TAZKIRAH : TIDAK MENDIDIK KELUARGA DENGAN KEDUNIAAN
Setelah melihat Saidatina Fatimah radhiallahu 'anha bertungkus lumus membuat kerja rumah, berkata Saidina Ali karamallahu wajhah, "Baik juga jikalau kamu datang ke rumah ayahmu sementara beliau telah mendapat harta rampasan perang. Boleh kamu meminta seorang hamba sahaya untuk membantu kamu di rumah."
Andailah kita punyai anak yang kita sangat sayang kepadanya, bila mana diminta sesuatu pasti akan dipenuhi permintaan tersebut. Bahkan diberikan lebih daripada apa yang diminta. Lalu, ketika mana datang Siti Fatimah ke rumah Rasulullah, Siti Fatimah mengatakan, beliau mendengar bahawa Rasulullah telah didatangkan kepadanya harta rampasan perang dan hamba sahaya. Maka diminta supaya diberikan seorang hamba sahaya kepadanya supaya dapat membantunya membuat kerja di rumah. Kemudian, Rasulullah bersabda, maksudnya, "Mahukah kamu jikalau aku berikan yang lebih baik daripada pembantu?" Bertanya Siti Fatimah, "Apakah itu?" Jawab Baginda Rasulullah, "Jikalau kamu ingin tidur, bacalah 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah, dan 34 kali Allahuakbar. Nanti apabila kamu bangkit daripada tidur, kamu berasa cergas dan mampu membuat kerja tanpa memerlukan lagi kepada pembantu."
Maka baliklah Siti Fatimah ke rumah dan berjumpa dengan suaminya, lalu berkata, "Wahai suamiku, Ali. Sebentar tadi saya datang kerana inginkan dunia dan kini saya balik kepada kamu membawa akhirat."
Begitulah hal keadaan keluarga Raulullah dididik. Ditanamkan keyakinan dan ibadah kepada Allah dan bukan diajarkan kecintaan kepada harta.
Wallahu'alam.