TAZKIRAH : ANTARA KISAH DALAM SURAH AL-KAHFI


Dalam zaman yang penuh dengan tipu daya dunia ini, marilah sama-sama kita merenungi pengajaran dari Surah al-Kahfi. Allah SWT mempersembahkan kepada kita empat kisah yang mempunyai simbol kepada mesej yang ingin disampaikan. Kisah pertama merupakan kisah Pemuda Kahfi yang menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda yang lari berusaha menyelamatkan agama mereka.

Kisah kedua pula adalah mengenai pemilik kebun yang dikurniakan oleh Allah harta dunia dan bagaimana harta dunia itu akhirnya menjadikan dia kufur dan jauh dari Allah. Manusia terkadang berbangga dengan harta dan pengikutnya yang ramai. Firman Allah SWT:

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". (al-Kahfi: 34)

Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah menyatakan bahawa harta yang banyak, pengaruh yang kuat serta pengikut yang ramai menjadikan manusia keliru dan akhirnya merasa tinggi diri, ego dan jauh dari bimbingan Allah. Perasaan takkabur ini merupakan salah satu daripada penyakit hati yang menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah SWT dan terus hanyut di pentas dunia.

Selain itu, perasaan ini jugalah yang menyebabkan iblis tidak mahu untuk sujud kepada Nabi Adam AS sehingga menjadi makhluk yang kufur. Kemudian Allah SWT mendatangkan kisah Nabi Musa AS pula, yang menceritakan tentang ujian ilmu. Dalam sebuah hadis, Nabi Musa AS dikatakan tidak menyangka bahawa ada orang yang mempunyai ilmu yang lebih sedikit dari dirinya. Lalu Allah wahyukan kepadanya tentang Nabi Khidir.

Kisah ini dipaterikan dalam Surah al-Kahfi bagaimana ilmu yang tersemat dalam diri seseorang berupaya menjadikan mereka ego dan sombong. Manakalah kisah yang terakhir adalah mengenai kisah Zulkarnain dan fitnah kuasa. Allah SWT mengurniakan kuasa kepada manusia adalah untuk memelihara agama Allah SWT dan bukan menjadi sombong kepadanya.

Menariknya di penghujung surah ini, Allah SWT menegaskan dengan satu amalan yang paling sia-sia. Manusia merasakan dia telah melakukan kebaikan, amalan atau sumbangan yang paling banyak sedangkan amalan itu pada hakikatnya sia-sia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

“قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا”

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Ayat ini merupakan pengajaran buat kita semua bahawa dalam segala kurniaan nikmat dan fitnah dunia yang Allah berikan kepada kita, janganlah kita sombong dan ego kerana kehidupan dunia ini bersifat sementara. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar kita diberikan pertolongan oleh Allah SWT untuk sentiasa mengingatinya dan bersyukur dengan setiap apa yang dikurniakan kepada kita sama ada kurniaan tersebut berbentuk harta, kesihatan, diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melakukan ketaatan dan sebagainya. Sentiasalah muhasabah diri kita supaya kita tidak terlepas daripada bersyukur kepada Allah SWT.


Penulis : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

No comments