TAZKIRAH : TIDAK MENDIDIK KELUARGA DENGAN KEDUNIAAN 


Setelah melihat Saidatina Fatimah radhiallahu 'anha bertungkus lumus membuat kerja rumah, berkata Saidina Ali karamallahu wajhah, "Baik juga jikalau kamu datang ke rumah ayahmu sementara beliau telah mendapat harta rampasan perang. Boleh kamu meminta seorang hamba sahaya untuk membantu kamu di rumah."


Siti Fatimah pun ke rumah ayahnya dan mengetuk pintu rumah Rasulullah. Mendengar ketukan pintu itu, maka Rasulullah yang amat mengenali anaknya berkata, "Ketukan pintu itu adalah ketukan pintu Siti Fatimah." Kebiasaan Rasulullah bila mana didatangi Siti Fatimah, maka Nabi akan datang dan menyambutnya sera mencium keningnya. Bahkan akan didudukkan Siti Fatimah di tempat duduk Nabi sedang duduk. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh Siti Fatimah jikalau Rasulullah datang ke rumahnya.


Kebiasaan Rasulullah juga bila mana bermusafir perang ataupun ke mana sahaja, rumah terakhir yang disinggahi Rasulullah adalah rumah Siti Fatimah. Dan tempat pertama yang didatangi Rasulullah setelah safar(perjalanan) adalah masjid dan setelah itu rumah Siti Fatimah, puteri Rasulullah. Hubungan yang begitu hebat antara ayah dengan anak.
Demikian antara riwayat-riwayat yang menceritakan hubungan antara Rasulullah dan Siti Fatimah, sebagai menunjukkan bagaimana kedudukan Siti Fatimah di hati Rasulullah. 

Andailah kita punyai anak yang kita sangat sayang kepadanya, bila mana diminta sesuatu pasti akan dipenuhi permintaan tersebut. Bahkan diberikan lebih daripada apa yang diminta. Lalu, ketika mana datang Siti Fatimah ke rumah Rasulullah, Siti Fatimah mengatakan, beliau mendengar bahawa Rasulullah telah didatangkan kepadanya harta rampasan perang dan hamba sahaya. Maka diminta supaya diberikan seorang hamba sahaya kepadanya supaya dapat membantunya membuat kerja di rumah. Kemudian, Rasulullah bersabda, maksudnya, "Mahukah kamu jikalau aku berikan yang lebih baik daripada pembantu?" Bertanya Siti Fatimah, "Apakah itu?" Jawab Baginda Rasulullah, "Jikalau kamu ingin tidur, bacalah 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah, dan 34 kali Allahuakbar. Nanti apabila kamu bangkit daripada tidur, kamu berasa cergas dan mampu membuat kerja tanpa memerlukan lagi kepada pembantu."

Maka baliklah Siti Fatimah ke rumah dan berjumpa dengan suaminya, lalu berkata, "Wahai suamiku, Ali. Sebentar tadi saya datang kerana inginkan dunia dan kini saya balik kepada kamu membawa akhirat." 

Begitulah hal keadaan keluarga Raulullah dididik. Ditanamkan keyakinan dan ibadah kepada Allah dan bukan diajarkan kecintaan kepada harta. 

Wallahu'alam.

No comments