TAZKIRAH : PERINGATAN DIRI SEBELUM KE SANA



Andaikan 3 individu berbeza meminjam sebiji pinggan daripada Kita.. Selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan.. Lalu Kita pun terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya..
Individu kedua pula memulangkan pinggan tersebut dlm keadaannya yang masih kotor; tidak berbasuh.. Pinggan tersebut akan Kita basuh sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya..
Individu ketiga pula memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah bersepai.. Tidak boleh dibezakan lagi bentuknya antara pinggan mahupun serpihan kaca.. Tiada nilainya lagi.. Kita tiada pilihan lain selain menghumbankannya ke dlm tong sampah yg hina..
Begitulah jua halnya dgn Allah Taala.. Jika Kita kembali kepadaNya dalam keadaan bersih, elok, tanpa kekotoran dosa, maka Allah akan terus meletakkan Kita di tempat yang baik dan tempat yg selayaknya bagi Kita.. Iaitu syurga..
Namun jika Kita kembali ke hadratNya dlm keadaan kotor dgn dosa, Allah akan 'basuh' Kita sebersih-bersihnya di dlm api neraka sebelum memasukkan Kita ke dlm syurga..
Tetapi jika Kita kembali kepadaNya dlm keadaan yg rosak imannya, sehingga tidak dpt dibezakan antara iman dengan kufur, maka Allah tidak akan teragak2 utk menghumbankan Kita ke dlm neraka jahannam yang hina buat selama-lamanya, ibarat pinggan yg pecah; tiada nilai lagi...
Semoga bermanfaat
”Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
(Surah Yunus:27)

TAZKIRAH : JAGA-JAGA, TERGELINCIR

Nu'man bin Tsabit atau yang biasa kita kenal dengan Imam Abu Hanifah rahimahullah Ta'ala, pernah berjalan bertentangan arah dengan seorang budak kecil yang berjalan mengenakan terompah kayu.
Si imam berkata: "Jaga-jaga nak, dengan terompah kayumu itu, jangan sampai kamu tergelincir."
Budak ini pun tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas perhatian Imam Abu Hanifah.
"Bolehkah saya tahu namamu, Tuan?" tanya si budak kecil itu tadi.
"Nu'man namaku"  jawab si imam.
"O.. jadi, tuankah yang  selama ini terkenal dengan gelaran Al-Imam Al-A'zhom (Imam agung) itu?", tanya si budak.
"Bukan aku yang memberi gelaran itu. Masyarakatlah yang berprasangka baik dan memberi gelaran itu kepadaku", jawab si Imam.
"Wahai si Imam, berhati-hatilah dengan gelaranmu. Jangan sampai tuan tergelincir ke neraka kerana gelaran itu. Terompah kayuku ini mungkin hanya menggelincirkanku di dunia. Tetapi gelaranmu itu dapat menjerumuskan kamu ke dalam api yang kekal JIKA KESOMBONGAN dan KEANGKUHAN menyertainya..."
Ulama besar yang diikuti banyak umat Islam itupun tersungkur menangis menerima nasihat 'tajam' daripada seorang budak kecil.
Imam Abu Hanifah Rahimahullah Ta'ala (Hanafi) bersyukur. Siapa sangka, peringatan yang begitu dalam maknanya, justeru ia datang dari lidah seorang budak.
Betapa banyak manusia yang tertipu kerana PANGKAT, KEDUDUKAN, GELARAN, tertipu kerana POSISI YANG DIMULIAKAN, tertipu kerana STATUS SOSIAL, tertipu kerana gelaran  HAJI/HAJJAH, USTAZ/USTAZAH, AL-FADHIL, SYAIKH, DOKTOR, DATO'/DATUK/DATIN dan sebagainya.
Marilah kita berhati-hati dan TERUS SALING MENGINGATKAN agar jangan sampai kita tergelincir...
"TIDAK AKAN MASUK SYURGA orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi."
(Hadis riwayat Muslim)


Inline image 1


TAZKIRAH : MUHASABAH

Seorang doktar bergegas ke hospital setelah menerima panggilan untuk pembedahan emergency. Beliau menukar baju dan terus ke bilik pembedahan. Beliau nampak bapa budak sedang bermundar-mandir di bilik tersebut menunggu kehadiran doktor.
Selepas nampak doktor, bapa itu menjerit:
“Mengapa lambat sangat? Doktor tak tahu nyawa anak saya dalam bahaya?!! Doktor tak de rasa sebarang tanggungjawab?”
Doktor tersebut tersenyum dan menjelaskan:
“Saya mohon maaf. Saya tiada di hospital dan saya telah datang secepat mungkin… sekarang saya perlu saudara bertenang supaya saya boleh melakukan kerja saya.”
“Bertenang!!! Mudah cakap. Bayangkan kalau anak doktor yang di dalam sana!!!! BOLEHKAN DOKTOR BERTENANG?!!! JIKA ANAK SAYA MATI, APA YANG DOKTOR NAK BUAT!!” jerit bapa budak itu lagi.
Doktor tersebut bersenyum dan berkata:
“Saya akan berpegang pada ajaran Islam - dari tanah kita datang kepada tanah kita dikembalikan…Doktor tidak boleh memanjangkan umur, hanya Allah boleh. Pergi berdoa untuk anak saudara dan kami akan cuba lakukan yang terbaik. InshaAllah.”
Bapa itu masih tidak berpuas hati dan berbisik pada hati:
“Mudah bercakap nasihat bila tak kena batang hidup sendiri.”
Pembedahan itu mengambil masa beberapa jam…doktor keluar dengan senyuman lebar dan ceria.
“Alhamudillah. Anak saudara selamat!”
Tapi tanpa mendengar jawapan bapa tersebut, doktor terus berkata,
“Ada apa-apa tanya jururawat saya.”
Bapa budak tadi tersinggung,
“Mengapalah doktor tadi sombong sangat? Tak boleh ke tunggu dua tiga minit untuk berbincang mengenai keadaan anak saya?” kata bapa itu ke jururawat…
Jururawat itu tiba-tiba menangis dan berkata,
“Anak doktor Hisham meninggal semalam… accident… beliau tadi atas urusan perkebumian ketika kami menelefon beliau untuk membedah anak encik. Selepas habis bedah, doktor kena gegas untuk balik mengebumikan anaknya.”
jawapan jururawat tu buat bapa budak tu tiba-tiba tergamam.
Manusia biasa melihat dan menunding atas, bawah, kiri dan kanan…
Tapi mereka sering terlupa untuk melihat diri sendiri.
Adakah kita salah seorang daripadanya?
Wallahu a’lam!

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”.
(Surah Al-Hasyr ayat:18)

TAZKIRAH : UBAT HATI



Inline image 1

UBAT HATI ADA 5 PERKARA:
1. Baca Al-Quran dan cuba menghayati maknanya
Cuba kita tanya kepada diri kita, berapa kali dalam sehari kita membaca al-quran? atau bila kali terakhir kita membaca al-quran dan maksudnya? Kalau setiap hari kita boleh membaca akhbar, surat atau laporan huruf demi huruf, kenapa kita tidak cuba usahakan untuk membaca Al-Quran?
2. Dirikanlah Solat malam (Qiyamullail)
Sentiasalah berniat untuk bangun Qiamullail, dan berusahalah untuk bangun, beristighfarlah memohon ampun daripada Allah S.W.T bagi memudahkan kita dikejutkan setiap pagi untuk melaksanakan ibadat ini.
3. Rajinkan diri berada bersama orang-orang soleh (majlis ilmu)
Hadirilah majlis ilmu kerana ianya salah satu daripada taman-taman syurga. Malaikat akan sentiasa bersama dengan kita sepanjang majlis ilmu. Doa-doa lebih mudah dikabulkan dan jiwa semakin tenang dan tenteram.
4.Perbanyakkanlah berpuasa sunat
Cubalah perbanyakkan berpuasa sunat. Sebab puasa boleh menjadi perisai untuk kita menundukkan hawa nafsu dan menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebenarnya puasa sunat lebih sukar untuk ditunaikan berbanding puasa wajib tetapi bila memikirkan motivasi kelebihan orang yang berpuasa sunat ini sangat disayangi oleh Pencipta segala makhluk maka sama-sama kita berusaha ke arah itu.
5.Zikir malam berpanjangan
Terdapat banyak cara zikir mengingati Allah yang boleh kita laksanakan. Sentiasalah kita mengamalkannya. In shaa Allah kita termasuk di dalam kalangan hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

TAZKIRAH : HIJRAH DI ZAMAN MODEN

Hijrah yang sebenar bukan hanya bermaksud mengingati tarikh 1 Muharam dalam kalendar Islam setiap tahun. Tetapi, hijrah yang terbaik adalah perubahan daripada keburukan kepada kebaikan dalam setiap sudut kehidupan.
Hijrah juga suatu proses menuju keindahan, berjuang kepada kebenaran, semangat untuk mengubah cara berfikir dan tingkah laku, meninggalkan keburukan atau kejahatan dan segera melakukan perkara yang lebih mulia.
Peristiwa hijrah itu berlaku pada 1,400 tahun yang lampau dan berjaya dengan misinya, bagaimana pula dengan hijrah umat Islam pada hari ini? Bagaimana caranya untuk memperoleh kebaikan dari konsep ‘hijrah’ ini?

#1- Niat Berubah Dari Keburukan Kepada Kebaikan
Islam telah memperluas maksud dan konsep hijrah melalui niat dan kesediaan umatnya berjihad demi Islam. Dalam situasi kini, perubahan dari aspek fizikal, pemikiran, hati, persekitaran dan kehidupan turut tergolong dalam cabang hijrah.
Misalnya, jika hari ini kita melakukan amalan ibadah lebih baik daripada hari-hari sebelumnya, pastinya kita sudah melakukan hijrah. Iaitu, dalam erti meninggalkan larangan Allah SWT. Seperti sabda Rasulullah;
“Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang Allah.” 
Hadits Riwayat Bukhari Dan Muslim

#2- Kesungguhan Dan Berusaha
Hijrah juga adalah bukti kesungguhan iman daripada seorang hamba sejati kepada penciptanya. Jadi orang yang mengerjakan perintahNya akan memperoleh kebaikan yang sama seperti orang berhijrah.

#3- Penggunaan Masa dengan Baik
Konsep hijrah dalam zaman globalisasi ini juga sangat mementingkan ‘masa’ dan perkembangan kemajuan hari ini turut menguji kebijaksanaan umat Islam dalam membahagikan masa agar tidak tewas.
Dari Ibnu Abbas RA berkata Rasulullah SAW bersabda;
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum tua; masa kaya sebelum miskin; masa lapang sebelum sempit; masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati.”
Oleh itu, selagi ada masa, lakukanlah berbanyak-banyak kebaikan dengan berkati kepada agama dan manusia.

#4- Keseimbangan Dunia Dan Akhirat
Keseimbangan antara dunia dan akhirat adalah sangat penting. Umat Islam hari ini bukan saja dituntut melaksanakan kemajuan zaman sahaja, tetapi diingatkan agar tidak lupa mempertingkat ketaatan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Maka, hijrah itu adalah proses yang harus berlangsung sepanjang perjalanan hidup sebagai muslim, sebagai tangga yang meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Sebab itu, hijrah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana dalam proses ini terkandung keuntungan, keberkatan, kebaikan hidup di dunia dan bekalan di akhirat kelak.

Jadi dapat disimpulkan, perubahan merupakan tuntutan daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik. Dengan itu, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan. Jika usaha hijrah tersebut memberikan kesan, ini bermakna pengertian hijrah berjaya dihayati.   
Dengan mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar mengingatinya, tetapi menghidupkan ‘hijrah´ tersebut dalam kehidupan. Ingatlah, umat Islam yang meraih kemuliaan dan kemenangan hakiki adalah seorang muslim yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT.
sumber: Rabiatul Adaweeyah




Inline image 1

TAZKIRAH : MENCEGAH SEBELUM MERAWAT


Bezakan Mana Islam, Mana Silap Tafsiran

Seorang isteri mengadu suaminya banyak menggunakan dalil-dalil agama untuk menghalalkan kecurangannya .

“Sampai hati abang bercuti dengan perempuan lain di Pangkor,” kata seorang isteri sambil menahan marah.

“Dalam al-Quran, Allah suruh lelaki kahwin 4. Nak kahwin mestilah kena ‘couple’ dulu. Kenal-kenal dulu,” hujah suaminya.

“Allah tidak adil!” Amuk si isteri.

“Kamu nusyuz. Penentang hukum Allah. Aku tak wajib lagi bagi nafkah pada perempuan nusyuz macam kau, faham!” gertak suami. Dia juga menyeterika perasaan isterinya dengan ancaman neraka.

“Saya nak rujuk mahkamah,” kata isteri apabila dilihatnya ruang bebincang semakin tertutup.

“Kalau kamu adu ke pejabat agama atau mahkamah syariah, kamu tak akan cium bau syurga. Perempuan ramai di neraka sebab tidak taat kepada suaminya. Faham!” Ayat pedih ini dihumban ke telinga isterinya.

“Kenapa Islam diskriminasikan perempuan?” tangis si isteri teresak-esak.

Agama si isteri terfitnah tika itu kerana dia keliru membezakan mana Islam dan mana sikap umat Islam. Allah memberi amanah berat kepada seorang suami untuk mendidik isterinya merasai indahnya Islam. Ironinya, banyak sikap dan akhlak suami yang membuatkan isterinya yang kurang ilmu makin jauh dari agama kerana tersilap menyangka Islam yang menganiaya. Mana mungkin agama suci ini menzalimi sesiapa?! Kita yang belum cukup ilmu mengenainya.

Di Malaysia, kita bertuah apabila kes cerai-rujuk, poligami dan nusyuz mesti diadili di mahkamah. Mahkamah berperanan sebagai badan berautoriti yang boleh mendengar suara semua pihak dan memberi keadilan dalam kes mereka. Enakmen kekeluargaan di Malaysia memperakui aduan isteri untuk mengelakkan sebarang kezaliman dan ketidak adilan daripada berlaku. Ia selari dengan satu prinsip hadis sahih, la dharar wala dhirar (Tiada kemudaratan dan tidak boleh  membalas kemudaratan).

Kita Buat, Kita Dapat

Si isteri membuka album lama. Dia teringat kembali saat-saat sebelum bernikah dia juga selalu bercuti bersama bakal suaminya hingga terpaksa berkrisis dengan ibubapa. Dia baru dapat membayangkan kepedihan perasaan ibubapanya saat itu.

“Kalau betul ‘couple’ itu satu kesilapan. Kenapa aku sahaja menanggung kesannya? Suami aku  pula seronok berfoya-foya,” jerit batinnya.

Dia silap lagi membuat sangkaan. Mana ada orang dapat terus seronok dengan dosa. Nikmatnya cuma sesaat tapi azabnya akan mendera kita sepanjang usia. Si suami itu tidak akan menemui bahagia selagi dirinya tidak bertaubat. Yang ditempahnya hanyalah neraka dunia yang kedua.

Saya menghadirkan contoh situasi ini agar mereka yang belum bernikah beringat-ingat. Punca-punca kecurangan boleh dielak sejak belum bernikah. Tidak hairanlah Islam sangat mementingkan aspek pemilihan pasangan. Pesan Nabi, pilihlah yang beragama kamu akan beruntung.

Jika kita tidak mahu mendapat pasangan yang curang, jangan curangkan hubungan kita dengan Allah melalui perbuatan menghampiri zina. Tiada nikmatnya maksiat. Hanya memberi azab setiap hari bahkan juga di kemudian hari.

Analoginya, jika kita tidak mahu terkena penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi ketika di usia tua, kita perlu menjaga pemakanan dan berdoa ketika di usia muda. Inilah kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.



TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!
 “Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…
 Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!
 Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.
“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.
“Mengapa?” tanya saya simpati.
“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”
“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”
Dia merenung jauh.
“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”
“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”
“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.
“Aku sedih, itu sahaja…”
“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”
Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.
“Apa maksud kau?”
Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.
“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.
“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”
“Kerana serban besar yang tuan pakai.”
Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.
“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”
Mat ketawa mendengar cerita saya.
“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”
“Betul ke?”
“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”
“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”
“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”
Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”
Sekali lagi Mat ketawa.
“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”
Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.
“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”
“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”
“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”
“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”
“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”
Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”
“Saya raja,” jawab petani.
“Raja?”
“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.