TAZKIRAH : SAHABAT YANG BAIK

 TAZKIRAH : SAHABAT YANG BAIK



Dalam adab kepada sahabat itu, carilah apa sahaja kemungkinan untuk memungkinkan kesilapan yang dilakukan oleh temanmu itu sampai kepada 70 kali kemungkinan. Sebagai contoh jikalau kita berkawan dengan seseorang, kemudian dia buat suatu jemputan dan kita tidak dijemput. Maka reaksi yang bagaimanakah yang kita pilih ketika itu?

Adakah kita akan berkata,"Orang ini memang tidak tahu hak
persahabatan,"
, ataupun,"Orang ini selalu begitu, apabila sudah senang tidak ingat langsung sahabatnya." Ketahuilah, perkataan-perkataan sebegini adalah reaksi orang yang mencari kemungkinan yang buruk.


Namun jikalau orang yang ikhlas dalam bersahabat, maka akan dicarinya kemungkinan-kemungkinan yang baik iaitu akan dikata bahawa, "Mungkin dia terlupa," ataupun, "Mungkin terlalu ramai yang dijemput sehingga terlepas pandang aku," ataupun, "Mungkin dia menyangka bahawa telah menjemput aku."


Hatta jikalau dirasakan tidak mungkin segala kemungkinan tersebut, carilah apa sahaja kemungkinan lain yang membolehkan kamu tidak menyalahkan sahabatmu itu.


Orang yang sanggup mencari kemungkinan seperti ini, itulah juga
tanda orang yang sanggup bersahabat dengan sahabatnya kerana itulah hak yang perlu ditunaikan dalam persahabatan. Begitu juga dalam apa sahaja perkara lain selain hal jemputan, seperti berselisih sehingga tidak diucap ataupun dijawab salam.


Yang seterusnya, usahakanlah dalam bersahabat itu bila mana ingin
menasihati, carilah saat dan ketika yang sesuai dan tepat. Jangan pula diberi nasihat itu dalam keadaan sahabat itu sedang runsing kerana boleh jadi itu lebih merunsingkan emosinya, lalu timbul kemarahan daripadanya.


Ayuh sama-sama doakan moga-moga Allah mengurniakan kepada
kita sahabat-sahabat yang baik di dunia untuk kita bersahabat juga dengan mereka di akhirat. Dan juga moga-moga dikurniakan juga buat kita sahabat- sahabat yang akan menunjukkan kesilapan dan aib kita supaya kita dapat memperbaiki kekurangan yang ada pada kita melalui teguran daripada sahabat-sahabat kita.


Moga-moga Allah menjadikan diri kita saat mendapat teguran daripada sahabat kita, maka mampu lidah kita mengucapkan Jazakallahu khairan.


Pilihlah sahabat-sahabat yang baik supaya kita menjadi baik. Yang
daripada kesungguhan mereka mencari bimbingan daripada Allah, maka akan kita juga menuruti kesungguhan mereka itu.





Wallahu’alam.

No comments