TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS

 TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS


Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut.


Imam Al-Tabari menukilkan pandangan berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan:

وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة

“Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”


Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata :

وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً.

“Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.”


Tafsiran ini memberikan makna bahawa:

-Ketika di dunia rahmat Allah itu umum untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. 

-Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. 

-Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih sayang antara makhluknya.

-Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya :“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

-Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. 

-Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.

-Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya.

-Ini kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.


Wallahu’alam.

No comments