana orang malas sukar untuk meraih kejayaan. Jalan menuju kejayaan pastinya berliku-liku. Dan ia hanya boleh dilalui oleh orang yang rajin berusaha.

#3 – Selesaikan masalah yang melanda secara perlahan-lahan. Fokus pada satu-satu perkara agar ia tidak menyerabutkan diri anda sehingga boleh menyebabkan anda hilang fokus terhadap perkara utama.

#4 – Jangan bertangguh dan selesaikan pekerjaan sedikit demi sedikit.

#5 – Amalkan gaya hidup yang sihat seperti bangun pada awal pagi.

#6 – Latih diri anda berfikir dengan mencari idea-idea yang kreatif. Ingat, orang yang berfikir selalunya akan maju 10 langkah ke hadapan.

#7 – Anda tidak boleh buang negativiti di sekeliling anda, namun anda boleh menghadapinya dengan menyesuaikan keadaan diri sendiri. Minda anda memainkan peranan yang penting dalam menguruskan tekanan sekeliling.

#8 – Jika wujud pemikiran negatif dari diri anda, jangan dilayan terlalu lama. Sekejap sahaja sudah memadai kemudian buang ia jauh-jauh. Jika perlu, minta pandangan daripada orang sekeliling.

#9 – Sabar kerana tiada perkara yang mudah dalam kehidupan ini.

Tiada masalah untuk anda terus mencari tahu ‘rahsia’ daripada orang berjaya kerana ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mengorak langkah.

 

Namun, dalam masa itu, teruskan mengatur langkah agar suatu hari nanti, orang lain juga boleh datang kepada anda untuk meminta ‘rahsia’ kejayaan daripada anda.

 Wallahu a’alam

Semoga Allah membimbing kita semua.