TAZKIRAH : FAHAMI CIRI-CIRI HATI YANG LEMBUT
Jika hati lembut, seolah-olah ia bagaikan tanah yang subur, mudah diteroka untuk bercucuk tanam, akar umbi mudah menjalar mencari baja yang sedia ada di dalam tanah itu. Hati yang lembut adalah tapak yang baik untuk menerima segala peringatan dan pengajaran daripada Allah dan Rasul-Nya, menyambut baik semua nasihat. Malah hati yang lembut juga adalah jambangan yang subur bagi iman, bagi tertegaknya sifat-sifat taqwa yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Hati yang keras itu biasanya dikaitkan dengan pengaruh syaitan atau iblis, kerana iblis itu dijadikan daripada api, bahang api itu memberi kesan buruk kepada hati. Apabila hati yang sudah keras,menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, sulit untuk menerima nasihat Rasul.
Orang-orang yang beriman itu dikehendaki berusaha mencari sesuatu yang dapat melembutkan hati, menjauhkan sebarang perkara yang boleh mempengaruhi hati daripada mengingati nasihat Allah dan Rasul-Nya.
Dunia bukanlah berhenti kepada persoalan benda, kerana ada ketikanya urusan akhirat akan bertukar menjadi dunia. Sebagai contoh, ibadah solat adalah satu kefardhuan daripada Allah, walaubagaimanapun apabila solat itu didirikan kerana hendak menunjuk kepada manusia atau riak, maka solat yang demikian itu tidak mendatangkan sebarang kebajikan untuk akhirat, bahkan Allah menjanjikan neraka kepada orang itu kerana urusan akhiratnya sudah bertukar menjadi dunia.
Rasulullah S.A.W merasa hairan dengan sikap segolongan manusia yang sering mendakwa 'ini harta aku, ini milik aku', mereka berbangga dengan dunia dan harta yang didakwanya itu. Sedangkan harta itu menurut Rasulullah S.A.W hanya terbahagi kepada tiga:
Yang pertama, harta yang fana atau punah, iaitu harta yang dimakan. Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis, setelah itu tidak ada sesiapa yang hendak berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi.
Yang kedua, harta yang akan buruk, seperti pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan, dan setelah ia buruk tidak ada siapa yang menghendakinya lagi. Pakaian buruk mungkin akan jadi lap kaki, jika kenderaan buruk akan menjadi besi karat dan terbuang.
Wallahu'alam.