Showing posts with label tazkirah. Show all posts

TAZKIRAH : MENGENALI TOKOH MAZHAB - IMAM SYAFIE



Imam al-Syafie merupakan seorang tokoh agung yang sangat terkenal dengan keilmuannya di seluruh pelusuk dunia. Nama penuh Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Keturunannya bertemu dengan Rasulullah SAW iaitu datuknya, Abdul Manaf. Imam Syafie juga merupakan pengasas kepada mazhab Syafie dan dilahirkan di Gaza pada tahun 150 Hijrah, iaitu pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit, pengasas kepada mazhab Hanafi.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang termasyhur adalah Imam Syafie dilahirkan di Gaza. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith (nasiru al-sunnah) dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad kedua hijrah. Mazhab Syafie adalah integrasi aliran pemikiran mazhab Maliki (aliran hadith) dan mazhab Hanafi (aliran al-ra’yi). Imam Syafie berpindah ke Makkah ketika berumur dua tahun dan membesar di sana. Beliau juga menghafal alQuran ketika berumur tujuh tahun dan menghafal kitab al-Muatta’ Imam Malik ketika berumur 10 tahun. Beliau juga mengambil ilmu daripada ahli ilmu antaranya Muslim bin Khalid al-Zanji al-Makki (mufti Mekah) dan dibenarkan mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun.

Di Madinah, beliau telah belajar dengan Imam Malik, iaitu setelah beliau bersedia untuk berjumpa dengannya untuk mempelajari kitab al-Muatta’. Semasa Imam Syafie menuntut ilmu, beliau berulang-alik dari Makkah ke Madinah dan berjaya menghimpun serta menuntut ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Syafie menjadi rujukan dan hujah dalam bahasa Arab. Beliau digelar nasiru al-sunnah ketika berada di Baghdad kerana membantu melawan puak bida’ah yang berkembang meluas pada ketika itu khususnya di Iraq yang membawa kepada kekacauan kerana banyaknya mengikut kepada hawa nafsu serta jauh dari Islam dan hidayah. 

Kota Baghdad juga menjadi tempat Imam Syafie memulakan penulisan buku-buku utama beliau antaranya al-Risalah al-Uula yang menghimpunkan ilmu usul fiqh dan musṭalah hadith. Semasa usia Imam Syafie yang masih muda, Imam Syafie sering mengunjungi dan bergaul dengan suku Hudzail yang tinggal berhampiran Makkah. Beliau mempelajari bahasa Arab fuṣḥah dari suku Arab asli penutur bahasa Arab yang tidak bercampur dengan laḥn dan bahasa asing yang lain. Oleh kerana itu, beliau memiliki kemampuan bahasa yang sangat baik sehingga memahami al-Quran dan hadith Nabi SAW dengan baik. Pada awalnya Imam Syafie lebih cenderung dalam mempelajari syair, sastera dan bahasa Arab. Namun, Allah SWT telah menentukannya untuk mempelajari ilmu fiqh. Dalam usianya yang muda, Imam Syafie telah mendapatkan ilmu dengan secukupnya walaupun beliau hidup dalam kemiskinan.

Pengembaraan Imam Syafie dari suatu tempat ke suatu tempat telah banyak memberi impak dalam meningkatkan ilmu yang dipelajari. Beliau juga bersifat terbuka dengan mengambil ilmu daripada ulama’- ulama’ hebat yang terdiri daripada mazhab yang berbeza. Kemuncaknya beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap syariat Islam. 

 

Rujukan: 

1. Muhammad Amirul Asraf Mohd Darawi & Kamariah Kamarudin. (2018). Manhaj Akidah Imam al-Shafie dalam Novel Rimba Jiwa dan Qalam Kalbu. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

2. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2010). Istilah-istilah Fiqah dan Usul Empat Mazhab. Putrajaya: JAKIM.

3. Akram Yusuf Umar al-Qawwasi. (2003). Madkhal Ila Madzhab al-Syafie. Jordan: Dar alNafais.

4. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin, Muhammad Arid Md Aris, Abdul Hanis Embong. (2019). Mazhab Syafie: Legasi dan Pengaruhnya di Malaysia. Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin.


TAZKIRAH : MENYESAL DI PENGHUJUNG NYAWA



Kita semua perlu mengetahui bahawa tiada istilah terlambat dalam agama sama ada dalam menuntut ilmu, bertaubat, mengerjakan amal kebaikan, berubah menjadi baik dan sebagainya. Namun, kesemua perkara ini dikatakan terlambat ketikamana nyawa berada di penghujung kerongkong. Waktu itu taubat sudah tidak lagi diterima dan segala penyesalan adalah sia-sia. Dalam al-Quran, Allah menceritakan mengenai penyesalan manusia di penghujung nyawa mereka. Ini dapat kita saksikan pada riwayat kisah Firaun yang tiba-tiba dia menyesal saat ditenggelamkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Surah Yunus, 90)

Begitu juga dalam Surah al-Mukminun, Allah menceritakan sikap orang yang menentang itu, saat kematiannya memohon agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal-amal soleh. Firman Allah:

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ
“apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan"

Begitu juga dalam surah al-Munafiqun, Allah mengingatkan kita mengenai orang yang memohon agar ajal mereka ditangguhkan supaya mereka boleh menyumbang atau bersedekah dan melakukan kebaikan. Firman Allah:

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقْنَٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Ayat-ayat ini menunjukkan berkenaan dengan penyesalan mereka yang berada di penghujung nyawa atau ketika menghampiri sakaratul maut. Ayat-ayat ini juga seharusnya menjadi peringatan buat diri kita untuk sentiasa muhasabah diri dan memperbanyak melakukan amal soleh terutamanya amalan sedekah yang dinyatakan secara jelas dan banyak dalam al-Quran mengenai kelebihan bersedekah dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan amal soleh yang lainnya. Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT sebelum terlambat.

Jadi, sentiasalah bermuhasabah diri agar kita tidak terlepas dalam melakukan kebaikan. Semoga Allah mempermudah semua urusan kita.  


Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

 

TAZKIRAH : ANTARA KISAH DALAM SURAH AL-KAHFI


Dalam zaman yang penuh dengan tipu daya dunia ini, marilah sama-sama kita merenungi pengajaran dari Surah al-Kahfi. Allah SWT mempersembahkan kepada kita empat kisah yang mempunyai simbol kepada mesej yang ingin disampaikan. Kisah pertama merupakan kisah Pemuda Kahfi yang menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda yang lari berusaha menyelamatkan agama mereka.

Kisah kedua pula adalah mengenai pemilik kebun yang dikurniakan oleh Allah harta dunia dan bagaimana harta dunia itu akhirnya menjadikan dia kufur dan jauh dari Allah. Manusia terkadang berbangga dengan harta dan pengikutnya yang ramai. Firman Allah SWT:

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". (al-Kahfi: 34)

Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah menyatakan bahawa harta yang banyak, pengaruh yang kuat serta pengikut yang ramai menjadikan manusia keliru dan akhirnya merasa tinggi diri, ego dan jauh dari bimbingan Allah. Perasaan takkabur ini merupakan salah satu daripada penyakit hati yang menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah SWT dan terus hanyut di pentas dunia.

Selain itu, perasaan ini jugalah yang menyebabkan iblis tidak mahu untuk sujud kepada Nabi Adam AS sehingga menjadi makhluk yang kufur. Kemudian Allah SWT mendatangkan kisah Nabi Musa AS pula, yang menceritakan tentang ujian ilmu. Dalam sebuah hadis, Nabi Musa AS dikatakan tidak menyangka bahawa ada orang yang mempunyai ilmu yang lebih sedikit dari dirinya. Lalu Allah wahyukan kepadanya tentang Nabi Khidir.

Kisah ini dipaterikan dalam Surah al-Kahfi bagaimana ilmu yang tersemat dalam diri seseorang berupaya menjadikan mereka ego dan sombong. Manakalah kisah yang terakhir adalah mengenai kisah Zulkarnain dan fitnah kuasa. Allah SWT mengurniakan kuasa kepada manusia adalah untuk memelihara agama Allah SWT dan bukan menjadi sombong kepadanya.

Menariknya di penghujung surah ini, Allah SWT menegaskan dengan satu amalan yang paling sia-sia. Manusia merasakan dia telah melakukan kebaikan, amalan atau sumbangan yang paling banyak sedangkan amalan itu pada hakikatnya sia-sia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

“قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا”

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Ayat ini merupakan pengajaran buat kita semua bahawa dalam segala kurniaan nikmat dan fitnah dunia yang Allah berikan kepada kita, janganlah kita sombong dan ego kerana kehidupan dunia ini bersifat sementara. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar kita diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk sentiasa mengingatinya dan bersyukur dengan setiap apa yang dikurniakan kepada kita sama ada kurniaan tersebut berbentuk harta, kesihatan, diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melakukan ketaatan dan sebagainya. Sentiasalah muhasabah diri kita supaya kita tidak terlepas daripada bersyukur kepada Allah SWT.


Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

TAZKIRAH : TIDAK MENDEDAHKAN AIB PASANGAN

 


Suami dan isteri itu sifatnya saling melindungi. Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

 “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:

جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء

“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah SAW:


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)

Begitu juga menurut Rasulullah SAW, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah SAW:

خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك

"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu." (HR Abu Daud al-Tayyalisi)

Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah SWT mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti. Jika dilihat pada firman Allah SWT dan hadis-hadis yang telah dinyatakan pada sebelum ini juga menyatakan bahawa seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah SWT:

 ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡض

 

Maksudnya: “ Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan...” (Surah al-Nisa': 34)

Imam al-Baidhawi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat. Hal ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberi nafkah semata bahkan lebih daripada itu. 

Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah dengan mendidiknya. Suami tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarga hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalah seorang suami yang dayus.

 Bahkan saat maruah isteri dihina, suami wajib mempertahankannya.

 Oleh itu, dalam melayari bahtera perkahwinan setiap pasangan seharusnya saling menjaga antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun lebih-lebih lagi pada zaman penggunaan teknologi yang semakin berleluasa memudahkan lagi setiap pasangan terjerumus atau secara tidak sedar telah menyebarkan aib pasangan masing-masing. 

Semoga setiap daripada kita dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmat. 

 





Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi
: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

TAZKIRAH : KERANA SYURGA ITU MAHAL



Terkadang kita selalu bersenang-senang dalam menjalani kehidupan seharian dan melakukan maksiat lalu mengharapkan syurga yang paling tinggi sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan kita agar berusaha dan merancang untuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW:


من خاف أدلج، ومن أدلج بلغ المنزل، ألا إن سلعة الله غالية، ألا إن سلعة الله الجنة

“Barangsiapa yang takut (ditimpa kesusahan dalam perjalanannya), maka dia akan bertolak awal dan cergas. Barangsiapa yang bertolak cergas dia akan sampai pada destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu syurga? (HR al-Tirmizi)

Menurut al-Imam al-Tibi, hadis ini merupakan satu perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah agar kita merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai destinasi syurga. Kita hendaklah merancang, bertindak keluar awal dan bergerak cergas bagi mencapai destinasi akhirat kerana syurga Allah itu mahal. (Tuhfah al-Ahwazi)

Para sahabat terdahulu berjuang bermati-matian bagi mencapai redha Ilahi. Rasulullah SAW pernah menangis ketika melihat penampilan Mus’ab di Madinah yang meninggalkan kemewahan hidupnya semata-mata kerana memperjuangkan Agama Islam. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ

“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umayr dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).

Ketika suasana sengit dalam Perang Uhud, Mus’ab jualah antara pejuang yang mempertahankan Rasulullah SAW. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya. Musuh datang lalu menebas tangan Mus’ab sehingga putus. Ketika lalu di hadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasulullah SAW sangat sebak. Hal ini kerana Baginda SAW terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan keseluruhan dirinya semua untuk Islam. Baginda SAW lalu membacakan ayat:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Tidak dinafikan bahawa Allah SWT berhak melimpahkan rahmatNya kepada sesiapa sahaja untuk mengurniakan syurga, namun secara fitrahnya Rasulullah SAW sendiri berusaha keras memartabatkan Islam bagi mendapatkan redha Allah dan dijanjikan syurga yang mahal. 

Jadi bagaimana pula kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam sudah berkembang. Adakah kita bersikap sambil lewa dalam menjalani kehidupan seharian tanpa mempedulikan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan Islam?  

Masih ada lagi kah alasan atau sebab untuk tidak melaksanakan suruhan Allah SWT? Perlu diingati bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu melainkan mampu dilaksanakan oleh hambaNya. Oleh itu, marilah kita sama-sama melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya kerana syurga itu mahal. 

Semoga kita semua sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. 





Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

TAZKIRAH : JOM JADI AHLI SYURGA


Antara salah satu sifat ahli syurga seperti mana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran ialah Allah SWT telah menghilangkan sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka sehingga jiwa mereka menjadi bersih dan sejahtera. Firman Allah SWT:


وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ

“Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing..”

(Surah al-A’raf: 43)

Mereka yang bercita-cita ingin masuk ke syurga perlu berazam untuk membuang sifat hasad dan dendam di dalam hati mereka. Kesombongan jiwa menghalang mereka untuk ke syurga. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر

“Tidak masuk ke syurga mereka yang ada di dalam hatinya walau sebesar zarah sifat sombong.”

(HR Muslim).

Selain itu, terlalu kuat berdendam dan berdengki dengan orang lain menjadikan jiwa keras dan kotor. Jiwa yang kotor akan memakan amalan-amalan kebaikan yang telah kita lakukan. Sabda Rasulullah SAW:

إيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ، فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

“Jauhkan diri kamu dari hasad kerana sesungguhnya hasad itu memakan amalan kebaikan seperti mana api yang membakar kayu.”

(HR Abu Daud)

Antara penyakit hati yang paling berbahaya ialah penyakit hasad. Hal ini kerana mereka yang mempunyai sifat hasad ini merasakan tidak puas hati dengan pemberian nikmat yang ada pada seseorang yang lain dan menginginkan untuk nikmat tersebut hilang daripada diri seseorang tersebut. Dikatakan paling bahaya kerana melalui sifat hasad inilah timbul pelbagai perbuatan buruk yang lain bahkan sehingga membawa kepada perbuatan mensyirikkan Allah SWT.

Mereka sanggup untuk menggadaikan iman mereka supaya nikmat yang ada pada diri seseorang itu hilang atau terhapus. Lupakah kita bahawasanya nikmat yang ada pada diri seseorang itu merupakan pemberian daripada Allah SWT? Bukankah apabila timbulnya rasa tidak puas hati terhadap nikmat yang ada pada diri seseorang itu menunjukkan bahawasanya kita juga tidak berpuas hati dengan aturan yang ditetapkan oleh Allah SWT?

Mengapa sehingga kita sanggup membelakangkan Allah SWT semata-mata menuruti kehendak hawa nafsu?

Oleh yang demikian, sucikan hati dengan melatih hati untuk reda dengan segala ketentuan Allah SWT dan didik diri untuk memaafkan manusia. Perkukuhkan jiwa dengan membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT melalui zikir dan solat. Ambillah masa dan renungkan kembali nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. 

Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian daripada Allah SWT dan mudah-mudahan kita semua menjadi ahli syurga !







Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

TAZKIRAH : JANGAN BERSEDIH DUHAI SAHABAT



Kehidupan kita merupakan sesuatu perkara yang sangat bernilai yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Apa yang kita jalani dalam hidup ini pastinya mempunyai hikmah yang tertentu dan mempunyai sebab kenapa Allah SWT menjadikan kehidupan ini. Meskipun, kehidupan ini tidak seindah yang disangkakan namun, perkara itu bukanlah menjadi penghalang buat kita untuk meneruskan kehidupan ini. Suka untuk diingatkan kembali bahawa di setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT terselit seribu satu hikmah yang tidak kita ketahui. Kita sebagai hamba teruskan bersabar dalam berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dan mengharungi ujian yang mendatang. Ujian itu tidak lain dan tidak bukan berfungsi untuk menghapuskan dosa kita, mengangkat darjat kita dan dikurniakan pahala bagi mereka yang berjaya mengharunginya dengan sabar. Firman Allah SWT:

 

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

 

(Surah al-Baqarah: 153)

 

Maka, sabar ini merupakan satu kunci yang sangat penting dalam mendepani ujian dan cabaran hidup. Dunia ini merupakan tempat persinggahan yang sementara dan merupakan tempat permainan yang sia-sia serta bergurau-senda. Kita semua akan menghadapi kematian untuk diperhitungkan amalan kita sama ada ke syurga atau neraka dan di sanalah merupakan tempat tinggal dan kehidupan yang selama-lamanya. Firman Allah SWT:

 

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kami mahu berfikir?”

(Surah al-An'am: 32)

 

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Muhammad ayat 36:

 

“Sesungguhnya kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah SWT akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).”

(Surah Muhammad: 36)

 

Orang yang soleh dan solehah serta bertakwa tidak melatah akan hal dunia yang serba kurang, sebaliknya lebih risau akan hal akhirat yang akan dibawa ke sana kelak. Oleh itu, mereka akan sentiasa mempersiapkan diri untuk menjadi lebih baik di sisi Allah SWT. Dunia ini adalah ujian dan peperiksaan untuk menentukan di manakah tempat kita di sana nanti. Persiapkanlah diri, tinggalkanlah larangannya, perbanyakkanlah amalan sunat dan jangan sesekali tinggal perkara yang wajib. Bersedialah setiap masa untuk menghadap Allah SWT yang Maha Esa. Kita tidak tahu bila kita akan mati, tapi mati itu pasti.

 

Maka, beruntunglah bagi mereka yang apabila diingatkan dengan kematian, hati mereka bergetar bagai ada satu tiupan yang dahsyat kerana masih lagi dikurniakan nikmat iman dan hidayah oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

 

“ Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhan jualah mereka berserah.”

(Surah al-Anfal: 2)

 

Moga-moga dengan mengingati kepada kematian, maka jiwa dan nafsu kita dapat ditundukkan dan tergolong dalam golongan orang yang taat kepada perintah Allah SWT. Maka, dari itu janganlah bersedih, janganlah asyik menyalahkan diri sendiri sehingga terabai kesihatan dan tanggungjawab diri dan kepada yang lain. Bersedih itu tidak salah, tapi bataskanlah kesedihan itu hanya ketika kita bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dan meneruskan kehidupan dan tanggungjawab sebagai seorang yang proaktif dan penuh semangat. Jadikanlah seluruh pekerjaan harian kita ini sebagai ibadah dengan niat kerana Allah SWT. Dengan itu, walau dalam bidang apa sekalipun pekerjaan kita maka ianya dikira sebagai ibadah. Selitkanlah selawat dan zikir ketika bekerja supaya segala pekerjaan kita dipermudahkan oleh Allah SWT dan dikurniakan ketenangan hati. Firman Allah SWT:

 

“(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Allah SWT juga berfirman: 

 

“... Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita...”

(Surah al-Taubah : 40)

 

Allah SWT juga berfirman:

 

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “inilah yang diberikan kepada kami dahulu”, dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”

 

(Surah al-Baqarah: 156-157)

 

Maka, bergembiralah wahai hati-hati yang sentiasa sedih dan yakinlah dengan ganjaran yang Allah SWT janjikan buat mereka yang sentiasa bertaubat dan bertakwa. Yakinlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama dengan kita, sentiasa menunggu kita untuk bertaubat. Bertaubatlah dan serahkan semuanya kepada Allah SWT. Hiduplah untuk dipandang Allah bukan dipandang manusia. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang istiqamah melakukan kebaikan dan taat kepada Allah SWT. 


TAZKIRAH : KEBERKATAN

 TAZKIRAH : KEBERKATAN 


Maksud berkat:

Dari segi bahasa:
Berkat "barakah" maksudnya bertambah (al-ziyadah) dan berkembang. Kata ini digunakan untuk menunjukkan "kebaikan yang banyak" seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud; "Kitab penuh berkat" dan "malam penuh berkat", iaitu dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.

Rasulullah SAW juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, "Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya." Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah. Al Hafiz Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.

Ringkasnya. keberkatan dalam sesuatu itu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya.

Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan dan ibadah kita. Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang diakibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya. Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya.

Wallahu’alam.

TAZKIRAH : CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT

 TAZKIRAH : CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT


Syukur adalah satu pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memuji-Nya.

Hakikatnya, menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya.

 

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya.

 

Firman Allah S.W.T:

 وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

MaksudnyaBersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.

                                                                                                                                           Surah al-Nahl (114)

 

Pertama: Hendaklah memuji Allah S.W.T di atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

Kedua: Lakukanlah amalan-amalan sebagai satu bentuk dan tanda kesyukuran Allah S.W.T.

 

Akhir kalam, marilah kita melazimi dengan berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman AS:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

MaksudnyaWahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

Surah al-Naml (19)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Amin



Rujukan:Al-Kafi #1110 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 


TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR

 TAZKIRAH : HARTA YANG AKAN DIBAWA KE KUBUR


Ketahuilah makhluk yang namanya manusia ini, jikalau sudah punyai segunung emas maka pasti masih inginkan yang kedua. Jikalau sudah miliki yang kedua, dia akan inginkan yang ketiga.

Oleh sebab itu disebutkan mafhum dalam satu hadith, menjadi sebutan pada lidah manusia itu adalah harta dan harta, sedangkan yang telah disimpan sudah banyak, tetapi masih ingin lebih banyak. Kerana manusia itu sememangnya sifatnya suka pada harta bahkan suka mengumpul harta.

Telah dikhabarkan oleh Allah dalam Al Quran, maksudnya; "telah melalaikan kamu wahai manusia dengan menyimpan harta yang banyak dan terus dilalaikan sehinggalah nanti kamu masuk dalam kubur."

Padahal, harus disedari daripada harta-harta yang dikumpul, setakat sampai di situ sahaja, tidak akan sampai ke kubur kecuali hanya beberapa ringgit sahaja untuk beli kain kafan.

Ingatlah pesan Baginda Rasulullah SAW, sesungguhnya yang akan mengikuti mayat itu hanya tiga perkara iaitu hartanya, keluarganya dan amalnya dan yang akan balik meninggalkannya adalah keluarganya dan hartanya. Manakala yang tinggal bersamanya adalahnya amalnya sahaja. 

Maka orang yang bijak adalah orang yang miliki harta lalu dia gunakan harta-hartanya untuk mendapat manfaat di kuburnya nanti. Sepertimana sahabat bernama Abu Dzar yang telah menginfaqkan unta paling baik yang dimilkinya supaya nanti dapat melihat hasil terbaik bila mana telah berada di alam kubur sana.

Suatu ketika bertanya Baginda Rasulullah SAW kepada sahabat, maksudnya; "Manakah yang kamu lebih suka, harta kamu ataupun harta ahli keluarga kamu?"

Jawab para sahabat iaitu maksudnya; "Sudah tentu kami lebih suka harta kami wahai Rasulullah." Kemudian diulangi pertanyaan itu oleh Rasulullah untuk memastikan keyakinan sahabat dengan jawapan mereka.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; "Sesungguhnya harta kamu itu adalah harta yang kamu infaq, sedangkan harta yang dimiliki oleh waris kamu itu adalah harta yang kamu simpan."


Wallahu’alam.

TAZKIRAH : SIFAT TAWADHUK

 TAZKIRAH : SIFAT TAWADHUK




Bilakah seseorang itu dikatakan memiliki sifat tawadhuk?

Pertamaapabila seseorang itu melihat dirinya tidak mempunyai kedudukan dan tidak mempunyai nilai.

Kedua, bila mana melihat kepada makhluk yang lain, dia merasakan tidak ada yang lebih buruk berbanding dirinya sendiri. Dia sentiasa menganggap keaiban yang ada pada diri sendiri jauh lebih buruk daripada apa yang dilihat pada orang lain. 

Ini supaya setiap daripada kita selamat daripada merasa sombong, takbur dan juga supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan hakikat yang Allah mahukan kepada diri.


Wallahu’alam.






Penulis: Nur Mohamad Adli Rosli

 


TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS

 TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS


Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut.


Imam Al-Tabari menukilkan pandangan berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan:

وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة

“Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”


Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata :

وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً.

“Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.”


Tafsiran ini memberikan makna bahawa:

-Ketika di dunia rahmat Allah itu umum untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. 

-Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. 

-Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih sayang antara makhluknya.

-Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya :“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

-Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. 

-Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.

-Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya.

-Ini kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.


Wallahu’alam.