TAZKIRAH : UBAT HATI



Inline image 1

UBAT HATI ADA 5 PERKARA:
1. Baca Al-Quran dan cuba menghayati maknanya
Cuba kita tanya kepada diri kita, berapa kali dalam sehari kita membaca al-quran? atau bila kali terakhir kita membaca al-quran dan maksudnya? Kalau setiap hari kita boleh membaca akhbar, surat atau laporan huruf demi huruf, kenapa kita tidak cuba usahakan untuk membaca Al-Quran?
2. Dirikanlah Solat malam (Qiyamullail)
Sentiasalah berniat untuk bangun Qiamullail, dan berusahalah untuk bangun, beristighfarlah memohon ampun daripada Allah S.W.T bagi memudahkan kita dikejutkan setiap pagi untuk melaksanakan ibadat ini.
3. Rajinkan diri berada bersama orang-orang soleh (majlis ilmu)
Hadirilah majlis ilmu kerana ianya salah satu daripada taman-taman syurga. Malaikat akan sentiasa bersama dengan kita sepanjang majlis ilmu. Doa-doa lebih mudah dikabulkan dan jiwa semakin tenang dan tenteram.
4.Perbanyakkanlah berpuasa sunat
Cubalah perbanyakkan berpuasa sunat. Sebab puasa boleh menjadi perisai untuk kita menundukkan hawa nafsu dan menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebenarnya puasa sunat lebih sukar untuk ditunaikan berbanding puasa wajib tetapi bila memikirkan motivasi kelebihan orang yang berpuasa sunat ini sangat disayangi oleh Pencipta segala makhluk maka sama-sama kita berusaha ke arah itu.
5.Zikir malam berpanjangan
Terdapat banyak cara zikir mengingati Allah yang boleh kita laksanakan. Sentiasalah kita mengamalkannya. In shaa Allah kita termasuk di dalam kalangan hamba yang sentiasa dekat dengan Allah.

TAZKIRAH : HIJRAH DI ZAMAN MODEN

Hijrah yang sebenar bukan hanya bermaksud mengingati tarikh 1 Muharam dalam kalendar Islam setiap tahun. Tetapi, hijrah yang terbaik adalah perubahan daripada keburukan kepada kebaikan dalam setiap sudut kehidupan.
Hijrah juga suatu proses menuju keindahan, berjuang kepada kebenaran, semangat untuk mengubah cara berfikir dan tingkah laku, meninggalkan keburukan atau kejahatan dan segera melakukan perkara yang lebih mulia.
Peristiwa hijrah itu berlaku pada 1,400 tahun yang lampau dan berjaya dengan misinya, bagaimana pula dengan hijrah umat Islam pada hari ini? Bagaimana caranya untuk memperoleh kebaikan dari konsep ‘hijrah’ ini?

#1- Niat Berubah Dari Keburukan Kepada Kebaikan
Islam telah memperluas maksud dan konsep hijrah melalui niat dan kesediaan umatnya berjihad demi Islam. Dalam situasi kini, perubahan dari aspek fizikal, pemikiran, hati, persekitaran dan kehidupan turut tergolong dalam cabang hijrah.
Misalnya, jika hari ini kita melakukan amalan ibadah lebih baik daripada hari-hari sebelumnya, pastinya kita sudah melakukan hijrah. Iaitu, dalam erti meninggalkan larangan Allah SWT. Seperti sabda Rasulullah;
“Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang Allah.” 
Hadits Riwayat Bukhari Dan Muslim

#2- Kesungguhan Dan Berusaha
Hijrah juga adalah bukti kesungguhan iman daripada seorang hamba sejati kepada penciptanya. Jadi orang yang mengerjakan perintahNya akan memperoleh kebaikan yang sama seperti orang berhijrah.

#3- Penggunaan Masa dengan Baik
Konsep hijrah dalam zaman globalisasi ini juga sangat mementingkan ‘masa’ dan perkembangan kemajuan hari ini turut menguji kebijaksanaan umat Islam dalam membahagikan masa agar tidak tewas.
Dari Ibnu Abbas RA berkata Rasulullah SAW bersabda;
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum tua; masa kaya sebelum miskin; masa lapang sebelum sempit; masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati.”
Oleh itu, selagi ada masa, lakukanlah berbanyak-banyak kebaikan dengan berkati kepada agama dan manusia.

#4- Keseimbangan Dunia Dan Akhirat
Keseimbangan antara dunia dan akhirat adalah sangat penting. Umat Islam hari ini bukan saja dituntut melaksanakan kemajuan zaman sahaja, tetapi diingatkan agar tidak lupa mempertingkat ketaatan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Maka, hijrah itu adalah proses yang harus berlangsung sepanjang perjalanan hidup sebagai muslim, sebagai tangga yang meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Sebab itu, hijrah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana dalam proses ini terkandung keuntungan, keberkatan, kebaikan hidup di dunia dan bekalan di akhirat kelak.

Jadi dapat disimpulkan, perubahan merupakan tuntutan daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik. Dengan itu, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan. Jika usaha hijrah tersebut memberikan kesan, ini bermakna pengertian hijrah berjaya dihayati.   
Dengan mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar mengingatinya, tetapi menghidupkan ‘hijrah´ tersebut dalam kehidupan. Ingatlah, umat Islam yang meraih kemuliaan dan kemenangan hakiki adalah seorang muslim yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT.
sumber: Rabiatul Adaweeyah




Inline image 1

TAZKIRAH : MENCEGAH SEBELUM MERAWAT


Bezakan Mana Islam, Mana Silap Tafsiran

Seorang isteri mengadu suaminya banyak menggunakan dalil-dalil agama untuk menghalalkan kecurangannya .

“Sampai hati abang bercuti dengan perempuan lain di Pangkor,” kata seorang isteri sambil menahan marah.

“Dalam al-Quran, Allah suruh lelaki kahwin 4. Nak kahwin mestilah kena ‘couple’ dulu. Kenal-kenal dulu,” hujah suaminya.

“Allah tidak adil!” Amuk si isteri.

“Kamu nusyuz. Penentang hukum Allah. Aku tak wajib lagi bagi nafkah pada perempuan nusyuz macam kau, faham!” gertak suami. Dia juga menyeterika perasaan isterinya dengan ancaman neraka.

“Saya nak rujuk mahkamah,” kata isteri apabila dilihatnya ruang bebincang semakin tertutup.

“Kalau kamu adu ke pejabat agama atau mahkamah syariah, kamu tak akan cium bau syurga. Perempuan ramai di neraka sebab tidak taat kepada suaminya. Faham!” Ayat pedih ini dihumban ke telinga isterinya.

“Kenapa Islam diskriminasikan perempuan?” tangis si isteri teresak-esak.

Agama si isteri terfitnah tika itu kerana dia keliru membezakan mana Islam dan mana sikap umat Islam. Allah memberi amanah berat kepada seorang suami untuk mendidik isterinya merasai indahnya Islam. Ironinya, banyak sikap dan akhlak suami yang membuatkan isterinya yang kurang ilmu makin jauh dari agama kerana tersilap menyangka Islam yang menganiaya. Mana mungkin agama suci ini menzalimi sesiapa?! Kita yang belum cukup ilmu mengenainya.

Di Malaysia, kita bertuah apabila kes cerai-rujuk, poligami dan nusyuz mesti diadili di mahkamah. Mahkamah berperanan sebagai badan berautoriti yang boleh mendengar suara semua pihak dan memberi keadilan dalam kes mereka. Enakmen kekeluargaan di Malaysia memperakui aduan isteri untuk mengelakkan sebarang kezaliman dan ketidak adilan daripada berlaku. Ia selari dengan satu prinsip hadis sahih, la dharar wala dhirar (Tiada kemudaratan dan tidak boleh  membalas kemudaratan).

Kita Buat, Kita Dapat

Si isteri membuka album lama. Dia teringat kembali saat-saat sebelum bernikah dia juga selalu bercuti bersama bakal suaminya hingga terpaksa berkrisis dengan ibubapa. Dia baru dapat membayangkan kepedihan perasaan ibubapanya saat itu.

“Kalau betul ‘couple’ itu satu kesilapan. Kenapa aku sahaja menanggung kesannya? Suami aku  pula seronok berfoya-foya,” jerit batinnya.

Dia silap lagi membuat sangkaan. Mana ada orang dapat terus seronok dengan dosa. Nikmatnya cuma sesaat tapi azabnya akan mendera kita sepanjang usia. Si suami itu tidak akan menemui bahagia selagi dirinya tidak bertaubat. Yang ditempahnya hanyalah neraka dunia yang kedua.

Saya menghadirkan contoh situasi ini agar mereka yang belum bernikah beringat-ingat. Punca-punca kecurangan boleh dielak sejak belum bernikah. Tidak hairanlah Islam sangat mementingkan aspek pemilihan pasangan. Pesan Nabi, pilihlah yang beragama kamu akan beruntung.

Jika kita tidak mahu mendapat pasangan yang curang, jangan curangkan hubungan kita dengan Allah melalui perbuatan menghampiri zina. Tiada nikmatnya maksiat. Hanya memberi azab setiap hari bahkan juga di kemudian hari.

Analoginya, jika kita tidak mahu terkena penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi ketika di usia tua, kita perlu menjaga pemakanan dan berdoa ketika di usia muda. Inilah kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.



TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!
 “Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…
 Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!
 Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.
“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.
“Mengapa?” tanya saya simpati.
“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”
“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”
Dia merenung jauh.
“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”
“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”
“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.
“Aku sedih, itu sahaja…”
“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”
Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.
“Apa maksud kau?”
Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.
“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.
“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”
“Kerana serban besar yang tuan pakai.”
Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.
“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”
Mat ketawa mendengar cerita saya.
“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”
“Betul ke?”
“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”
“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”
“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”
Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”
Sekali lagi Mat ketawa.
“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”
Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.
“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”
“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”
“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”
“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”
“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”
Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”
“Saya raja,” jawab petani.
“Raja?”
“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

TAZKIRAH : KERJA YANG HALAL BELUM MEMASTIKAN GAJI YANG BERKAT



"Gaji aku banyak tetapi tidak pernah cukup, makin banyak gaji makin tak cukup jadinya, mengapa ya? Adakah konsep "live below your mean" harus aku lakukan atau ada sebab lain disebaliknya? Tambahan pula dengan harga minyak yang naik sekarang ini adakah aku harus lebih berjimat cermat.
Pernah terdengar orang yang gajinya kecil tetapi mampu menyara keluarga yang ramai, rata rata memberi komen, kerjanya halal dan rezekinya berkat, bagaimana pula dengan diriku? Aku bukan melakukan kerja yang haram, macamana tidak berkat pula?"
Adakah persoalan ini sering melanda fikiran kita, tertanya-tanya mengapa, jawapannya memang mudah cuma diri kita tidak sedar akan hukum alam mengenai duit itu sendiri.
Sebenarnya kertas yang dipanggil duit, wang atau fulus yang tersimpan didalam dompet atau poket kita itu sebenarnya bukanlah duit, ia hanya mewakili duit. Saya yakin ramai yang tahu tetapi kelalaian kita membuatkan kita terlupa. Konsepnya sama dengan dosa dan pahala tetapi dosa dan pahala tidak dapat kita lihat kerana ianya perjanjian/perhitungan antara kita dengan Allah, tetapi duit pula dapat dilihat kerana ianya perjanjian kita sesama manusia, itupun setelah ia di"fizikal"kan oleh manusia sendiri.
Jadi berbalik kembali kepada gaji kita yang kita terima setiap bulan, adakah ianya benar-benar hak kita? Katalah kita bersetuju/berakad/kontrak dengan majikan untuk bekerja selama 10 jam sehari dengan gaji RM1000 sebulan (contoh untuk memudahkan pengiraan). Jika masa bekerja kita banyak gunakan untuk lepak lama di kafeteria, baca media sosial, berbual kosong dengan rakan-rakan, buat part time direct selling, beratur menunggu untuk punch card balik walaupun jam masih awal dan macam-macam lagi sedangkan majikan tidak membenarkan perkara begitu dan ada fail-fail kerja lagi yang bertangguh diatas meja, di manakah keberkatan dalam pekerjaan kita?
Duit sebenarnya ber"nyawa", duit tahu yang kita bukan tuannya dan suasana dunia akan merubah untuk menegakkan keadilan, kerana Allah itu maha Adil. Gaji kita yang dirasakan seolah-olah hilang tanpa dikesan dari kita itu bukan kerana Allah tidak sayangkan kita, tetapi kerana Allah maha Adil memulangkan kepada hak sebenar tuan punya duit tersebut.
Bagaimana caranya? Apa sahaja kejadian yang menyebabkan kita terpaksa keluarkan duit tanpa kerelaan kita, itu lah sebenarnya cara duit akan lari pada kita, sakit, anak isteri sakit, kemalangan, kereta rosak, kena saman, dirompak, diragut, sangkut dalam traffic jam, dan macam-macam lagi, semua itu adalah cara duit itu akan kembali pada tuannya. Contohnya, bila kereta kita rosak, mekanik kereta tersenyum duit masuk, mekanik bayar cukai jadi duit itu kembali kepada tuan asalnya jika kita bekerja dengan kerajaan bagi contoh diatas.
Contoh yang saya berikan di atas untuk diri kita yang berkerja, bagaimana pula mereka yang mengambil rasuah, makan harta anak yatim, menipu, mencuri? Perhatikanlah hidup mereka adakah aman dan tenteram? Mungkin fizikalnya sahaja Nampak semakin mewah dan baik, hkikatnya perasaan dalaman penuh kegelisahan tanpa ketenangan. Anak-anak kita, adakah mereka boleh menjadi soleh dan solehah jika makanan yang kita suap adalah bukan hak kita? Allah melarang kita makan harta anak yatim, rasuah, riba dan sebagainya itu adalah untuk melindungi kita sendiri sebenarnya, Allah mahu kita hidup aman dan damai tetapi sikap kita sendiri yang mengundang musibah.
Semuanya berpunca dari diri kita, jika kita sedar akan konsep ini, kita akan lebih berhati-hati dalam tindak tanduk perbuatan kita kerana kita tahu semuanya akan berbalik pada diri sendiri. Jadi janganlah nak marah jika musibah berlaku kerana semuanya salah diri sendiri. Sebelum salahkan takdir, fikirkan dahulu adakah kita yang mengundangnya?
Coretan penulis ini hanyalah untuk kita berfikir dan muhasabah sedalamnya untuk memahami kebenaranya.
Wallahualam.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
(Al-A’raaf ayat 96)

TAZKIRAH : MENCARI KEBERKATAN DALAM KERJA



“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”
(Al-A’raaf ayat 96)
Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tapi punya perkaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah yang memberi kebaikkan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati.
Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu memberi kesempatan pendengar program Islam Itu Indah untuk memahami dan menguasai makna sebenar di balik perkataan berkat terutama menerusi pekerjaan yang mejoriti individu dewasa akan memperuntukan 1/3 daripada hari dengan aktiviti tersebut. Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam menghidupkan kehidupan dengan kata kunci iman dan taqwa.
Menyorot kaedah mengapai keberkatan iaitu iman dan taqwa, para ulama menarifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Manakala taqwa pula berasal dari makna perkataan berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa diatur dan disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan taqwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Taqwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada menggambarkan lokasi hati itu berada.
Panduan untuk melunaskan pekerjaan dengan iman dan taqwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki, bagi membiayai keluarga dan untuk memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya; dimanakah Allah dalam ketiga-tiga niat tersebut?
Bekerja bukan sekadar mencari rezeki semata tetapi untuk mencari rezeki yang halal yang sangat-sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu”. (Surah al-Baqarah ayat 172) dan Rasulullah menegaskan juga di dalam sabdanya, “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal miliki talian hayat yang terkait dengan Allah.
Apabila kerja diniatkan utuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannnya di sisi Allah SWT. Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain”. Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah SAW dan seperti yang termaktub di dalam al-quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firmanNya, “Rasulullah tidak berkata melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm ayat 3 dan 4).
Dari sudut taqwa pula, penting bagi pekerja menghindar daripada perkara-perkara yang haram seperti curi masa, curi tulang, umpat-mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas taqwa, perkara-perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara-perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif,efisyen dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)”. (Riwayat al-Baihaqi).
Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam An-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan taqwa yang terjelma dalam perlaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah berfirman mafhumNya, “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. “ (Surah al-Isra’ ayat 1). Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu nabi Isa yang akan menjadi “berita gembira” buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah menegaskan bahawa pada al-quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa sepertimana keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu.
Hikmah Allah meletakkan barakah itu pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah meletakkan kebaikan pada makhluk itu untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan-kelebihan berkat yang ada pada makhluk-makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah yang memberi berkat.
Berkat itu tidak ketara dek mata, tapi dapat dirasa. Tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan di samping kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan kerja akan raih kepuasan tugasan lebih daripada itu kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.


TAZKIRAH : BERGANTUNGLAH DENGAN ALLAH


Satu hari Abu Nawas dipanggil Sultan, dan berkongsi mimpi baginda.
"Malam semalam beta bermimpi bertemu dengan seorang lelaki tua. Dalam mimpi itu dia berkata bahawa negeri ini akan ditimpa bencana jika ada orang bernama "Abu Nawas". Jadi Abu Nawas harus diusir  dan hanya boleh kembali dengan syarat tidak boleh berjalan kaki, berlari, merangkak, melompat atau menunggang haiwan sebagai kenderaan."
Dengan hati yang sedih, Abu Nawas keluar dari negara tersebut. Biarpun hari berlalu, Abu Nawas sangat yakin bahawa Tuhan akan beri jalan keluar pada kesulitan yang dialami.
"Bukankah tiada seorang teman pun yang lebih baik dari Allah dalam setiap kesulitan?" Kata beliau beri semangat pada diri.
Perasaan rindu dan kuat untuk pulang ditambah keyakinan tinggi pada bantuan Allah, akhirnya Abu Nawas bertemu jawapan. Bagi mengelak dihukum kerana balik dengan cara yang disebut Sultan, akhirnya Abu Nawas memilih jalan pulang dengan bergayut pada badan keldai.
Kisah Abu Nawas barangkali sering dikaitkan sebagai figura pujangga dan penyair Arab yang menghiburkan tetapi boleh memberi pengajaran. Setiap kisahnya yang terkongsi dalam Alfu Lailatin wa Lailah punya kisah tersendiri yang sentiasa meletakkan keyakinan tinggi dan penyerahan diri kepada Allah swt.
Yang pasti, tidak perlu menunggu untuk menjadi seperti Abu Nawas bagi mendapat jalan penyelesaian masalah. Kerana bagi sesiapa yang meletakkan pengharapan dan pergantungan diri secara total kepada Allah, akan pasti ada jalan keluar.

Sumber: Himpunan Cerita Abu Nawas terbitan Hijjaz Records Publishing

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi ( segala perintah Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”


(Al-Baqarah : 186)