TAZKIRAH : SIAPA HAMBA ALLAH YANG KUAT?

TAZKIRAH : SIAPA HAMBA ALLAH YANG KUAT?

Kata Baginda Rasulullah SAW: "Bukanlah orang yang kuat itu ialah mereka yang bergusti. Akan tetapi orang yang kuat itu adalah mereka yang mampu mengawal hawa nafsunya ketika marah serta memaafkan orang yang berbuat salah kepadanya." Maka dapat difahamilah bahawa walau macam mana hebat seseorang itu bergusti sehingga tiada yang mampu mengalahkannya, itu bukanlah ukuran sebenar kuatnya orang itu.

Namun lihatlah bagaimana keadaan dirinya tatkala berasa marah, sejauh mana mampu dirinya mengawal nafsu.Tidak cukup dengan itu, sejauh mana mampu dirinya memberi kemaafan kepada orang lain. Ini kerana terkadang seseorang itu mampu menahan marahnya, namun belum tentu memberi kemaafan kerana masih tersimpan rasa marah dalam dirinya.

Oleh sebab itu, mereka yang memberi kemaafan itu, sebagai tanda yang benar-benar seseorang itu mencabut rasa marah itu daripada hatinya dan tiada dia menyimpan sebarang dendam.

Hal sebegini, secara teori ia mudah diungkap. Namun secara praktikalnya yakni andai ia benar-benar dilalui oleh diri kita, barulah diketahui bagaimana keadaan diri kita. Hidup ini umpama madrasah yang perlu untuk diri kita terus berlatih dan belajar daripada realiti kehidupan. Kerana sesungguhnya apa sahaja yang dihadapi dari sebarang kejadian dan keadaan ini, mengundang kepada reaksi kita. Jikalau kita terbimbing dengan ayat-ayat seumpama ini, barulah kita mampu belajar daripada apa sahaja yang dilalui dalam kehidupan ini.

Untuk tidak menyikapi sebarang permasalahan lebih daripada sepatutnya, yakni perkara yang kecil hendak disikapi secara besar, maka untuk mengelak daripada ini, kata pepatah arab, "Ubati luka itu dengan kadarnya." Luka yang kecil, tidak perlu dibalut seperti luka yang besar. Maka begitu jugalah kita apabila menghadapi masalah dalam hidup ini. Tanganilah ia sesuai dengan keadaan. Masalah yang kecil usah diperbesarkan dan masalah yang besar maka perkecilkanlah ia. Jikalau tidak begitu, pasti hidup kita tidak akan tenteram dan penuh dengan masalah.

Oleh yang demikian, tidak ada permulaan yang lebih baik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan melainkan dimulai dengan memaafkan orang lain. Tidak ada orang yang suka memberi maaf kepada orang lain kecuali orang itu yang paling banyak mendapat maaf daripada Allah. Ketahuilah, sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang berbuat baik kepada orang lain. Jikalau tadi kita telah mendengar bagaimana Allah ingin mendidik kita untuk mengawal hawa nafsu, kemudian memberi maaf kepada yang lain, lalu kini Allah ingin menyucikan pula hati kita supaya banyak berbuat baik kepada orang lain. 

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Seandainya kita ini orang yang berubat hati kita dengan al-Quran al-Kareem, maka tidak ada orang lebih bahagia daripada kita dalam hidup ini. Namun jikalau kita menjadikan al-Quran itu sekadar bacaan di bibir sahaja, bukan untuk dihayati dan diambil pedoman dari isi al-Quran itu, maka ketahuilah, kita merugikan diri sendiri yakni dengan menjauhkan diri kita daripada kebahagiaan yang sebenar.


Wallahu'alam.


No comments