TAZKIRAH : PAKU DI TIANG

 TAZKIRAH : PAKU DI TIANG 


Beberapa ketika waktu yang lalu, ada seorang lelaki yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai daripada menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat menunaikan solat, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap mengabaikannya.Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya.

Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya. Suatu hari lelaki tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau ni terlalu banyak sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu paku tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan dicabut keluar dari tiang ini."

Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku pada tiang tersebut. Kadang-kadang sehingga berpuluh paku dipukul dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang tersebut.

Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar, tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat kerana hujan dan panas. Setelah melihat keadaan tiang yang tertusuk dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu. Maka dia pun berazam untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula menunaikan solat. Hari itu sahaja lima butir paku dicabut oleh ayahnya dari tiang. Pada keesokannya, dia menunaikan solat lagi dan ditambah dengan amalan sunatnya. Hal ini menyebabkan lebih banyak lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat meninggalkan sisa-sisa maksiat yang masih melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggalkan sehingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku sahaja yang tinggal melekat di tiang.

Maka ayahnya pun memanggil anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?" Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada".Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada,tapi aku bersedih parut - parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya." 

Oleh itu, ketika mana menyedari bahawa kita telah melakukan suatu kemungkaran, ataupun sedang diambang pintu perbuatan yang buruk, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebilah lagi paku yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Begitu juga kalau kita biarkan ianya berkarat lama dalam diri sebelum dicabut (menunda taubat). Dan apatah lagi jika kita terus membiarkan paku tersebut berkarat dan tidak dicabut. Sama-samalah kita muhasabah diri. 






Rujukan: Kisah Tauladan 

No comments