TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN

 TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN


Doa dalam ajaran Islam memiliki kedudukan yang sangat istimewa. Doa bermaksud permohonan seorang hamba kepada Allah SWT agar diperkenankan sesuatu hajat yang diminta atau menolak sesuatu musibah yang mungkin akan menimpa dirinya. Doa hanya boleh dipohon kepada Allah SWT kerana Dia-lah yang Maha Pengampun dan Maha Memperkenankan. Restu dan reda Allah SWT amat diperlukan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ ٦٠

 

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong, takabbur daripada berdoa serta beribadah kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: 60)

Namun begitu, masih ada dalam kalangan manusia yang masih mensia-siakan nikmat doa yang Allah SWT kurniakan ini. Mereka meremehkan kelebihan berdoa bahkan ada yang enggan berdoa kerana sudah berasa selesa dengan kehidupan yang dimiliki tanpa mengharap kepada Allah SWT. Orang yang enggan berdoa ini digambarkan oleh Allah SWT sebagai orang yang bersifat sombong dan angkuh kerana mereka memikirkan bahawa mereka tidak perlu bergantung kepada Tuhan Yang Maha Esa, malahan mereka lebih meminta dan mengharap kepada sesama makhluk. Alangkah buruknya manusia yang bersikap sedemikian sedangkan seluruh alam ini adalah kepunyaan Allah SWT Yang Maha Pemberi Nikmat kepada hamba-hambaNya.

Sewajarnya sebagai umat Islam kita hendaklah menggunakan kelebihan berdoa dalam kehidupan kita kerana doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doa juga menggambarkan rasa kebergantungan seseorang hamba kepada Tuhannya. Ketahuilah bahawasanya Allah SWT akan memperkenankan doa hambanya dengan pelbagai cara iaitu diperkenankan doa hambaNya dengan diberikan apa-apa sahaja yang dihajatkan ketika di dunia. Ada juga doa yang dipohon oleh hambaNya itu disimpan dan akan diberikan pada akhirat kelak. Terdapat juga doa yang dipohon oleh hambaNya tidak diberikan apa yang dihajatkan akan tetapi diperkenankan dengan cara dilindungi seseorang itu daripada keburukan. Hal ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang muslim yang berdoa dengan doa yang bukan untuk keburukan dan bukan untuk memutuskan ikatan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya tiga kemungkinan; doanya akan segera diperkenankan, atau akan ditunda sampai di akhirat, atau ia akan dijauhkan daripada keburukan yang seumpanya, para sahabat bertanya; jika demikian kita minta yang lebih banyak, lalu baginda bersabda: “Allah memiliki yang lebih banyak.”

 (Hadis Riwayat Imam Ahmad : 11133)

Oleh itu, bagi memastikan doa yang dipohon dimakbulkan oleh Allah SWT, maka agama Islam telah memberikan beberapa panduan untuk seseorang itu berdoa, antaranya ialah ketika berdoa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan merendah diri, tenang dan sentiasa dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Elakkan berdoa dengan tergesa-gesa dan jangan sekali-kali menyalahkan Allah SWT jika dia belum dimakbulkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dimakbulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan: Aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun belum dimakbulkan untukku.”

(Hadis Riwayat Muslim: 4917)

Selain itu, ketika berdoa kita hendaklah bercakap dengan nada suara yang perlahan dan penuh dengan kekhusyukkan. Elakkan menggunakan suara yang keras seperti memaksa dan janganlah melampaui batas dalam memohon sesuatu hajat. Berdoalah bersungguh-sungguh dengan keikhlasan dan pengharapan serta hindarkan diri melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa, kerana rahmat Allah SWT sangat jauh daripada orang yang melakukan kejahatan. Firman Allah SWT:

 

ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ ٥٥ وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًۭا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ  ٥٦

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNYa dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang –orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A'raf ayat 55-56)

Justeru, berdoalah kepada Allah SWT bersungguh-sungguh kerana orang yang berdoa adalah mereka yang memiliki keyakinan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mendengar permohonan dan memakbulkan permintaan hambaNya dengan syarat hambaNya melaksanakan ketaatan dan sentiasa beriman kepadaNya. 





Rujukan : Jabatan Agama Islam Negeri Johor

No comments