TAZKIRAH : TIDAK MENDEDAHKAN AIB PASANGAN

 


Suami dan isteri itu sifatnya saling melindungi. Dalam al-Quran, Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

 “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:

جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء

“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah SAW:


إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)

Begitu juga menurut Rasulullah SAW, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah SAW:

خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك

"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu." (HR Abu Daud al-Tayyalisi)

Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah SWT mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti. Jika dilihat pada firman Allah SWT dan hadis-hadis yang telah dinyatakan pada sebelum ini juga menyatakan bahawa seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah SWT:

 ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡض

 

Maksudnya: “ Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan...” (Surah al-Nisa': 34)

Imam al-Baidhawi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat. Hal ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberi nafkah semata bahkan lebih daripada itu. 

Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah dengan mendidiknya. Suami tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarga hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalah seorang suami yang dayus.

 Bahkan saat maruah isteri dihina, suami wajib mempertahankannya.

 Oleh itu, dalam melayari bahtera perkahwinan setiap pasangan seharusnya saling menjaga antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun lebih-lebih lagi pada zaman penggunaan teknologi yang semakin berleluasa memudahkan lagi setiap pasangan terjerumus atau secara tidak sedar telah menyebarkan aib pasangan masing-masing. 

Semoga setiap daripada kita dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmat. 

 





Rujukan : Dr. Ahmad Sanusi Azmi
: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

No comments