TAZKIRAH : JADIKAN DIRI SEBAGAI ANAK KUNCI KEBAIKAN

 TAZKIRAH : JADIKAN DIRI SEBAGAI ANAK KUNCI KEBAIKAN 


"Amat malang bagi sesuatu masyarakat yang dihuni oleh manusia yang sentiasa menjadi anak kunci kepada kejahatan."

Manusia tidak dapat mengelak daripada bertemu dan bersua dengan orang lain, jika kita tidak berhajat untuk berjumpa dengan orang lain, kemungkinan orang lain pula yang akan menemui kita. Setiap pertemuan yang dirancang pasti mempunyai tujuan, sama ada tujuan itu tergolong dalam perkara yang makruf ataupun sebaliknya. Hanya pertemuan yang berlaku secara spontan atau di luar jangkaan sahaja yang tidak mempunyai sebarang motif.

Justeru manusia mempunyai keperibadian masing-masing, mereka mempunyai identiti tersendiri atau kerjaya yang tertentu. Jika dia seorang doktor perubatan, lazimnya para pesakit yang akan menemuinya bag mendapatkan khidmat nasihat dan juga rawatan. Jika dia seorang alim, mungkin orang akan datang minta khidmat beliau untuk memberi ceramah atau nasihat agama. Jika dia seorang hartawan, pasti orang-orang miskin yang amat berhajat menemuinya. Begitu juga jika dia seorang penganjur pesta hiburan, hampir pasti yang akan mengunjunginya adalah golongan penghibur dan yang dahagakan hiburan.

Orang akan mengenali imej atau identiti sebenar seseorang, hanya dengan melihat cara pergaulan dan jenis-jenis orang yang mereka gauli. Jika mereka yang tergolong orang baik dalam kehidupan hariannya, orang yang berada di sekeliling mereka dan orang yang hendak menemuinya lazimnya daripada kalangan mereka yang baik serta dengan tujuan baik, yang sesuai dengan watak dan sikap orang yang hendak ditemui itu.

Seseorang yang mempunyai masalah, apabila mereka menemui orang lain maka pasti mereka akan menemui hanya kepada orang yang diyakini dapat menyelesaikan masalah mereka. Orang yang berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh seseorang, mereka dianggap sebagai berjaya membuka peti permasalahan dengan anak kunci kebijaksanaan yang ada pada dirinya.

Seseorang dapat dikenali dalam masyarakatnya hanya dengan melihat siapakah orang-orang yang kerap mengunjunginya kerana manusia sentiasa memiliki rakan dan sahabat yang sealiran cara hidup dengannya. Tidak mungkin seorang penipu menemui orang alim untuk mendapat nasihat bagaimana cara menipu yang berjaya, sebab mereka juga tahu bahawa orang baik tidak akan mengajarnya untuk jahat.

Sebaliknya orang yang berakhlak mulia, tidak mungkin menemui seorang kaki judi dan kaki botol, dengan tujuan untuk mendapat nasihat bagaimana hendak memperbaiki diri  kerana kedua kenyataan itu mempunyai percanggahan yang nyata. Pada lazimnya orang jahat akan dikunjungi orang-orang yang jahat juga, kerana mereka sealiran dalam fikiran dan tindakan, ibarat pasangan kasut antara kiri dan kanan, mempunyai ciri-ciri yang sama, menyebabkan mereka seiring jalan, jika terpisah boleh menyebabkan yang sebelah lagi tidak berguna.

Sementara orang-orang yang baik berilmu dan berakhlak, seperti pasangan kasut itu juga, rakan-rakan dan sahabatnya ibarat kasut kiri dan kanan, serasi dan pasti mereka saling seiring jalan dan sama tujuan. Secara logiknya bahawa dalam himpunan batang yang lurus jika terdapat sebatang yang bengkok pasti akan menghalang penyusunan yang baik. Lantaran itu, yang bengkok mesti diluruskan atau dihindarkan jika tidak dapat diluruskan.

Bagaimanapun adakalanya orang-orang yang buruk perilaku mengunjungi orang baik dan berakhlak, keadaan begini harus waspada selama belum pasti apa tujuannya. Jika mungkin mereka ada tujuan yang baik, ingin mendapat nasihat kerana mereka ingin menjadi orang yang baik, maka ini adalah kebaikan orang itu telah menarik perhatian orang yang buruk perilaku itu untuk merubah keadaan dirinya.

Tetapi jika orang yang buruk perangai itu hendak melibatkan orang yang baik ke arah kejahatan yang mereka lakukan, maka langkah pertama bag orang yang berakhlak mulia itu menasihati orang yang berperangai buruk itu agar mereka tidak meneruskan sebarang pekerjaan buruk.

Setiap orang yang bermasalah jika menemui orang lain, adalah disebabkan mereka menganggap bahawa orang itu dapat tolong mengatasi masalah mereka, orang itu ibarat anak kunci yang mampu membuka peti permasalahan mereka yang sukar diatasi. Setiap orang yang mampu menolong atau mengatasi masalah yang dikemukakan oleh orang lain, ertinya dia memiliki anak kunci dan orang akan bertumpu kepadanya kerana mereka menganggap bahawa permasalah mereka akan terurai.

Sahal bin Sa'ad berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

"Bermula sesuatu yang baik (khair) ibarat peti besi (khazanah) dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penyelak (penghalang) kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penyelak (penghalang) kepada kebaikan."
H.R Ibnu Majah


Hadis di atas mengungkapkan suatu tamsil ibarat untuk menggambarkan berapa sebarang permasalahan ada kunci penyelesaian, tetapi seseorang harus memastikan bahawa dia hanya akan menjadi anak kunci kepada setiap kerja kebajikan dan menutup rapat pintu kejahatan dengan menjadikan dirinya sebagai penyelak (penghalang) yang kukuh yang tidak memungkinkan sebarang kejahatan akan bertunas hasil daripada usaha tangannya. Justeru setiap masyarakat itu perlu dihuni oleh orang yang akan menjadi kunci kepada kebaikan semata-mata, golongan in amat diperlukan, kerana di tangan mereka terletaknya islah atau usaha perbaikan dalam masyarakatnya. Amat malang bagi sesuatu masyarakat yang dihuni oleh manusia yang sentiasa menjadi anak kunci kepada kejahatan, dan menjadi penyelak (penghalang) kepada usaha makruf. Kepada golongan ini Rasulullah S.A.W telah memberi amaran keras bahawa mala petaka neraka sedang menunggu mereka.


Wallahu'alam.

No comments