TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU

 TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU 


Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjaya sebagai seorang tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya, dengan tenaga yang semakin berkurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang. Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Lalu, tukang kayu tersebut memberitahu majikannya tentang hasratnya untuk berhenti kerja tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Akhirnya, rumah tersebut berjaya disiapkan dalam jangka masa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut lalu memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi. Begitulah kejadian yang sentiasa berlaku pada hari ini, apabila hendak bersara atau berhenti kerja kerana mendapat tempat pekerjaan yang baru, janganlah kita melakukan tugasan dengan sambil lewa dan tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap tugasan terakhir tersebut. Hal ini kerana pada akhirnya tugasan yang kita lakukan dengan ikhlas tersebut pasti akan membawa manfaat kepada kita walaupun kita sudah tidak lagi melakukan tugasan yang sama di tempat sama.

  

 


No comments