TAZKIRAH : BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA DAN ORANG LAIN

 TAZKIRAH : BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA DAN ORANG LAIN


Sesungguhnya Allah menyuruh setiap mukmin itu berbuat baik kepada orang tuanya. Sungguh amat berbeza tingkatan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana mengingati jasanya sahaja, dengan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana menurut perintah Allah SWT. Nilai yang lahir kerana perintah Allah itu jauh lebih berkualiti.

Sekiranya ada anak yang dilahirkan oleh seseorang dan sejak mula lahir anak itu dibuang seperti diberikan kepada sesiapa yang lain. Ini sehinggalah anak itu dewasa dan mungkin sudah menjadi senang, maka barulah orang tuanya kembali kepadanya kerana menghadapi sesuatu kesusahan lalu meminta bantuan kepadanya.

Apakah agaknya si anak itu akan berkata jikalau dasar berbakti kepada orang tua itu adalah kerana punyai jasa, 'Engkau dahulu buang aku, sekarang susah baru cari aku?"

Namun dalam agama, tidak. Kita perlu berbakti kepada orang tua walaupun dia buang anaknya sendiri, walaupun dia tidak menjaga anaknya. Ini kerana dasar sebenar berbuat baik kepada orang tua yang diajar Rasulullah, bukan kerana apa jasa mereka kepada kita, tetapi kerana Allah yang menyuruh kita berbuat baik kepada orang tua.

Begitu juga perintah Allah untuk berbuat baik kepada kaum kerabat. Sekiranya kaum kerabat itu tidak berbuat baik kepada kita, adakah kita tidak perlu berbuat baik kepada mereka?Tidak. Kita tetap perlu berbuat baik. Ini kerana yang menyuruh berbuat baik kepada kerabat itu adalah Allah dan bukan kerana kerabat itu berbuat baik kepada kita. Demikian juga kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat. 

Wallahu’alam.

No comments