TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN

 TAZKIRAH : DOA-DOA YANG DIMAKBULKAN


Doa dalam ajaran Islam memiliki kedudukan yang sangat istimewa. Doa bermaksud permohonan seorang hamba kepada Allah SWT agar diperkenankan sesuatu hajat yang diminta atau menolak sesuatu musibah yang mungkin akan menimpa dirinya. Doa hanya boleh dipohon kepada Allah SWT kerana Dia-lah yang Maha Pengampun dan Maha Memperkenankan. Restu dan reda Allah SWT amat diperlukan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ ٦٠

 

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong, takabbur daripada berdoa serta beribadah kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Surah Ghafir: 60)

Namun begitu, masih ada dalam kalangan manusia yang masih mensia-siakan nikmat doa yang Allah SWT kurniakan ini. Mereka meremehkan kelebihan berdoa bahkan ada yang enggan berdoa kerana sudah berasa selesa dengan kehidupan yang dimiliki tanpa mengharap kepada Allah SWT. Orang yang enggan berdoa ini digambarkan oleh Allah SWT sebagai orang yang bersifat sombong dan angkuh kerana mereka memikirkan bahawa mereka tidak perlu bergantung kepada Tuhan Yang Maha Esa, malahan mereka lebih meminta dan mengharap kepada sesama makhluk. Alangkah buruknya manusia yang bersikap sedemikian sedangkan seluruh alam ini adalah kepunyaan Allah SWT Yang Maha Pemberi Nikmat kepada hamba-hambaNya.

Sewajarnya sebagai umat Islam kita hendaklah menggunakan kelebihan berdoa dalam kehidupan kita kerana doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doa juga menggambarkan rasa kebergantungan seseorang hamba kepada Tuhannya. Ketahuilah bahawasanya Allah SWT akan memperkenankan doa hambanya dengan pelbagai cara iaitu diperkenankan doa hambaNya dengan diberikan apa-apa sahaja yang dihajatkan ketika di dunia. Ada juga doa yang dipohon oleh hambaNya itu disimpan dan akan diberikan pada akhirat kelak. Terdapat juga doa yang dipohon oleh hambaNya tidak diberikan apa yang dihajatkan akan tetapi diperkenankan dengan cara dilindungi seseorang itu daripada keburukan. Hal ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang muslim yang berdoa dengan doa yang bukan untuk keburukan dan bukan untuk memutuskan ikatan silaturrahim, kecuali Allah akan memberinya tiga kemungkinan; doanya akan segera diperkenankan, atau akan ditunda sampai di akhirat, atau ia akan dijauhkan daripada keburukan yang seumpanya, para sahabat bertanya; jika demikian kita minta yang lebih banyak, lalu baginda bersabda: “Allah memiliki yang lebih banyak.”

 (Hadis Riwayat Imam Ahmad : 11133)

Oleh itu, bagi memastikan doa yang dipohon dimakbulkan oleh Allah SWT, maka agama Islam telah memberikan beberapa panduan untuk seseorang itu berdoa, antaranya ialah ketika berdoa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan merendah diri, tenang dan sentiasa dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Elakkan berdoa dengan tergesa-gesa dan jangan sekali-kali menyalahkan Allah SWT jika dia belum dimakbulkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dimakbulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan: Aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun belum dimakbulkan untukku.”

(Hadis Riwayat Muslim: 4917)

Selain itu, ketika berdoa kita hendaklah bercakap dengan nada suara yang perlahan dan penuh dengan kekhusyukkan. Elakkan menggunakan suara yang keras seperti memaksa dan janganlah melampaui batas dalam memohon sesuatu hajat. Berdoalah bersungguh-sungguh dengan keikhlasan dan pengharapan serta hindarkan diri melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa, kerana rahmat Allah SWT sangat jauh daripada orang yang melakukan kejahatan. Firman Allah SWT:

 

ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ ٥٥ وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًۭا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ  ٥٦

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNYa dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang –orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A'raf ayat 55-56)

Justeru, berdoalah kepada Allah SWT bersungguh-sungguh kerana orang yang berdoa adalah mereka yang memiliki keyakinan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Mendengar permohonan dan memakbulkan permintaan hambaNya dengan syarat hambaNya melaksanakan ketaatan dan sentiasa beriman kepadaNya. 





Rujukan : Jabatan Agama Islam Negeri Johor

TAZKIRAH : BALANG MAYONIS & DUA CAWAN KOPI

 TAZKIRAH : BALANG MAYONIS & DUA CAWAN KOPI

Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan. Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!". Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.

Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum melihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan. "Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda...

Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu anda tidak akan mempunyai ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda."

Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan..."

Tenang….Nabi kita berpesan,

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :

[1] Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,

[2] Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,

[3] Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,

[4] Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,

[5] Hidupmu sebelum datang kematianmu.”




Sumber : Blog Cerita Tauladan

TAZKIRAH : KASIH SI KECIL

 TAZKIRAH : KASIH SI KECIL

Seekor anak kucing yang kecil mungil sedang berjalan-jalan di ladang pemiliknya. Ketika dia mendekati kandang kuda, dia mendengar binatang besar itu memanggilnya. “Kamu mesti masih baru di sini, cepat atau lambat kamu akan mengetahui bahawa pemilik ladang ini mencintai saya lebih dari binatang lainnya. Kerana saya mampu mengangkut banyak barang untuknya, saya kira binatang sekecil kamu tidak akan bernilai sama sekali baginya”, ujarnya dengan sinis.

kucing kecil itu menundukkan kepalanya dan pergi. Tapi, dari kandang sebelah, ia mendengar suara seekor lembu. “Saya adalah binatang yang paling terhormat di sini sebab puan di sini membuat keju dan mentega dari susu saya. Kamu tentu tidak berguna bagi keluarga di sini”, dengan nada mencemuh.

Belum lagi kesedihannya hilang, ia mendengar teriakan biri-biri. “Hai lembu, kedudukanmu tidak lebih tinggi dari saya. Aku memberi bulu kepada pemilik ladang ini. Saya memberi kehangatan kepada seluruh keluarga. Tapi kata-katamu soal kucing kecil itu, memang benar. Dia sama sekali tidak ada manfaatnya di sini.”

Satu demi satu binatang di situ ikut serta dalam pencemuhan itu, sambil menceritakan betapa tingginya kedudukan mereka di ladang itu. Ayam pun berkata bagaimana dia telah memberikan telur, Semua binatang sepakat kalau si kucing kecil itu adalah makhluk tak berguna dan tidak sanggup memberikan sumbangan apapun kepada keluarga itu.

Terpukul oleh kecaman binatang-binatang lain, kucing kecil itu pergi ke tempat sepi dan mulai menangis menyesali nasibnya. Sedih rasanya, sudah yatim piatu, dianggap tak berguna, disingkirkan dari pergaulan pula…

Ada seekor kucing tua di situ mendengar tangisan tersebut, lalu mendengar keluh kesah si kucing kecil itu. “Saya tidak dapat memberikan sumbangan kepada keluarga di sini, sayalah haiwan yang paling tidak berguna di sini…”

Terharu, kucing tua berkata, “Memang benar bahwa kamu terlalu kecil untuk menarik pedati. Kamu tidak berupaya memberikan telur, susu ataupun bulu. Tetapi bodoh sekali jika kamu menangisi sesuatu yang tidak mampu kamu lakukan. Kamu harus menggunakan kemampuan yang diberikan oleh Tuhan untuk membawa kegembiraan.”

Malam itu ketika pemilik ladang baru pulang dan kelihatan amat lelah Kerana perjalanan jauh di panas terik matahari, kucing kecil itu lari menghampirinya, menjilat kakinya dan melompat ke pelukannya. Sambil menjatuhkan diri ke tanah, pemilik ladang dan kucing kecil itu berguling-guling di rumput disertai tawa ria.

Akhirnya pemilik ladang itu memeluk dia erat-erat dan mengelus-elus kepalanya, dan berkata, “Meskipun saya pulang dalam keadaan letih, tapi rasanya semua jadi sirna, bila kau menyambutku semesra ini. Kamulah yang paling berharga di antara semua binatang di ladang ini. Kamu kecil, tapi sangat mengerti ertinya kasih…”

ORANG BODOH MENTERTAWAKAN KEKURANGAN ORANG LAIN, NAMUN ORANG YANG BIJAK MENTERTAWAKAN KEKURANGAN DIRINYA SENDIRI.




Sumber : Blog Cerita Tauladan

TAZKIRAH : SI PENEBANG POHON

 TAZKIRAH : SI PENEBANG POHON 


Seorang pedagang kayu menerima lamaran seorang pekerja untuk menebang pohon di hutannya. Kerana gaji yang dijanjikan serta kerja yang bakal diterima sangat baik, sehingga si calon penebang pohon itu pun bertekad untuk bekerja dengan sebaik mungkin. Ketika mula bekerja, si majikan memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang harus diselesaikan dengan tempoh waktu yang telah ditentukan kepada si penebang pohon. Hari pertama bekerja, dia berhasil menebang 8 batang pohon. Kemudian pada petang hari, mendengar hasil kerja si penebang pohon, sang majikan terkesan dan memberikan pujian dengan tulus, “Hasil kerja kamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuanmu menebang pohon-pohon itu. Belum pernah ada yang sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu”.

Sangat termotivasi oleh pujian majikannya, keesokan hari si penebang bekerja lebih keras lagi, tetapi dia hanya berhasil menebang 7 batang pohon. Hari ketiga, dia bekerja lebih keras lagi, tetapi hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin bertambahnya hari, semakin sedikit pohon yang berhasil ditumbangkan.

“Sepertinya aku telah kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat mempertanggungjawabkan hasil kerjaku kepada majikan?” fikir penebang pohon berasa malu dan putus asa. Dengan kepala tertunduk dia menghadap berjumpa sang majikan, meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memadai dan mengeluh tidak mengerti apa yang telah terjadi.

Sang majikan menyemak dan bertanya kepadanya, “bila terakhir kamu mengasah kapak?”

“Mengasah kapak? Saya tidak punya waktu untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pohon dari pagi hingga ke petang dengan sekuat tenaga”. Kata si penebang.

“Patutlah!, disinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru dan terasah, maka kamu boleh menebang pohon dengan hasil luar biasa. Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk macam mana pun, kamu harus meluangkan waktu untuk mengasah kapakmu, agar setiap hari bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang mulalah mengasah kapakmu dan segera kembali bekerja!” kata sang majikan. Sambil mengangguk-anggukan kepala dan mengucap terima kasih, si penebang berlalu dari hadapan majikannya untuk mulai mengasah kapak.

Sama seperti si penebang pohon, kita pun setiap hari, dari pagi hingga ke malam seolah-olah, sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga seringkali melupakan perkara lain yang sama pentingnya, iaitu beristirehat sejenak mengasah dan mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan dan spiritual. Setiap daripada kita pasti mempunyai senarai nilai tambah yang perlu dikecapi. Maka, carilah masa untuk upgrade value pada diri kita supaya kehidupan kita akan menjadi lebih dinamik, berwawasan dan selalu baru !






TAZKIRAH : PAKU DI TIANG

 TAZKIRAH : PAKU DI TIANG 


Beberapa ketika waktu yang lalu, ada seorang lelaki yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai daripada menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat menunaikan solat, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap mengabaikannya.Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya.

Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya. Suatu hari lelaki tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau ni terlalu banyak sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu paku tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan dicabut keluar dari tiang ini."

Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku pada tiang tersebut. Kadang-kadang sehingga berpuluh paku dipukul dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang tersebut.

Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar, tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat kerana hujan dan panas. Setelah melihat keadaan tiang yang tertusuk dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu. Maka dia pun berazam untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula menunaikan solat. Hari itu sahaja lima butir paku dicabut oleh ayahnya dari tiang. Pada keesokannya, dia menunaikan solat lagi dan ditambah dengan amalan sunatnya. Hal ini menyebabkan lebih banyak lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat meninggalkan sisa-sisa maksiat yang masih melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggalkan sehingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku sahaja yang tinggal melekat di tiang.

Maka ayahnya pun memanggil anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?" Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada".Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada,tapi aku bersedih parut - parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya." 

Oleh itu, ketika mana menyedari bahawa kita telah melakukan suatu kemungkaran, ataupun sedang diambang pintu perbuatan yang buruk, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebilah lagi paku yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Begitu juga kalau kita biarkan ianya berkarat lama dalam diri sebelum dicabut (menunda taubat). Dan apatah lagi jika kita terus membiarkan paku tersebut berkarat dan tidak dicabut. Sama-samalah kita muhasabah diri. 






Rujukan: Kisah Tauladan 

10 Kesalahan besar bila mencuci muka

10 Kesalahan besar bila mencuci muka

10• 
Menggunakan produk yang tidak sesuai dengan jenis kulit.
Ataupon produk yang mengandungi kimia yang tinggi. Efek nya kita dapat rasa bila muka pedih

9• 
Basuh muka lebih 2 kali sehari. Ia bukan saja menipiskan kulit malah menggalakkan penghasilan lebih banyak minyak muka.

8• 
Basuh muka dengan air panas. Mitos je basuh muka sebab boleh membuka pori wajah. Pori wajah takde otot. Macam mana nak buka? Unless guna wap.

7• 
Menggunakan skrub muka yang kasar dan terlalu kerap. Kadar yang dibenarkan 3kali seminggu sahaja.

6• 
Tidak membilas wajah dengan bersih. Pastikan air basuhan muka dengan banyak dan habis bersihkan semua sabun di wajah. Nanti tak bersih, mula lah naik ruam atau jerawat.

5• 
Menggunakan bahan kimia yang tak betul. Contoh ada paraben, merkuri, SLS dan bahan kimia lain. Cari produk yang selamat. Dan kalau boleh, drug store produk pon dah elok. MJ bukan support produk tempatan tapi..... ( cikgu kata jangan tulis dalam FB, cakap je depan2) 

4• 
Tonyoh muka dengan towel. Kan dah cakap, dap dap manja je.

3• 
Lambat guna moisturizer selepas mencuci muka. Jangan lengah, lepas dap dap dengan towel, terus sapu pelembap. Masa ini sangat efisyen tau. Terus meresap jauh ke tulang 😜😜

2• 
Cari produk yang kita perlukan sahaja. Basic pencuci wajah, pelembap, toner, serum. Kalau jenis yang malas nak skrub, buat natural skrub. Lenyekkan VitaminC Shaklee, letak air sikit, skrub. Lebih mudah dan tak membazir. Sebab apa tak membazir, sebab kita tak payah beli skrub yang kita tak pasti bila nak guna. Lama-lama expired. Bila dah expired dan tak perasan, tonyoh kat muka, esok bangun pagi muka berkulat. Kikiki.

1• 
Takut menggunakan minyak.
Minyak bagus untuk kulit walaupan anda mengalami masalh kulit berminyak.
Minyak yang ada dipasaran?
Olive oil, argan oil, almond oil, grapeseed oil. Cuba.. ini antara resepi kulit cantik orang dulu-dulu.

TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU

 TAZKIRAH : KISAH TUKANG KAYU 


Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjaya sebagai seorang tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya, dengan tenaga yang semakin berkurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang. Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Lalu, tukang kayu tersebut memberitahu majikannya tentang hasratnya untuk berhenti kerja tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Akhirnya, rumah tersebut berjaya disiapkan dalam jangka masa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut lalu memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi. Begitulah kejadian yang sentiasa berlaku pada hari ini, apabila hendak bersara atau berhenti kerja kerana mendapat tempat pekerjaan yang baru, janganlah kita melakukan tugasan dengan sambil lewa dan tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap tugasan terakhir tersebut. Hal ini kerana pada akhirnya tugasan yang kita lakukan dengan ikhlas tersebut pasti akan membawa manfaat kepada kita walaupun kita sudah tidak lagi melakukan tugasan yang sama di tempat sama.