TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS

 TAZKIRAH : RAHMAT ALLAH ITU LUAS


Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ :

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ

Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”

Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut.


Imam Al-Tabari menukilkan pandangan berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan:

وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة

“Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”


Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata :

وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً.

“Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.”


Tafsiran ini memberikan makna bahawa:

-Ketika di dunia rahmat Allah itu umum untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. 

-Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. 

-Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih sayang antara makhluknya.

-Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya :“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

-Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. 

-Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.

-Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya.

-Ini kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT.


Wallahu’alam.

PANTANG LARANG MINUM KOPI.

  PANTANG LARANG MINUM KOPI.


!! Minum lah waktu pagi supaya hari ini anda berjalan lancer dan bertenaga. Elakkan dari minum pada waktu malam supaya waktu tidur anda tidak terganggu. 

!! Ambil tahu tentang isi kandungan kopi anda. Pastikan bahan yang tidak terlarang dan memberi manfaat kepada diri anda. Elakkan kopi segera.

!! Pastikan kopi yang anda minum keluar melalui air kencing anda. Kopi akan memberikan kesan bau pada urine anda. Dan jika anda kelihatan terlalu dehidrasi, kurangkan pengambilan kopi. Ia mungkin memudaratkan anda.

!! Jangan mengambil ubat-ubatan atau supplement dengan kopi. Ia bakal memberikan tindak balas yang tidak elok kepada diri anda.

!! Minum kopi berpada-pada kerana ia bakal membuatkan anda mendapat masalah kesihatan.

!! Jikalau anda ajak kawan mengopi, pastikan anda yang membayarnya. Nasihat je tau ni. Hehehe. Rules nya siapa ajak, dialah yang kena bayar.




#MamajurashareKopi

TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN

 TAZKIRAH : BERSYUKURLAH, REZEKI ALLAH SUDAH TETAPKAN


Tidak ada makhluk apa pun juga yang melata di atas muka bumi ini melainkan rezekinya sudah dijamin oleh Allah SWT. Yakni, jangan sahaja manusia, bahkan setiap makhluk lain seperti haiwan juga telah dijamin rezekinya oleh Allah.

Rezeki yang telah dijamin itu sudah ditentukan, seumpama sesuap nasi itu jikalau belum sampai rezeki, belum tentu sampai ke mulutnya. Jikalau sesuap nasi itu adalah rezeki baginya, pasti akan sampai ke mulutnya dan ditelan. Apatah lagi rezeki-rezeki yang lain.

Oleh itu, haruslah mereka yang beriman memahami bahawa menyangka rezeki yang tidak akan cukup untuk dirinya adalah sesuatu sangkaan yang salah.

Orang yang tidak eprnah merasa cukup dan tamak dengan dunia pasti tidak akan didapati kehendaknya melainkan apa yang sudah didapatinya sekarang. Apa lagi yang dicari? Apa lagi yang diharapkan?Tidak akan mencapai kebahagiaan dihatinya melainkan daripada apa yang didapati lalu diucapkan Alhamdulillah.

Bukan daripada apa yang didapati lalu diucap, "Tidak cukuplah ini."

Berkata Imam Abdullah AL-Haddad, "Yang Allah telah tentukan untuk orang lain tidak akan sampai kepada kamu. Yang sudah ditentu oleh Allah untuk kamu pasti akan sampai kepada kamu." Maka fahamilah, apa yang kamu cita-citakan itu sejauh manayang akan berlaku tetap sepertimana apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Begitu juga ketentuan rezeki oleh Allah itu, termasuk bilangannya. Berapa yang kita dapat itulah bahagian daripada ketentuan rezeki untuk kita, sama ada ia kurang ataupun banyak menurut kita.

Maka setiap orang yang beriman akan faham, bila mana didapati rezeki walaupun zahirnya tidak cukup tetapi mestilah mempunyai sifat menerima. Itulah kadar rezeki yang ditentukan Allah buatnya dan akan terus berikhtiar untuk menjemput rezeki Allah.

Turut jauh sekali untuk orang yang beriman mengatakan, "Rezeki sepertiini tidak sepatutnya saya dapat," sebagai maksud tidak menerima ketentuan rezeki buatnya. Ini antara tanda orang itu tidak mempunyai sifat mulia Al-Qana'ah.

Wallahu’alam.

Keburukan kopi.

  Keburukan kopi.


KOPI YANG BERLEBIHAN
Pengambilan kafein secara berlebihan adalah fenomena yang boleh berlaku, berikut adalah gejala yang akan anda alami apabila mengambil kopi secara berlebihan:

Rasa gelisah dan gementar
Jantung berdebar-debar
Loya
Merasa bimbang secara tiba-tiba
Insomnia
Pening    

Setiap orang mengalami kesan yang berbeza.   Daya penerimaan kafein biasanya bergantung kepada gaya hidup, metabolisme dan genetik anda. 

Jika metabolisme tubuh lebih tinggi, kafein yang terkandung di dalam kopi lebih cenderung untuk membuat anda berasa gelisah dan gementar. 

Mereka yang menderita penyakit darah tinggi, diabetes, masalah jantung, osteoporosis dan wanita hamil disarankan untuk mengelakkan atau mengurangkan pengambilan kafein.

#MamajuraShareKopi

TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI

 TAZKIRAH : HEBATNYA AYAT KURSI


Jangan Tinggal Ayat Kursi Lepas Solat
=============
1. Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)

2. Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung. Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟  قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)

3. Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:

إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق

“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”

4. al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

5. Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari. Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

6. Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.

Penulis :Dr. Ahmad Sanusi Azmi





APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KAFEIN?

  APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG KAFEIN?




Kopi merupakan sumber utama untuk kafein, namun jumlah kafein sebenarnya berbeza dalam kopi yang anda minum; bermula dari hampir kosong sehingga lebih dari 500mg. Secara purata, secawan kopi mempunyai antara 95 – 180mg kafein.

Kafein dikenali sebagai penghalang reseptor untuk adenosin, satu kompaun di dalam otak yang menjadi punca keletihan dan mengantuk, oleh itu ianya boleh meningkatkan prestasi fizikal dan mental.

DECAF TIDAK SAMA DENGAN BEBAS KAFEIN. 

Kopi decaf masih mengandungi 3% kafein. Jumlahnya mungkin lebih kecil tetapi meminum 5 cawan kopi decaf atau lebih bersamaan dengan 1 cawan kopi berkafein biasa.

Selain kopi, teh dan minuman tenaga lain juga mempunyai kafein. Akan tetapi minuman tenaga mempunyai lebihan gula yang boleh memudaratkan kesihatan.

#MamajurashareKopi

TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'

 TAZKIRAH : TIADA LAGI ISTILAH 'RAHSIA KEJAYAAN'


Istilah rahsia untuk berjaya sebenarnya sudah tidak wajar digunakan dan ia perlu digantikan dengan perkataan lain kerana ia bukan lagi rahsia.

Rahsia itu apabila hanya diri kita sendiri sahaja yang mengetahui, namun berkenaan tips untuk berjaya, sudah terlalu banyak yang dihebahkan sehingga ia bukan lagi rahsia.

Kita terlalu taksub dengan rahsia untuk berjaya sehingga kita sering mencari tips daripada orang sekeliling mengenainya sedangkan, jika digabungkan tips yang diperoleh, semuanya adalah sama.

Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang individu tersebut mengamalkan tips itu.

Dan pokok pangkalnya adalah bergantung kepada anda sendiri. Bagaimana anda mengambil dan menyerap tips tersebut untuk digunakan.

Mencari tips sahaja tidak memadai jika ia hanya diperam dan tidak digunakan. Ataupun jika anda bersikap suka menangguhkan sesuatu dan berfikir – “Tidak mengapalah, nanti aku atur strategi. Sekurangnya, rahsia kejayaan sudah ada dalam genggamanku.”

Sikap-sikap seperti inilah yang perlu dibuang jauh-jauh dari diri anda kerana ‘rahsia’ terbesar orang yang berjaya adalah dengan memulakan langkah, bukan menunggu dan terus menunggu.

Antara tips kejayaan yang dikongsi dan tidak boleh diabaikan oleh anda adalah;

#1 – Pasang matlamat dan sentiasa ingatkan diri anda mengenai apa yang ingin dicapai.

#2 – Disiplin diri adalah keutamaan kerana orang malas sukar untuk meraih kejayaan. Jalan menuju kejayaan pastinya berliku-liku. Dan ia hanya boleh dilalui oleh orang yang rajin berusaha.

#3 – Selesaikan masalah yang melanda secara perlahan-lahan. Fokus pada satu-satu perkara agar ia tidak menyerabutkan diri anda sehingga boleh menyebabkan anda hilang fokus terhadap perkara utama.

#4 – Jangan bertangguh dan selesaikan pekerjaan sedikit demi sedikit.

#5 – Amalkan gaya hidup yang sihat seperti bangun pada awal pagi.

#6 – Latih diri anda berfikir dengan mencari idea-idea yang kreatif. Ingat, orang yang berfikir selalunya akan maju 10 langkah ke hadapan.

#7 – Anda tidak boleh buang negativiti di sekeliling anda, namun anda boleh menghadapinya dengan menyesuaikan keadaan diri sendiri. Minda anda memainkan peranan yang penting dalam menguruskan tekanan sekeliling.

#8 – Jika wujud pemikiran negatif dari diri anda, jangan dilayan terlalu lama. Sekejap sahaja sudah memadai kemudian buang ia jauh-jauh. Jika perlu, minta pandangan daripada orang sekeliling.

#9 – Sabar kerana tiada perkara yang mudah dalam kehidupan ini.

Tiada masalah untuk anda terus mencari tahu ‘rahsia’ daripada orang berjaya kerana ia boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mengorak langkah.

 

Namun, dalam masa itu, teruskan mengatur langkah agar suatu hari nanti, orang lain juga boleh datang kepada anda untuk meminta ‘rahsia’ kejayaan daripada anda.

 Wallahu a’alam

Semoga Allah membimbing kita semua.