Showing posts with label tazkirah. Show all posts

TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN

 TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN


Tidak ada makhluk apa pun juga yang melata di atas muka bumi ini melainkan rezekinya sudah dijamin oleh Allah SWT. Yakni, jangan sahaja manusia, bahkan setiap makhluk lain seperti haiwan juga telah dijamin rezekinya oleh Allah.

Rezeki yang telah dijamin itu sudah ditentukan, seumpama sesuap nasi itu jikalau belum sampai rezeki, belum tentu sampai ke mulutnya. Jikalau sesuap nasi itu adalah rezeki baginya, pasti akan sampai ke mulutnya dan ditelan. Apatah lagi rezeki-rezeki yang lain.

Oleh itu, haruslah mereka yang beriman memahami bahawa menyangka rezeki yang tidak akan cukup untuk dirinya adalah sesuatu sangkaan yang salah.

Orang yang tidak eprnah merasa cukup dan tamak dengan dunia pasti tidak akan didapati kehendaknya melainkan apa yang sudah didapatinya sekarang. Apa lagi yang dicari? Apa lagi yang diharapkan?Tidak akan mencapai kebahagiaan dihatinya melainkan daripada apa yang didapati lalu diucapkan Alhamdulillah.

Bukan daripada apa yang didapati lalu diucap, "Tidak cukuplah ini."

Berkata Imam Abdullah AL-Haddad, "Yang Allah telah tentukan untuk orang lain tidak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentu oleh Allah untuk kamu pasti akan sampai kepada kamu." Maka fahamilah, apa yang kamu cita-citakan itu sejauh manayang akan berlaku tetap sepertimana apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Begitu juga ketentuan rezeki oleh Allah itu, termasuk bilangannya. Berapa yang kita dapat itulah bahagian daripada ketentuan rezeki untuk kita, sama ada ia kurang ataupun banyak menurut kita.

Maka setiap orang yang beriman akan faham, bila mana didapati rezeki walaupun zahirnya tidak cukup tetapi mestilah mempunyai sifat menerima. Itulah kadar rezeki yang ditentukan Allah buatnya dan akan terus berikhtiar untuk menjemput rezeki Allah.

Turut jauh sekali untuk orang yang beriman mengatakan, "Rezeki sepertiini tidak sepatutnya saya dapat," sebagai maksud tidak menerima ketentuan rezeki buatnya. Ini antara tanda orang itu tidak mempunyai sifat mulia Al-Qana'ah.

Wallahu’alam.

TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI

 TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI


Jangan Tinggal Ayat Kursi Lepas Solat
=============
1. Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)

2. Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung. Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟  قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)

3. Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:

إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق

“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”

4. al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

5. Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari. Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

6. Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.

Penulis :Dr. Ahmad Sanusi Azmi





TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'

 TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'


Istilah rahsia untuk berjaya sebenarnya sudah tidak wajar digunakan dan ia perlu digantikan dengan perkataan lain kerana ia bukan lagi rahsia.

Rahsia itu apabila hanya diri kita sendiri sahaja yang mengetahui, namun berkenaan tips untuk berjaya, sudah terlalu banyak yang dihebahkan sehingga ia bukan lagi rahsia.

Kita terlalu taksub dengan rahsia untuk berjaya sehingga kita sering mencari tips daripada orang sekeliling mengenainya sedangkan, jika digabungkan tips yang diperoleh, semuanya adalah sama.

Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang individu tersebut mengamalkan tips itu.

Dan pokok pangkalnya adalah bergantung kepada anda sendiri. Bagaimana anda mengambil dan menyerap tips tersebut untuk digunakan.

Mencari tips sahaja tidak memadai jika ia hanya diperam dan tidak digunakan. Ataupun jika anda bersikap suka menangguhkan sesuatu dan berfikir – “Tidak mengapalah, nanti aku atur strategi. Sekurangnya, rahsia kejayaan sudah ada dalam genggamanku.”

Sikap-sikap seperti inilah yang perlu dibuang jauh-jauh dari diri anda kerana ‘rahsia’ terbesar orang yang berjaya adalah dengan memulakan langkah, bukan menunggu dan terus menunggu.

Antara tips kejayaan yang dikongsi dan tidak boleh diabaikan oleh anda adalah;

#1 – Pasang matlamat dan sentiasa ingatkan diri anda mengenai apa yang ingin dicapai.

#2 – Disiplin diri adalah keutamaan kerana orang malas sukar untuk meraih kejayaan. Jalan menuju kejayaan pastinya berliku-liku. Dan ia hanya boleh dilalui oleh orang yang rajin berusaha.

#3 – Selesaikan masalah yang melanda secara perlahan-lahan. Fokus pada satu-satu perkara agar ia tidak menyerabutkan diri anda sehingga boleh menyebabkan anda hilang fokus terhadap perkara utama.

#4 – Jangan bertangguh dan selesaikan pekerjaan sedikit demi sedikit.

#5 – Amalkan gaya hidup yang sihat seperti bangun pada awal pagi.

#6 – Latih diri anda berfikir dengan mencari idea-idea yang kreatif. Ingat, orang yang berfikir selalunya akan maju 10 langkah ke hadapan.

#7 – Anda tidak boleh buang negativiti di sekeliling anda, namun anda boleh menghadapinya dengan menyesuaikan keadaan diri sendiri. Minda anda memainkan peranan yang penting dalam menguruskan tekanan sekeliling.

#8 – Jika wujud pemikiran negatif dari diri anda, jangan dilayan terlalu lama. Sekejap sahaja sudah memadai kemudian buang ia jauh-jauh. Jika perlu, minta pandangan daripada orang sekeliling.

#9 – Sabar kerana tiada perkara yang mudah dalam kehidupan ini.

Tiada masalah untuk anda terus mencari tahu ‘rahsia’ daripada orang berjaya kerana ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mengorak langkah.

 

Namun, dalam masa itu, teruskan mengatur langkah agar suatu hari nanti, orang lain juga boleh datang kepada anda untuk meminta ‘rahsia’ kejayaan daripada anda.

 Wallahu a’alam

Semoga Allah membimbing kita semua.

TAZKIRAH : SENSETIF DENGAN PERKARA DOSA

 TAZKIRAH : SENSETIF DENGAN PERKARA DOSA


1. Adalah menjadi suatu perkara yang membimbangkan apabila seorang mukmin sudah tidak sensitif lagi dengan perkara kemungkaran. Sehingga mereka merasakan melihat perkara dosa itu adalah suatu perkara biasa. Kita seharusnya sedar bahawa syaitan mempunyai agenda normalisasi yang berupaya menjadikan mukmin tidak merasa apa-apa apabila menyaksikan perkara dosa dan kezaliman.

2. Rasulullah pernah memberikan indikator yang mudah tentang hati orang yang beriman. Suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah ﷺ:

مَا الْإِيمَانُ؟ قَالَ: إِذَا سَرَّتْكَ حَسَنَتُكَ، وَسَاءَتْكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنْتَ مُؤْمِنٌ

Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah ﷺ menjawab: Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad dan Nasai’e)

2. Hadis ini menggambarkan bahawa salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Apabila mereka melihat kemungkaran, hati dan jiwa seorang mukmin seharusnya berasa tidak tenang.

3. Dengan sebab itu dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (HR al-Bukhari)

4. Dalam era moden ini, lambakan kerosakan disajikan di dalam media sosial sehingga mukmin merasakan perkara itu sebagai suatu perkara yang biasa.

5. Sehinggalah agenda normalisasi ini suatu hari nanti akan merubah sistem nilai seorang mukmin, yang tidak lagi memandang sensitif soal dosa dan pahala menjadikan mereka semakain jauh dari apa yang telah digariskan oleh Rasulullah.

Semoga Allah membimbing kita.

Penulis: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

TAZKIRAH : TIDAK BERZIKIR HATI AKAN MATI

 TAZKIRAH : TIDAK BERZIKIR HATI AKAN MATI


1. Dalam al-Quran, Allah mengingatkan setiap muslim agar sentiasa memperbanyakkan zikir memperingatiNya. Setiap tindak tanduk muslim yang diiringi dengan rasa diperhatikan oleh Allah akan menghasilkan individu yang berkualiti. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab)

2. Mereka yang sering berzikir mengingati Allah akan mencapai ketenangan jiwa. Ini seperti mana yang dijelaskan di dalam al-Quran:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d: 28)

3. Zikir bukan sahaja menenangkan jiwa malah menghidupkan hati. Mereka yang sentiasa mengingati Allah akan sentiasa merasakan diri mereka diperhatikan, sekaligus mengawal tindak tanduk mereka dari melakukan perkara terlarang.

4. Barangkali atas sebab itu Rasulullah menjelaskan bahawa mereka yang berzikir ini seumpama orang yang hidup, sedangkan orang yang tidak berzikir ini seumpama orang yang mati. Sabda Rasulullah:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

“Perumpamaan orang yang mengingati Allah dengan orang yang tidak mengingatiNya, seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati.” (HR al-Bukhari)

5. Oleh yang demikian, maka tidak hairanlah Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa memulakan hari kita dengan zikir kepada Allah, agar kehidupan harian ini kita dimulakan dengan sesuatu yang paling berharga sebagai pembimbing perjalanan seharian nanti. Sabda Rasulullah:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ حِينَ رَدَّ اللَّهُ إِلَيْهِ رُوحَهُ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ "

"Tiada seorang hamba yang membacakan (zikir ini) ketika Allah memulangkan ruhnya (iaitu ketika dia bangun dari tidur) lalu dia mengucapkan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maka Allah akan menghapuskan dosanya sekalipun (dosa itu) sebanyak buih dilautan. (HR Ibn al-Sunni )

Semoga Allah membimbing kita.

Penulis: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

TAZKIRAH : INGAT 5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA

 TAZKIRAH : INGAT 5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA 


Sabda Nabi Muhammad SAW:


إِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَا بَكَ قَبْلَ هَرَ مِكَ ، وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ ، وَ غِنَا كَ قَبْلَ فَقْرِ كَ ، وَ فَرَا غَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ ،وَ حَيَا تَكَ قَبْلَ مَوْ تِكَ


Maksudnya“Gunakanlah yang lima sebelum datang yang lima: Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa kosongmu sebelum datang masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu.”

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Dunia adalah jambatan menuju ke akhirat. Dunia bukanlah sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Jadi, sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

Seperti yang disebutkan dalam hadis iaitu kita mestilah rebut peluang yang Allah bagi dalam lima masa sebelum datangnya lima masa. 

Rasulullah mengingatkan kepada kita untuk tidak sia-siakanpeluang ini, peluang ini sekiranya kita ambil remeh terhadapnya, maka akan terlepaslah peluang atau nikmat ini.

Terdapat 5 nikmat yang disebutkan iaitu:

-Waktu muda sebelum waktu tua  (شَبَا بَكَ قَبْلَ هَرَ مِكَ)

-Waktu sihat sebelum waktu sakit  (وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ)

-Waktu kaya sebelum miskin  (وَ غِنَا كَ قَبْلَ فَقْرِ كَ)

-Waktu lapang sebelum waktu sibuk (وَ فَرَا غَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ)

-Waktu hidup sebelum meninggal dunia (وَ حَيَا تَكَ قَبْلَ مَوْ تِكَ)


Maka itu kita mestilah gunakan waktu-waktu ini selagi kita masih mempunyai kelapangan masa, ketika dikurniakan kekayaan atau yang muda dan yang sihat. Oleh itu, kita diingatkan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW melalui hadis tersebut. Semoga waktu-waktu yang dimiliki oleh kita memperoleh berkat Allah SWT.




Wallahu’alam.

TAZKIRAH : BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA DAN ORANG LAIN

 TAZKIRAH : BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA DAN ORANG LAIN


Sesungguhnya Allah menyuruh setiap mukmin itu berbuat baik kepada orang tuanya. Sungguh amat berbeza tingkatan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana mengingati jasanya sahaja, dengan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana menurut perintah Allah SWT. Nilai yang lahir kerana perintah Allah itu jauh lebih berkualiti.

Sekiranya ada anak yang dilahirkan oleh seseorang dan sejak mula lahir anak itu dibuang seperti diberikan kepada sesiapa yang lain. Ini sehinggalah anak itu dewasa dan mungkin sudah menjadi senang, maka barulah orang tuanya kembali kepadanya kerana menghadapi sesuatu kesusahan lalu meminta bantuan kepadanya.

Apakah agaknya si anak itu akan berkata jikalau dasar berbakti kepada orang tua itu adalah kerana punyai jasa, 'Engkau dahulu buang aku, sekarang susah baru cari aku?"

Namun dalam agama, tidak. Kita perlu berbakti kepada orang tua walaupun dia buang anaknya sendiri, walaupun dia tidak menjaga anaknya. Ini kerana dasar sebenar berbuat baik kepada orang tua yang diajar Rasulullah, bukan kerana apa jasa mereka kepada kita, tetapi kerana Allah yang menyuruh kita berbuat baik kepada orang tua.

Begitu juga perintah Allah untuk berbuat baik kepada kaum kerabat. Sekiranya kaum kerabat itu tidak berbuat baik kepada kita, adakah kita tidak perlu berbuat baik kepada mereka?Tidak. Kita tetap perlu berbuat baik. Ini kerana yang menyuruh berbuat baik kepada kerabat itu adalah Allah dan bukan kerana kerabat itu berbuat baik kepada kita. Demikian juga kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat. 

Wallahu’alam.

5 Kelebihan Berselawat Kepada Rasulullah S.A.W

 Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud;


“Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi S.A.W dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”Surah Al-Ahzab : 56


Amalan berselawat ini amat dituntut dalam kehidupan kita seharian. Allah S.W.T dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Di mana pula kita sebagai umat baginda? Lebih-lebih lagi sewajarnya patut berselawat kepada baginda.


Sesungguhnya berselawat bukan satu amalan yang merugikan. Malah, ia membawa seribu kebaikan dan kelebihan kepada yang sering mengungkapkan selawat. Apakah kelebihan dan kehebatan selawat itu?


1- Sekali Berselawat 10 Kali Pahala

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda:

“Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.”Riwayat Imam Muslim


2- Diampunkan Dosa Dan Diangkat Darjat

Daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi S.A.W bersabda

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, Allah akan berselawat(memberi rahmat) atasnya 10 selawat(rahmat), dihapuskan 10 kesalahan(dosa) daripadanya dan diangkatkan 10 darjat untuknya.”Riwayat an-Nasa’i


3- Mendapat Syafaat Di Hari Kiamat

Daripada Sayyidina Abu ad-Darda’ r.a., Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang berselawat ke atasku pada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.”Riwayat ath-Thabrani


4- Mendapat Kebahagiaan Hidup

Dengan berselawat, Allah akan menganugerahkan seseorang itu kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia dan di akhirat.

Hati yang gelisah akan menjadi tenang dan tenteram. Hilanglah segala kekusutan dan kecelaruan hati apabila selawat sering diamalkan.

Kebahagiaan dan ketenangan adalah anugerah yang sangat agung kerana setiap manusia inginkannya. Dan untuk mendapatkannya adalah melalui jalan selawat. Jom berselawat!


5- Dipermudahkan Urusan Hidup

Allah akan memudahkan urusan kehidupan kita dengan kita memperbanyakkan berselawat kepada Nabi S.A.W.

Jika sesuatu urusan itu berat untuk dilakukan, hati tidak cepat mengalah dan dapat melakukan dengan hati yang tenang. Tidak cepat marah. Tidak mudah diserang stress.

Inshaa Allah, semuanya atas kehendak Allah S.W.T. Yakinlah dan beramallah secara berterusan. Semoga urusan hidup terasa ringan dan tidak lagi berat.


Oleh itu, Jom Perbanyakkan Berselawat..Lagi-lagi di Hari Jumaat yang penuh barakah ini..Jom selawat!


TAZKIRAH : KEBERKATAN

 TAZKIRAH : KEBERKATAN 


Maksud berkat:

Dari segi bahasa:
Berkat "barakah" maksudnya bertambah (al-ziyadah) dan berkembang. Kata ini digunakan untuk menunjukkan "kebaikan yang banyak" seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud; "Kitab penuh berkat" dan "malam penuh berkat", iaitu dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.

Rasulullah SAW juga sering kali mendoakan para sahabatnya agar Allah memberkati mereka seperti doa Baginda untuk Abu Qatadah, "Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya." Sejak itu, kulit dan rambut Abu Qatadah tidak pernah beruban meskipun usianya bertambah. Al Hafiz Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq bercerita bahawa Abu Qatadah wafat pada usia 70 tahun namun kulit dan rambutnya seperti remaja berusia 17 tahun.

Ringkasnya. keberkatan dalam sesuatu itu bermakna kualiti sesuatu itu berkembang sehingga melampaui kuantitinya.

Jika sebelum makan kita meminta Allah memberkati makanan kita, bermakna kita meminta agar makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan dan ibadah kita. Kuantiti, bentuk dan rasa makan itu mungkin tidak berubah, namun kesan positif yang diakibatkannya akan segera dirasakan oleh orang yang memakannya. Tubuhnya semakin kuat dan terhindar daripada penyakit, jiwanya terasa lebih ringan untuk melakukan perkara yang bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya.

Wallahu’alam.

TAZKIRAH : BUKAN ALLAH TIDAK SAYANG

 TAZKIRAH : BUKAN ALLAH TIDAK SAYANG




Adapun orang-orang yang diduga oleh Allah dengan melimpahnya harta kepadanya, maka mereka mengatakan, "lihatlah Tuhan aku telah memuliakan dan sayang kepada aku lalu memberikan aku harta yang melimpah ini." 

Begitu juga bagi mereka yang diduga Allah dengan kesempitan hartanya lalu mereka mengatakan Allah tidak sayang dan tidak cinta mereka. Ini juga salah kefahamannya.

Jangan menganggap bahawa banyaknya harta itu bererti Allah memberi kemuliaan kepada kita dan jangan pula menganggap bahawa kurangnya harta itu bererti penghinaan kepada kita.

Hal ini kerana sekiranya kemuliaan itu dinisbahkan kepada hartanya, maka Qarun tidak akan dilingkupkan bersama hartanya di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya akan senantiasa ada orang-orang yang diduga dengan kekurangan harta.

Oleh itu, wahai orang-orang yang diduga dengan banyaknya harta daripada pemberian Allah itu kamu tidak memberikan mana-mana bahagian daripada harta kamu itu untuk membantu anak-anak yatim dan juga mereka yang memerlukan, lalu kamu mendakwa diri kamu dimuliakan dengan harta kamu itu?

Wahai orang-orang yang mendakwa dirinya hina kerana diduga dengan kurangnya harta. Adakah kamu menyangka dengan rasa hina itu dan merasakan kamu akan dimuliakan jikalau diberikan harta sedangkan kamu mempunyai sifat yang sama iaitu tidak membantu anak-anak yatim dan yang memerlukan?

Sesungguhnya hakikat hina adalah pada orang-orang yang diberikan harta namun berasa sombong dengan hartanya dan tiada membantu serta memberi manfaat kepada orang lain, yang akhirnya nanti akan dihukum oleh Allah.


Wallahu’alam.

TAZKIRAH : SAHABAT YANG BAIK

 TAZKIRAH : SAHABAT YANG BAIK



Dalam adab kepada sahabat itu, carilah apa sahaja kemungkinan untuk memungkinkan kesilapan yang dilakukan oleh temanmu itu sampai kepada 70 kali kemungkinan. Sebagai contoh jikalau kita berkawan dengan seseorang, kemudian dia buat suatu jemputan dan kita tidak dijemput. Maka reaksi yang bagaimanakah yang kita pilih ketika itu?

Adakah kita akan berkata,"Orang ini memang tidak tahu hak
persahabatan,"
, ataupun,"Orang ini selalu begitu, apabila sudah senang tidak ingat langsung sahabatnya." Ketahuilah, perkataan-perkataan sebegini adalah reaksi orang yang mencari kemungkinan yang buruk.


Namun jikalau orang yang ikhlas dalam bersahabat, maka akan dicarinya kemungkinan-kemungkinan yang baik iaitu akan dikata bahawa, "Mungkin dia terlupa," ataupun, "Mungkin terlalu ramai yang dijemput sehingga terlepas pandang aku," ataupun, "Mungkin dia menyangka bahawa telah menjemput aku."


Hatta jikalau dirasakan tidak mungkin segala kemungkinan tersebut, carilah apa sahaja kemungkinan lain yang membolehkan kamu tidak menyalahkan sahabatmu itu.


Orang yang sanggup mencari kemungkinan seperti ini, itulah juga
tanda orang yang sanggup bersahabat dengan sahabatnya kerana itulah hak yang perlu ditunaikan dalam persahabatan. Begitu juga dalam apa sahaja perkara lain selain hal jemputan, seperti berselisih sehingga tidak diucap ataupun dijawab salam.


Yang seterusnya, usahakanlah dalam bersahabat itu bila mana ingin
menasihati, carilah saat dan ketika yang sesuai dan tepat. Jangan pula diberi nasihat itu dalam keadaan sahabat itu sedang runsing kerana boleh jadi itu lebih merunsingkan emosinya, lalu timbul kemarahan daripadanya.


Ayuh sama-sama doakan moga-moga Allah mengurniakan kepada
kita sahabat-sahabat yang baik di dunia untuk kita bersahabat juga dengan mereka di akhirat. Dan juga moga-moga dikurniakan juga buat kita sahabat- sahabat yang akan menunjukkan kesilapan dan aib kita supaya kita dapat memperbaiki kekurangan yang ada pada kita melalui teguran daripada sahabat-sahabat kita.


Moga-moga Allah menjadikan diri kita saat mendapat teguran daripada sahabat kita, maka mampu lidah kita mengucapkan Jazakallahu khairan.


Pilihlah sahabat-sahabat yang baik supaya kita menjadi baik. Yang
daripada kesungguhan mereka mencari bimbingan daripada Allah, maka akan kita juga menuruti kesungguhan mereka itu.





Wallahu’alam.

TAZKIRAH : DOA MEMOHON DIMUDAHKAN URUSAN

 TAZKIRAH : DOA MEMOHON DIMUDAHKAN URUSAN



Dunia hanyalah sementara untuk kita beramal dan menyemai benih-benih pahala. Negeri akhirat jualah yang kekal abadi dan tempat untuk kita menuai hasil dan menerima balasan amal yang lakukan di dunia.

Dunia adalah tempat untuk manusia diuji sama ada kita beriman kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, sepanjang kehidupan kita, kita akan sentiasa berdepan dengan ujian, dugaan, tekanan serta masalah untuk Allah SWT nilai tahap keimanan, ketaqwaan, kehambaan serta kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT:

اَحَسِبَ النَّاسُ اَنْ يُّتْرَكُوْٓا اَنْ يَّقُوْلُوْٓا اٰمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُوْنَ

Maksudnya: "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja)
mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?"
 

(Surah al- Ankabut: 2)

Bagi seorang Muslim, sudah pastinya segala urusan di dunia ini, akan kita
sandarkan kepada Allah SWT Yang Maha kuasa. Ini kerana, hanya Allah SWT sebaik-baik penolong.


اَلَّذِيْنَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ اِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوْا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ اِيْمَانًاۖ وَّقَالُوْا حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ

Maksudnya: "(laitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada
mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia telah
mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, keranna itu takutlah kepada
mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung".
(Surah al-Imran: 173)

Dalam menjalani kehidupan harian adakalanya kita menghadapi saat yang sukar. Sama ada mahu ataupun tidak, waktu yang sukar itu tetap perlu dilalui. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, kita boleh memohon doa dipermudahkan urusan. Antara doa yang boleh diamalkan sepanjang kehidupan seharian kita ialah:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya"Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan."


TAZKIRAH : JADIKAN DIRI SEBAGAI ANAK KUNCI KEBAIKAN

 TAZKIRAH : JADIKAN DIRI SEBAGAI ANAK KUNCI KEBAIKAN 


"Amat malang bagi sesuatu masyarakat yang dihuni oleh manusia yang sentiasa menjadi anak kunci kepada kejahatan."

Manusia tidak dapat mengelak daripada bertemu dan bersua dengan orang lain, jika kita tidak berhajat untuk berjumpa dengan orang lain, kemungkinan orang lain pula yang akan menemui kita. Setiap pertemuan yang dirancang pasti mempunyai tujuan, sama ada tujuan itu tergolong dalam perkara yang makruf ataupun sebaliknya. Hanya pertemuan yang berlaku secara spontan atau di luar jangkaan sahaja yang tidak mempunyai sebarang motif.

Justeru manusia mempunyai keperibadian masing-masing, mereka mempunyai identiti tersendiri atau kerjaya yang tertentu. Jika dia seorang doktor perubatan, lazimnya para pesakit yang akan menemuinya bag mendapatkan khidmat nasihat dan juga rawatan. Jika dia seorang alim, mungkin orang akan datang minta khidmat beliau untuk memberi ceramah atau nasihat agama. Jika dia seorang hartawan, pasti orang-orang miskin yang amat berhajat menemuinya. Begitu juga jika dia seorang penganjur pesta hiburan, hampir pasti yang akan mengunjunginya adalah golongan penghibur dan yang dahagakan hiburan.

Orang akan mengenali imej atau identiti sebenar seseorang, hanya dengan melihat cara pergaulan dan jenis-jenis orang yang mereka gauli. Jika mereka yang tergolong orang baik dalam kehidupan hariannya, orang yang berada di sekeliling mereka dan orang yang hendak menemuinya lazimnya daripada kalangan mereka yang baik serta dengan tujuan baik, yang sesuai dengan watak dan sikap orang yang hendak ditemui itu.

Seseorang yang mempunyai masalah, apabila mereka menemui orang lain maka pasti mereka akan menemui hanya kepada orang yang diyakini dapat menyelesaikan masalah mereka. Orang yang berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seseorang, mereka dianggap sebagai berjaya membuka peti permasalahan dengan anak kunci kebijaksanaan yang ada pada dirinya.

Seseorang dapat dikenali dalam masyarakatnya hanya dengan melihat siapakah orang-orang yang kerap mengunjunginya kerana manusia sentiasa memiliki rakan dan sahabat yang sealiran cara hidup dengannya. Tidak mungkin seorang penipu menemui orang alim untuk mendapat nasihat bagaimana cara menipu yang berjaya, sebab mereka juga tahu bahawa orang baik tidak akan mengajarnya untuk jahat.

Sebaliknya orang yang berakhlak mulia, tidak mungkin menemui seorang kaki judi dan kaki botol, dengan tujuan untuk mendapat nasihat bagaimana hendak memperbaiki diri  kerana kedua kenyataan itu mempunyai percanggahan yang nyata. Pada lazimnya orang jahat akan dikunjungi orang-orang yang jahat juga, kerana mereka sealiran dalam fikiran dan tindakan, ibarat pasangan kasut antara kiri dan kanan, mempunyai ciri-ciri yang sama, menyebabkan mereka seiring jalan, jika terpisah boleh menyebabkan yang sebelah lagi tidak berguna.

Sementara orang-orang yang baik berilmu dan berakhlak, seperti pasangan kasut itu juga, rakan-rakan dan sahabatnya ibarat kasut kiri dan kanan, serasi dan pasti mereka saling seiring jalan dan sama tujuan. Secara logiknya bahawa dalam himpunan batang yang lurus jika terdapat sebatang yang bengkok pasti akan menghalang penyusunan yang baik. Lantaran itu, yang bengkok mesti diluruskan atau dihindarkan jika tidak dapat diluruskan.

Bagaimanapun adakalanya orang-orang yang buruk perilaku mengunjungi orang baik dan berakhlak, keadaan begini harus waspada selama belum pasti apa tujuannya. Jika mungkin mereka ada tujuan yang baik, ingin mendapat nasihat kerana mereka ingin menjadi orang yang baik, maka ini adalah kebaikan orang itu telah menarik perhatian orang yang buruk perilaku itu untuk merubah keadaan dirinya.

Tetapi jika orang yang buruk perangai itu hendak melibatkan orang yang baik ke arah kejahatan yang mereka lakukan, maka langkah pertama bag orang yang berakhlak mulia itu menasihati orang yang berperangai buruk itu agar mereka tidak meneruskan sebarang pekerjaan buruk.

Setiap orang yang bermasalah jika menemui orang lain, adalah disebabkan mereka menganggap bahawa orang itu dapat tolong mengatasi masalah mereka, orang itu ibarat anak kunci yang mampu membuka peti permasalahan mereka yang sukar diatasi. Setiap orang yang mampu menolong atau mengatasi masalah yang dikemukakan oleh orang lain, ertinya dia memiliki anak kunci dan orang akan bertumpu kepadanya kerana mereka menganggap bahawa permasalah mereka akan terurai.

Sahal bin Sa'ad berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

"Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penyelak (penghalang) kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penyelak (penghalang) kepada kebaikan."
H.R Ibnu Majah


Hadis di atas mengungkapkan suatu tamsil ibarat untuk menggambarkan berapa sebarang permasalahan ada kunci penyelesaian, tetapi seseorang harus memastikan bahawa dia hanya akan menjadi anak kunci kepada setiap kerja kebajikan dan menutup rapat pintu kejahatan dengan menjadikan dirinya sebagai penyelak (penghalang) yang kukuh yang tidak memungkinkan sebarang kejahatan akan bertunas hasil daripada usaha tangannya. Justeru setiap masyarakat itu perlu dihuni oleh orang yang akan menjadi kunci kepada kebaikan semata-mata, golongan in amat diperlukan, kerana di tangan mereka terletaknya islah atau usaha perbaikan dalam masyarakatnya. Amat malang bagi sesuatu masyarakat yang dihuni oleh manusia yang sentiasa menjadi anak kunci kepada kejahatan, dan menjadi penyelak (penghalang) kepada usaha makruf. Kepada golongan ini Rasulullah S.A.W telah memberi amaran keras bahawa mala petaka neraka sedang menunggu mereka.


Wallahu'alam.

TAZKIRAH : KIKIR SIFAT MANUSIA YANG TIDAK BERSYUKUR

 TAZKIRAH : KIKIR SIFAT MANUSIA YANG TIDAK BERSYUKUR 



"Sifat kecintaan yang keterlaluan terhadap harta benda dunia menyebabkan mereka terlalu kikir."



Sesungguhnya harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T adalah suatu nikmat yang terkandung dalam ujian, mampukah manusia menerima ujian kesenangan dan kekayaan dunia. Ada manusia yang sabar menerima kesusahan dan kepayahan hidup, tidak kurang juga yang gagal apabila diuji dengan kesenangan.


Orang yang bersifat bakhil dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka, adalah antara mereka yang kecundang. Sifat kecintaan yang keterlaluan terhadap harta benda dunia menyebabkan mereka terlalu kikir, atau genggam tak tiris.


Kekayaan adakalanya tidak memberi erti apa-apa terhadap pemiliknya, terutama ketika mereka ditimpa penyakit kronik. Selera makannya tiada walaupun dia mampu mengadakan makanan yang beraneka dan serba enak. Tambah malang lagi apabila doktor mengenakan pelbagai pantang larang, akhirnya walaupun lauk-pauk yang lazat-lazat terhidang di hadapannya, namun ia hanya menjadi penonton sahaja, kerana hampir kesemua yang lazat itu adalah pantang buat dirinya.


Andai kata orang itu sembuh daripada sakit yang dihidapi, sedangkan sakitnya itu menyebabkan ia telah kehilangan berbagai nikmat hidup itu, maka sewajarnya ia bersyukur atas kurnia Allah itu. Adalah aneh jika harta yang hampir-hampir tidak dapat menyenangkan dan membahagiakan dirinya ketika ia sakit dulu, tiba-tiba ia tetap kikir dan terlalu liat untuk menghulur bantuan setelah ia sihat.


Pernah diceritakan oleh Rasulullah S.A.W tentang tiga orang yang menghidap penyakit sopak, rambut gugur dan buta mata. Setelah seorang tabib datang mengubat ketiga-tiga lelaki yang sakit itu, maka sembuhlah sakitnya.


Beberapa waktu kemudian orang yang telah sembuh dari sakit sopak itu didatangi oleh seorang peminta sedekah yang sakit sopak, sayangnya peminta sedekah yang sopak itu tidak mendapat sedekah walaupun satu dirham.


Selang beberapa ketika, lelaki yang telah sembuh daripada sakit gugur rambut itu didatangi pula oleh peminta sedekah yang juga sakit gugur rambut, namun nasib peminta sedekah ini sama juga seperti peminta sedekah yang berkunjung ke rumah bekas pesakit sopak.


Sementara itu, lelaki yang telah dapat melihat semula setelah diubati seorang tabib didatangi oleh seorang buta peminta sedekah, nasib si buta peminta sedekah agak baik kerana lelaki yang dapat melihat setelah buta sekian lama tetap bersyukur dengan kurnia Allah. Apatah lagi dengan kedua-dua matanya dapat melihat alam, menyebabkan dia lebih mudah mencari rezeki.


Tetapi tiba-tiba lelaki buta peminta sedekah itu tidak lagi memerlukan wang atau harta sedekah yang dimintanya tadi, dia menyatakan bahawa sebenarnya dia tidak memerlukan harta dan wang ringgit dalam kehidupannya, kerana dia seorang malaikat yang datang untuk kali keduanya menyamar sebagai manusia. Kali pertama dia menyamar sebagai tabib yang mengubati ketiga-tiga pesakit iaitu pesakit soak, rambut gugur dan juga buta.


Menurut malaikat itu dia datang menemui ketiga manusia itu kerana hendak menguji apakah ia tergolong orang yang bersyukur setelah sekian lama menghidap penyakit, lalu dia tahu hanya seorang sahaja yang mensyukuri nikmat Allah. Lantaran itu ia tidak keberatan bersedekah kerana dia tahu fadhilat sedekah, lebih-lebih lagi apabila dia mengingati betapa sulitnya hidup sebagai orang buta, apabila Allah S.W.T sembuhkan butanya, maka amat besarlah syukurnya kepada Allah yang Maha Pengasih itu.






Wallahu'alam.


TAZKIRAH : KASIH SAYANG ALLAH MENGATASI KEMURKAAN-NYA

 TAZKIRAH : KASIH SAYANG ALLAH MENGATASI KEMURKAAN-NYA



Manusia tidak akan selesa berdiri di tengah panas terik, malah tidak mungkin dapat bertahan lama. Lantaran itu jika seseorang sudah tahu tempat yang hendak ditujunya tidak ada tempat bernaung, langkah yang paling bijak ialah menyediakan payung atau khemah tempat berteduh terlebih dahulu.

Di Padang Mahsyar, betapa matahari menyinar terik, bagaikan berada sejengkal di atas kepala. Matahari sudah tidak beredar lagi, menyebabkan waktu malam tidak menjelma lagi seperti di dunia, oleh itu tidak ada malam yang akan menggantikan siang. Akan berjemur selama menanti hari perhitungan, untuk dihitung dan ditimbang
dosa pahala seseorang.

Seluruh manusia secara sukarela atau terpaksa berada di padang terbuka yang panas membahang, saling mencari tempat berteduh, tetapi sia-sia kerana tiada sebarang poon yang tumbuh di sana. Tidak ada usaha atau ikhtiar yang dapat dilakukan, kecuali jika mereka membawa payung.

Orang-orang yang beriman memang telah bersedia berbekal payung, mereka selalu mendengar nasihat Rasulullah S.A.W agar bersiap sedia terhadap kedatangan hari kebangkitan itu. Mereka menyediakan sebanyak mungkin bekalan dan juga payung untuk menghadapi saat panas terik yang tidak berpenghujung, pada hari yang tiada tempat bernaung kecuali naungan rahmat Allah.

Resulullah S.A W memberitahu umatnya bahawa antara payung yang boleh dibekalkan lalah apabila. seseorang it bersedekah ikhlas kerana Allah. Amalan sedekah yang tidak dicacati oleh perbuatan riak atau menunjuk- nunjuk, atau diungkit- ungkit. Kerana sedekah yang diungkit adalah sia-sia, hartanya habis tetapi tidak mendapat pahala.
Firman Allah S.W.T;

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌۭ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌۭ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًۭا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍۢ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menghancurkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia."

Surah al-Baqarah (2: 264)

Bersedekah dengan ikhlas walaupun sedikit, akan menjadi payung di Padang Mahsyar kelak. Payung yang orang lain tidak boleh tumpang berteduh, kerana payung tersebut adalah payung rahmat Allah. Sesiapa yang mendapat rahmat Allah dia dengan sendirinya bernaung di tempat yang teduh, orang yang sebaliknya hanya mampu melihat
tetapi tidak ada upaya untuk mencapainya.

Bersedekah it bukan sahaja menjadi jambatan penghubung silaturrahim antara pemberi dan penerima, tetapi yang paling utama ialah menjadi penghubung antara dirinya dengan rahmat Allah, yang akan dinikmati di hari Mahsyar kelak.

Selain it Rasulullah S.A.W juga memberitahu keberkatan mengadakan jamuan untuk ahli keluarganya pada hari Asyura. Apabila seseorang berbelanja lebih berbanding pada hari-hari Asyura. Apabila seseorang berbelanja lebih berbanding pada hari-hari biasa pada 10 Muharram itu, berkat daripada amalan itu, maka Allah akan jadikan luas rezekinya sepanjang tahun.

Pada 10 Muharram itu disunatkan puasa, bagaimanapun dituntut juga berbelanja agak lebih bagi mengadakan jamuan untuk keluarganya ataupun untuk dirinya bagi berbuka puasa dan sebagainya di samping memuliakan hari tersebut, nescaya Allah akan luaskan rezekinya.

Demikianlah keindahan Islam, hatta mengadakan jamuan untuk ahli keluarga menjadi suatu yang dituntut oleh syarak, di samping kita dapat menikmati jamuan yang istimewa bersama keluarga, setelah kita berbelanja lebih sedikit pada hari sepuluh Asyura itu, Allah akan datangkan pula keberkatan daripada amalan tersebut. Benarlah firman
Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud;
"'Sesungguhnya kasih sayang-Ku mengatasi kemarahan-Ku.







Wallahu'alam.

TAZKIRAH : FAHAMI CIRI-CIRI HATI YANG LEMBUT

 TAZKIRAH : FAHAMI CIRI-CIRI HATI YANG LEMBUT



Satu topik yang agak penting yang mempunyai hubungkait dengan fadhilat infaq ialah mengenai 'al-Riqab', iaitu persoalan bagaimana hendak melembutkan hati. Sifat hati itu mudah dipengaruhi oleh sesuatu, menyebabkan ia boleh lembut dan sebaliknya boleh menjadi keras seperti batu yang pejal.

Jika hati lembut, seolah-olah ia bagaikan tanah yang subur, mudah diteroka untuk bercucuk tanam, akar umbi mudah menjalar mencari baja yang sedia ada di dalam tanah itu. Hati yang lembut adalah tapak yang baik untuk menerima segala peringatan dan pengajaran daripada Allah dan Rasul-Nya, menyambut baik semua nasihat. Malah hati yang lembut juga adalah jambangan yang subur bagi iman, bagi tertegaknya sifat-sifat taqwa yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Hati yang keras itu biasanya dikaitkan dengan pengaruh syaitan atau iblis, kerana iblis itu dijadikan daripada api, bahang api itu memberi kesan buruk kepada hati. Apabila hati yang sudah keras,menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, sulit untuk menerima nasihat Rasul.

Orang-orang yang beriman itu dikehendaki berusaha mencari sesuatu yang dapat melembutkan hati, menjauhkan sebarang perkara yang boleh mempengaruhi hati daripada mengingati nasihat Allah dan Rasul-Nya.

Kehidupan di dunia terlalu banyak perkara yang boleh mempengaruhi hati sehingga boleh melalaikannya dari mengingati Allah, dunia adalah antara anasir yang boleh mempengaruhi hati. Yang dimaksudkan dengan dunia dalam huraian ini ialah setiap perkara yang tidak membawa kebaikan kepada manusia di akhirat, inilah dunia yang dipandang tidak berharga oleh Rasulullah S.A.W.

Dunia bukanlah berhenti kepada persoalan benda, kerana ada ketikanya urusan akhirat akan bertukar menjadi dunia. Sebagai contoh, ibadah solat adalah satu kefardhuan daripada Allah, walaubagaimanapun apabila solat itu didirikan kerana hendak menunjuk kepada manusia atau riak, maka solat yang demikian itu tidak mendatangkan sebarang kebajikan untuk akhirat, bahkan Allah menjanjikan neraka kepada orang itu kerana urusan akhiratnya sudah bertukar menjadi dunia.

Rasulullah S.A.W merasa hairan dengan sikap segolongan manusia yang sering mendakwa 'ini harta aku, ini milik aku', mereka berbangga dengan dunia dan harta yang didakwanya itu. Sedangkan harta itu menurut Rasulullah S.A.W hanya terbahagi kepada tiga:

Yang pertama, harta yang fana atau punah, iaitu harta yang dimakan. Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis, setelah itu tidak ada sesiapa yang hendak berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi.

Yang kedua, harta yang akan buruk, seperti pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan, dan setelah ia buruk tidak ada siapa yang menghendakinya lagi. Pakaian buruk mungkin akan jadi lap kaki, jika kenderaan buruk akan menjadi besi karat dan terbuang.

Yang ketiga ialah harta yang diberikan kepada manusia, sama ada dalam bentuk nafkah atau sedekah dan hadiah, harta itu adalah harta simpanan bagi seseorang. Walaupun pada zahirnya harta tersebut sudah bertukar milk kerana diberikan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya ia adalah merupakan saham atau tabungan bagi seseorang di sisi Allah yang berupa ganjaran pahala. Harta yang ketiga itulah sebenar-sebenar harta yang menjadi milik seseorang di sisi Allah Taala, selain daripada itu hanyalah dunia yang akan binasa atau menjadi usang dan tidak berguna lagi.



Wallahu'alam.

 TAZKIRAH : TIDAK MENDIDIK KELUARGA DENGAN KEDUNIAAN 


Setelah melihat Saidatina Fatimah radhiallahu 'anha bertungkus lumus membuat kerja rumah, berkata Saidina Ali karamallahu wajhah, "Baik juga jikalau kamu datang ke rumah ayahmu sementara beliau telah mendapat harta rampasan perang. Boleh kamu meminta seorang hamba sahaya untuk membantu kamu di rumah."


Siti Fatimah pun ke rumah ayahnya dan mengetuk pintu rumah Rasulullah. Mendengar ketukan pintu itu, maka Rasulullah yang amat mengenali anaknya berkata, "Ketukan pintu itu adalah ketukan pintu Siti Fatimah." Kebiasaan Rasulullah bila mana didatangi Siti Fatimah, maka Nabi akan datang dan menyambutnya sera mencium keningnya. Bahkan akan didudukkan Siti Fatimah di tempat duduk Nabi sedang duduk. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh Siti Fatimah jikalau Rasulullah datang ke rumahnya.


Kebiasaan Rasulullah juga bila mana bermusafir perang ataupun ke mana sahaja, rumah terakhir yang disinggahi Rasulullah adalah rumah Siti Fatimah. Dan tempat pertama yang didatangi Rasulullah setelah safar(perjalanan) adalah masjid dan setelah itu rumah Siti Fatimah, puteri Rasulullah. Hubungan yang begitu hebat antara ayah dengan anak.
Demikian antara riwayat-riwayat yang menceritakan hubungan antara Rasulullah dan Siti Fatimah, sebagai menunjukkan bagaimana kedudukan Siti Fatimah di hati Rasulullah. 

Andailah kita punyai anak yang kita sangat sayang kepadanya, bila mana diminta sesuatu pasti akan dipenuhi permintaan tersebut. Bahkan diberikan lebih daripada apa yang diminta. Lalu, ketika mana datang Siti Fatimah ke rumah Rasulullah, Siti Fatimah mengatakan, beliau mendengar bahawa Rasulullah telah didatangkan kepadanya harta rampasan perang dan hamba sahaya. Maka diminta supaya diberikan seorang hamba sahaya kepadanya supaya dapat membantunya membuat kerja di rumah. Kemudian, Rasulullah bersabda, maksudnya, "Mahukah kamu jikalau aku berikan yang lebih baik daripada pembantu?" Bertanya Siti Fatimah, "Apakah itu?" Jawab Baginda Rasulullah, "Jikalau kamu ingin tidur, bacalah 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah, dan 34 kali Allahuakbar. Nanti apabila kamu bangkit daripada tidur, kamu berasa cergas dan mampu membuat kerja tanpa memerlukan lagi kepada pembantu."

Maka baliklah Siti Fatimah ke rumah dan berjumpa dengan suaminya, lalu berkata, "Wahai suamiku, Ali. Sebentar tadi saya datang kerana inginkan dunia dan kini saya balik kepada kamu membawa akhirat." 

Begitulah hal keadaan keluarga Raulullah dididik. Ditanamkan keyakinan dan ibadah kepada Allah dan bukan diajarkan kecintaan kepada harta. 

Wallahu'alam.

Sedekah paling berharga.

Semasa di kelas tadubbur pagi tadi, ustaz ada kata sesuatu yang buat ku lebih terbuka minda.

Seseorang yang ada ilmu, harus share ilmu kepada masyarakat.

Kerana ilmu yang di share adalah amal jariah. Amal jariah pahala sepanjang masa.

Seperti Ibnu Sina, ilmu perubatan. Sehingga hari ini ilmu perubatannya dipergunakan oleh seluruh dunia.

Sedekah yang paling tinggi adalah ilmu pengetahuan.

TAZKIRAH : SEBELUM JUMAAT KALI INI JAUH MENINGGALKAN KITA

Mari sama-sama tambahkan selawat dalam harian. Moga Allah memberkati seluruh hidup kita.
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»

Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Sabda Nabi SAW:
(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)
Maksudnya: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih]

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.