TAZKIRAH : KEUTAMAAN TAUBAT DAN RAHSIANYA

 TAZKIRAH : KEUTAMAAN TAUBAT DAN RAHSIANYA



Allah S.W.T itu Maha Pengampun meskipun ke atas mereka yang berulang kali melakukan dosa demi dosa, selama mana pelakunya kembali kepada Tuhan, memuhasabah dan menyesali dosa-dosanya, lalu dia memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Kita hendaklah sentiasa melazimi istighfar dan taubat. Ini kerana, Allah S.W.T berfirman:

فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا

Maksudnya"Sesungguhnya Dia (Allah) itu Maha Pengampun terhadap golongan awwabeen." 
Surah Al-Isra’; 25

Terdapat beberapa tafsiran mengenai maksud awwabeenPertama ialah seseorang yang melakukan dosa, kemudian dia bertaubat. Dia melakukan dosa lagi, kemudian dia bertaubat. Kedua, awwabeen juga bermaksud seseorang yang mengingati dosa-dosanya ketika dia sedang bersendirian, lalu dia pun meminta keampunan daripada Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya itu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Ke semua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat."


Sesungguhnya taubat memiliki banyak keutamaan, rahsia yang menakjubkan, faedah yang banyak dan keberkatan yang pelbagai jenis. 
Di antaranya adalah:

  1. Sebab memperolehi keuntungan dan kejayaan dunia akhirat.
  2. Terhapus kesalahan-kesalahan.
  3. Kesalahan-kesalahan diganti dengan pelbagai kebaikan.
  4. Sebab diperolehinya kenikmatan yang baik, turunnya hujan, bertambahnya kekuatan, harta dan anak.
  5. Memperolehi kecintaan Allah.
  6. Membuat Allah terasa bahagia.
  7. Mendatangkan sifat-sifat yang mengagumkan di mana tidak dihasilkan oleh selain dari taubat.

Sesungguhnya kebahagiaan Allah SWT dengan bertaubat kepada hamba-Nya ketika dia bertaubat kepada-Nya adalah kebahagiaan yang paling besar sebagaimana yang dicontohi oleh Nabi Muhammad SAW ketika menggambarkan kebahagiaan Allah dengan kebahagiaan seseorang yang mendapat kembali haiwan tunggangannya beserta bekalan makanan dan minuman yang dia letak di atas punggung kenderaannya yang hilang ketika berada di padang yang tandus dan hampir-hampir dia berputus asa kerana beranggapan bahawa tidak akan hidup lebih lama lagi. 


Ketahuilah sesungguhnya kebahagiaan Allah ini tidak terjadi oleh sesuatu ketaatan kecuali taubat. Kita juga perlu mengetahui bahawa kebahagiaan ini memberi kesan sangat besar bagi keadaan dan hati orang yang bertaubat. Inilah kelebihan dari kegembiraan , sesungguhnya kegembiraan ini adalah kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. 




Wallahu'alam.

No comments