TAZKIRAH : BUKAN ALLAH TIDAK SAYANG

 TAZKIRAH : BUKAN ALLAH TIDAK SAYANG




Adapun orang-orang yang diduga oleh Allah dengan melimpahnya harta kepadanya, maka mereka mengatakan, "lihatlah Tuhan aku telah memuliakan dan sayang kepada aku lalu memberikan aku harta yang melimpah ini." 

Begitu juga bagi mereka yang diduga Allah dengan kesempitan hartanya lalu mereka mengatakan Allah tidak sayang dan tidak cinta mereka. Ini juga salah kefahamannya.

Jangan menganggap bahawa banyaknya harta itu bererti Allah memberi kemuliaan kepada kita dan jangan pula menganggap bahawa kurangnya harta itu bererti penghinaan kepada kita.

Hal ini kerana sekiranya kemuliaan itu dinisbahkan kepada hartanya, maka Qarun tidak akan dilingkupkan bersama hartanya di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya akan senantiasa ada orang-orang yang diduga dengan kekurangan harta.

Oleh itu, wahai orang-orang yang diduga dengan banyaknya harta daripada pemberian Allah itu kamu tidak memberikan mana-mana bahagian daripada harta kamu itu untuk membantu anak-anak yatim dan juga mereka yang memerlukan, lalu kamu mendakwa diri kamu dimuliakan dengan harta kamu itu?

Wahai orang-orang yang mendakwa dirinya hina kerana diduga dengan kurangnya harta. Adakah kamu menyangka dengan rasa hina itu dan merasakan kamu akan dimuliakan jikalau diberikan harta sedangkan kamu mempunyai sifat yang sama iaitu tidak membantu anak-anak yatim dan yang memerlukan?

Sesungguhnya hakikat hina adalah pada orang-orang yang diberikan harta namun berasa sombong dengan hartanya dan tiada membantu serta memberi manfaat kepada orang lain, yang akhirnya nanti akan dihukum oleh Allah.


Wallahu’alam.

No comments