TAZKIRAH : MENGENALI TOKOH MAZHAB - IMAM SYAFIE



Imam al-Syafie merupakan seorang tokoh agung yang sangat terkenal dengan keilmuannya di seluruh pelusuk dunia. Nama penuh Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdul Manaf. Keturunannya bertemu dengan Rasulullah SAW iaitu datuknya, Abdul Manaf. Imam Syafie juga merupakan pengasas kepada mazhab Syafie dan dilahirkan di Gaza pada tahun 150 Hijrah, iaitu pada tahun kewafatan Imam Abu Hanifah al-Nu’man bin Thabit, pengasas kepada mazhab Hanafi.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pendapat yang termasyhur adalah Imam Syafie dilahirkan di Gaza. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith (nasiru al-sunnah) dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad kedua hijrah. Mazhab Syafie adalah integrasi aliran pemikiran mazhab Maliki (aliran hadith) dan mazhab Hanafi (aliran al-ra’yi). Imam Syafie berpindah ke Makkah ketika berumur dua tahun dan membesar di sana. Beliau juga menghafal alQuran ketika berumur tujuh tahun dan menghafal kitab al-Muatta’ Imam Malik ketika berumur 10 tahun. Beliau juga mengambil ilmu daripada ahli ilmu antaranya Muslim bin Khalid al-Zanji al-Makki (mufti Mekah) dan dibenarkan mengeluarkan fatwa ketika berumur 15 tahun.

Di Madinah, beliau telah belajar dengan Imam Malik, iaitu setelah beliau bersedia untuk berjumpa dengannya untuk mempelajari kitab al-Muatta’. Semasa Imam Syafie menuntut ilmu, beliau berulang-alik dari Makkah ke Madinah dan berjaya menghimpun serta menuntut ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Syafie menjadi rujukan dan hujah dalam bahasa Arab. Beliau digelar nasiru al-sunnah ketika berada di Baghdad kerana membantu melawan puak bida’ah yang berkembang meluas pada ketika itu khususnya di Iraq yang membawa kepada kekacauan kerana banyaknya mengikut kepada hawa nafsu serta jauh dari Islam dan hidayah. 

Kota Baghdad juga menjadi tempat Imam Syafie memulakan penulisan buku-buku utama beliau antaranya al-Risalah al-Uula yang menghimpunkan ilmu usul fiqh dan musṭalah hadith. Semasa usia Imam Syafie yang masih muda, Imam Syafie sering mengunjungi dan bergaul dengan suku Hudzail yang tinggal berhampiran Makkah. Beliau mempelajari bahasa Arab fuṣḥah dari suku Arab asli penutur bahasa Arab yang tidak bercampur dengan laḥn dan bahasa asing yang lain. Oleh kerana itu, beliau memiliki kemampuan bahasa yang sangat baik sehingga memahami al-Quran dan hadith Nabi SAW dengan baik. Pada awalnya Imam Syafie lebih cenderung dalam mempelajari syair, sastera dan bahasa Arab. Namun, Allah SWT telah menentukannya untuk mempelajari ilmu fiqh. Dalam usianya yang muda, Imam Syafie telah mendapatkan ilmu dengan secukupnya walaupun beliau hidup dalam kemiskinan.

Pengembaraan Imam Syafie dari suatu tempat ke suatu tempat telah banyak memberi impak dalam meningkatkan ilmu yang dipelajari. Beliau juga bersifat terbuka dengan mengambil ilmu daripada ulama’- ulama’ hebat yang terdiri daripada mazhab yang berbeza. Kemuncaknya beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap syariat Islam. 

 

Rujukan: 

1. Muhammad Amirul Asraf Mohd Darawi & Kamariah Kamarudin. (2018). Manhaj Akidah Imam al-Shafie dalam Novel Rimba Jiwa dan Qalam Kalbu. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

2. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2010). Istilah-istilah Fiqah dan Usul Empat Mazhab. Putrajaya: JAKIM.

3. Akram Yusuf Umar al-Qawwasi. (2003). Madkhal Ila Madzhab al-Syafie. Jordan: Dar alNafais.

4. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin, Muhammad Arid Md Aris, Abdul Hanis Embong. (2019). Mazhab Syafie: Legasi dan Pengaruhnya di Malaysia. Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin.


No comments