TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR

 TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR


Ketahuilah makhluk yang namanya manusia ini, jikalau sudah punyai segunung emas maka pasti masih inginkan yang kedua. Jikalau sudah miliki yang kedua, dia akan inginkan yang ketiga.

Oleh sebab itu disebutkan mafhum dalam satu hadith, menjadi sebutan pada lidah manusia itu adalah harta dan harta, sedangkan yang telah disimpan sudah banyak, tetapi masih ingin lebih banyak. Kerana manusia itu sememangnya sifatnya suka pada harta bahkan suka mengumpul harta.

Telah dikhabarkan oleh Allah dalam Al Quran, maksudnya; "telah melalaikan kamu wahai manusia dengan menyimpan harta yang banyak dan terus dilalaikan sehinggalah nanti kamu masuk dalam kubur."

Padahal, harus disedari daripada harta-harta yang dikumpul, setakat sampai di situ sahaja, tidak akan sampai ke kubur kecuali hanya beberapa ringgit sahaja untuk beli kain kafan.

Ingatlah pesan Baginda Rasulullah SAW, sesungguhnya yang akan mengikuti mayat itu hanya tiga perkara iaitu hartanya, keluarganya dan amalnya dan yang akan balik meninggalkannya adalah keluarganya dan hartanya. Manakala yang tinggal bersamanya adalahnya amalnya sahaja. 

Maka orang yang bijak adalah orang yang miliki harta lalu dia gunakan harta-hartanya untuk mendapat manfaat di kuburnya nanti. Sepertimana sahabat bernama Abu Dzar yang telah menginfaqkan unta paling baik yang dimilkinya supaya nanti dapat melihat hasil terbaik bila mana telah berada di alam kubur sana.

Suatu ketika bertanya Baginda Rasulullah SAW kepada sahabat, maksudnya; "Manakah yang kamu lebih suka, harta kamu ataupun harta ahli keluarga kamu?"

Jawab para sahabat iaitu maksudnya; "Sudah tentu kami lebih suka harta kami wahai Rasulullah." Kemudian diulangi pertanyaan itu oleh Rasulullah untuk memastikan keyakinan sahabat dengan jawapan mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; "Sesungguhnya harta kamu itu adalah harta yang kamu infaq, sedangkan harta yang dimiliki oleh waris kamu itu adalah harta yang kamu simpan."


Wallahu’alam.

No comments