TAZKIRAH : KERANA SYURGA ITU MAHAL



Terkadang kita selalu bersenang-senang dalam menjalani kehidupan seharian dan melakukan maksiat lalu mengharapkan syurga yang paling tinggi sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan kita agar berusaha dan merancang untuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW:


من خاف أدلج، ومن أدلج بلغ المنزل، ألا إن سلعة الله غالية، ألا إن سلعة الله الجنة

“Barangsiapa yang takut (ditimpa kesusahan dalam perjalanannya), maka dia akan bertolak awal dan cergas. Barangsiapa yang bertolak cergas dia akan sampai pada destinasinya. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah bahawa barang dagangan Allah itu syurga? (HR al-Tirmizi)

Menurut al-Imam al-Tibi, hadis ini merupakan satu perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah agar kita merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai destinasi syurga. Kita hendaklah merancang, bertindak keluar awal dan bergerak cergas bagi mencapai destinasi akhirat kerana syurga Allah itu mahal. (Tuhfah al-Ahwazi)

Para sahabat terdahulu berjuang bermati-matian bagi mencapai redha Ilahi. Rasulullah SAW pernah menangis ketika melihat penampilan Mus’ab di Madinah yang meninggalkan kemewahan hidupnya semata-mata kerana memperjuangkan Agama Islam. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ali yang menyebutkan:

إِنَّا لَجُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي المَسْجِدِ إِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلَيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوعَةٌ بِفَرْوٍ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَكَى لِلَّذِي كَانَ فِيهِ مِنَ النِّعْمَةِ وَالَّذِي هُوَ اليَوْمَ فِيهِ

“Ketika kami sedang duduk di Masjid, lalu datang Mus’ab ibn Umayr dengan pakaian yang bertampal. Apabila Rasulullah melihat Mus’ab, Baginda menangis kerana mengenangkan kehidupan mewah yang pernah dinikmati oleh Mus’ab.” (HR al-Tirmizi).

Ketika suasana sengit dalam Perang Uhud, Mus’ab jualah antara pejuang yang mempertahankan Rasulullah SAW. Beliau memegang panji Islam dengan tangan kanannya. Musuh datang lalu menebas tangan Mus’ab sehingga putus. Ketika lalu di hadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasulullah SAW sangat sebak. Hal ini kerana Baginda SAW terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan keseluruhan dirinya semua untuk Islam. Baginda SAW lalu membacakan ayat:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Tidak dinafikan bahawa Allah SWT berhak melimpahkan rahmatNya kepada sesiapa sahaja untuk mengurniakan syurga, namun secara fitrahnya Rasulullah SAW sendiri berusaha keras memartabatkan Islam bagi mendapatkan redha Allah dan dijanjikan syurga yang mahal. 

Jadi bagaimana pula kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam sudah berkembang. Adakah kita bersikap sambil lewa dalam menjalani kehidupan seharian tanpa mempedulikan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan Islam?  

Masih ada lagi kah alasan atau sebab untuk tidak melaksanakan suruhan Allah SWT? Perlu diingati bahawa Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu melainkan mampu dilaksanakan oleh hambaNya. Oleh itu, marilah kita sama-sama melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya kerana syurga itu mahal. 

Semoga kita semua sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. 





Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

No comments