TAZKIRAH : MASALAH?



MASALAH. Adakala ia datang dalam bentuk rupa manusia – melihatnya, hati jadi geram dan marah.
Di lain masa, ia menjelma berwajahkan pintu rumah kita – rasa nak hentak dan tendang saja!
 Kadang pula, ia menjelang bak kereta jiran yang terpakir menghalang jalan di hadapan rumah – ia mengundang amarah yang tidak kita jangka.
Banyaknya masalah!
 Hujan lebat pun masalah!
 Panas terik pun masalah!
 Pergi kerja, masalah!
 Duduk saja pun masalah.
Aduhailah, manusia-manusia.
“Manakan nak kebah demam masalah, selagi kamu tak berhenti menganggapnya sebagai masalah.
Mana nak tenang hidup di dunia, bila kamu sendiri yang mencari, mencipta dan merumitkan masalah!
isk.. isk…
“Ah! Kamu cakap besar senanglah. Kamu tak ada masalah. Tak macam aku…,”
Tiada bumi yang tak ditimpa hujan. Dan kalau memang terik mentari mencetus kemarau yang panjang, di situlah ujian untuk sesetengah orang. Jadi, kita tidak berseorangan dalam menghadapi pelbagai ranjau dan dugaan.
Bukan kita seorang yang punya masalah dan terpaksa menghadapinya dengan bersusah-payah.
Cukup-cukuplah merasakan hanya diri kita saja yang teruk diuji dengan masalah yang tak sudah-sudah. Sebenarnya, tiada istilah hanya hidup kita seorang diuji. Walau acap kali, kita rasakan asyik-asyik kita saja yang diuji. Sedang hakikat sebenar, tidak begitu.
Semua orang ada ujian hidup masing-masing. Ada masalah yang tersendiri. Tiada yang lebih, tiada yang kurang.
“Tiada yang ‘malang’ kerana diuji dan tiada yang ‘bertuah’ kerana terlepas daripada cengkaman masalah tersebut.”
Dan, sudah tentu bukan tugas kita untuk membuat perbandingan – ‘masalah aku lagi berat dan dia pula yang ringan-ringan’. Allah Maha adil dalam pentadbiran-Nya.
Demikian juga, Allah mengetahui kesanggupan serta limitasi setiap manusia bergelar hamba-Nya. Tidak perlu kita membuang masa mempersoalkan qada’ dan qadar yang sudah tertulis untuk kita.
Melihat orang lain tersenyum sedang hati kita menangis, jangan lekas berkesimpulan dirinya tidak diuji dengan masalah. Kita ini tidak akan pernah tahu sudah berapa banyak air matanya yang jatuh.
Beruntunglah hidup insan, yang sedar Allah sedang beri ujian kepadanya. Dan kesedaran itulah motivasi untuk lebih positif, bertahan dan bersabar dalam ‘berurusan’ dengan takdir-Nya.
Masalah itu ada – lain orang, lainlah perisanya
Benar. Adakalanya masalah itu sukar untuk dielakkan. Ia akan datang kepada kita. Lain orang, lainlah isunya. Jangan hairan bila ada yang menangis tujuh hari tujuh malam, menolak untuk makan dan sudah tidak ‘berselera’ untuk hidup lagi semata-mata kerana kematian anak kucing.
Kedengaran tidak logik bukan? Tapi ia benar berlaku.
“Janganlah kita cepat menghukum atau menghakiminya sesuka hati kita. Sungguh, kita sebenarnya tidak tahu serupa apa yang dia rasa.”
Manusia, tidak perlu sebab yang besar atau serius pun untuk berdukacita. Kadang kerana hal-hal remeh saja pun cukup memberikan impak yang besar dalam hidupnya. Seperti kisah si kawan yang kematian kucing itulah. Isu yang kecil dan remeh bagi kita, tapi itulah tekanan terbesar bagi dia.
Dalam dia melayan emosi kerana anak kucingnya mati, mungkin ada orang lain yang menangis kerana ayahnya sakit tenat. Ada insan lain yang dirundung celaru dan buntu lantaran tak senang duduk kerana dibebani dengan masalah hutang.
Ada orang lain, yang bersedih-sedih kerana mak ayahnya baru bercerai. Tidak kurang juga, yang menderita hati kerana begitu tertekan dengan kemiskinan.
Mungkin kita-kita ini pula terbawa-bawa layankan sedih, seusai menonton filem syurga yang tak dirindukan.
isk… isk…
Pendek kata, setiap insan pasti lalui kesulitan dalam hidup. Kecil atau besar, remeh atau serius, boleh selesai atau tidak – itu bakal ditentukan oleh individu itu sendiri.
Bagaimana dia memandang sesuatu isu itu sebagai masalah dan apa usahanya dalam mencari solusi terhadap permasalahan yang dihadapinya.
Jadi, masalah itu sebenarnya lumrah. Biasa. Semua alami. Yang merumitkan, yang menyerabutkan, yang menjadikan ia bertambah teruk bukanlah masalah yang sedang kita hadapi.
“Tapi kitalah yang menjadikan diri kita sebagai punca dan faktor bertambah rumitnya sesebuah masalah.”
Ya, kita! Diri sendiri!
Ubahlah. Cukup-cukuplah masalah yang sudah sedia ada. Janganlah kita menjadi ‘masalah’ terhadap diri kita sendiri. Bijaklah mengendalikan emosi. Jangan terbawa-bawa dengan amarah, sedih mahu pun dukacita yang keterlaluan hingga sukar untuk kita mengawalnya.
Perbanyak zikir dan istighfar untuk menjemput ketenangan dalam diri. Stres yang sedikit, sebenarnya mampu menyegarkan prestasi seseorang.
Memang itu tujuan Allah berikan ujian. Melatih diri kita untuk mahir berinteraksi dengan cabaran dan memikirkan solusi yang terbaik. Bukannya mempersoal mengapa asyik-asyik diri kita saja yang menjadi mangsa keadaan.
Ingatlah diri! Kesenangan atau kesusahan, kedua-duanya ujian.
Lain orang, lainlah kemampuan. Allah tahu, siapa layak diuji dengan kesusahan dan siapa yang mampu ‘bersabar’ mengendalikan kesenangan.
Buktinya, ada orang yang hidupnya susah – namun, tetap bahagia kerana mampu bersyukur dan berasa kecukupan. Ada juga orang kaya, tapi punya kerendahan hati dan sangat dermawan.
Oleh itu, pandanglah masalah sambil muhasabah – apa pun jua ‘perisa’ masalah yang kau hadapi, jalani ia dengan sebaik-baik cara.
Moga kita mampu menjadi manusia berinisiatif  yang produktif dan bijaksana mengendalikan apa pun masalah atau ujian pada hari-hari mendatang.

Insya-Allah.

TAZKIRAH : KENAPA LAMBAT MAKBUL?



Hari ini sama seperti hari sebelumnya. Alarm telefonku berbunyi menandakan sudah jam 6.00 pagi. Tanganku pantas mematikan bunyi alarm tersebut.
Mataku ku paksa untuk buka, namun jasadku belum mampu ku paksa untuk bangun. Aku termenung di dalam kegelapan. Tiada apa yang kufikirkan hanya dipenuhi perasaan malas.
Berat sungguh jasad ini hendak ku paksa bangun. Ku tahu solat itu satu kewajipan. Mendirikan solat di awal waktu itu suatu tuntutan. Namun, aku masih terbaring dengan enaknya. Dalam hati aku berkata,
‘kejap lagi la solat, baru masuk waktu ni’.
Masa terus berjalan tanpa menanyakan kepadaku
‘Berapa banyak masa lagikah yang engkau perlukan?’.
“Ia berlalu sedetik demi sedetik hingga membawa aku kesiangan. Aku lihat jam di telefonku. Ianya menunjukkan tepat jam 6.50 pagi.
Tatkala ini aku bingkas bangun menenguk segelas air masak dan terus ke bilik air. Aku persiapkan diriku untuk solat.
Alhamdulillah masih sempat sebelum syuruk. Usai solat, aku mengangkat tangan dan berdoa kepada Illahi.
Aku berdoa supaya aku diberi kesihatan yang sempurna, kebijaksanaan, kekayaan dan dipermudahkan segala urusan hidup.
Hari ini adalah hari cuti hujung minggu. Kebiasaannya aku akan menghabiskan masa duduk berehat di rumah.
Inilah masanya untuk aku mengemas rumah, membasuh pakaianku, memasak makanan kegemaranku di rumah.
Bagi aku, setelah penat bekerja lima hari seminggu, hujung minggu adalah masa untuk reward diri sendiri.
Selesai mengemas rumah, aku duduk di sofa sambil menonton televisyen. Ku ambil makanan yang telah dimasak dan langsung makan di hadapan televisyen.
Aku rasa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang terbiasa dengan amalan makan di hadapan televisyen. Dalam erti kata yang lain, makan sambil menonton rancangan televisyen.
“Sedang aku menikmati rezekiku pada tengah hari ini, terdengar seruan azan yang menandakan masuknya waktu solat fardhu Zuhor.
Dalam hatiku berbisik, ‘tidak apalah, lepas makan aku solat’.
Aku meneruskan untuk menghabiskan makananku. Dalam keasyikan menikmati santapanku pada hari ini, tangan ku dengan pantas mengambil remote control  Astro. Button info aku tekan satu persatu sambal meneliti rancangan yang akan disiarkan pada hari ini.
’wah, ada rancangan kegemaranku, mana boleh terlepas ni’.
Bisik aku di dalam hati setelah melihat info rancangan di kaca televisyen. Mataku melihat duration rancangan tersebut. Rancangan itu akan habis jam 3.00 petang. Dalam hatiku berbisik lagi
‘sekarang dah pukul 1.55 petang, kalau solat sekarang nanti terlepas pula rancangan ini. Solat lepas abis rancangan ini lah. Pukul 3.00 pun masih waktu zuhur. Ah, tengok televisyen dulu lah’.
Aku lalu terbuai dek keasyikan dunia. Usai rancangan televisyen itu, aku bangun mendirikan solat. Seperti biasa, aku memanjatkan doaku kepada Illahi.
Seperti hujung minggu sebelum ini, aktivitiku adalah sama di waktu petang. Iaitu tidur di petang hari. Tidur di waktu petang adalah satu kenikmatan bagiku.
Sebelum tidur, alarm  telefon telah aku setkan. Aku ingin bangun pada jam 5.30 petang. Bagiku kalau tidur sekejap-sekejap tidak berasa kepuasaannya.
Aku lantas tidur dalam kesejukan penghawa dingin. Tepat jam 5.30 petang aku bangkit mendirikan solat.
Apabila senja mula mencelah, aku seperti dipanggil-panggil oleh televisyen. Seolah-olah ada suara dari televisyen itu menyuruh supaya aku membuka televisyen.
“Aku menonton drama televisyen sehingga jam 8.00 malam. Jam 8.00 malam barulah aku tergesa-gesa mendirikan solat Maghrib.
Aku tidak pernah lupa untuk memanjatkan doa kepada Illahi. Sudah menjadi kemestian pada diri untuk berdoa selepas solat.
Selesai solat Maghrib, aku menyambung aktivitiku untuk menonton televisyen. Selalunya aku pasti tertidur di hadapan televisyen. Kadang-kadang sehingga jam 2.00 pagi. Bagiku, waktu Isyak panjang yang aku boleh dirikan nanti.
Hari ini aku terlena di hadapan televisyen. Terjaganya aku, jam dinding menunjukkan jam 10,30 malam. Aku bingkas bangun dan menunaikan solat Isya’.
Setelah selesai, aku periksa keadaan rumah, kupastikan semua pintu dan tingkap telahku kunci, suiz telahku matikan, baru aku masuk ke bilik untuk tidur.
Beginilah kehidupanku berulang siang ke malam dan malam membawa ke siang kembali.
Sehingga suatu hari aku terfikir. Aku yakin dan percaya dengan janji Allah bahawa setiap apa yang kita minta pasti Allah tunaikan cuma waktu yang membezakan.
Ada doa yang Allah maqbulkan cepat, ada yang lambat.
“Aku berfikir, mengapa aku berdoa setiap kali selepas solat tanpa pernah tinggal walau sekali pun, tapi doaku masih tidak dimakbulkan. Adakah aku kurang usaha? Aku muhasabah kembali.
Bagi aku, aku cukup berusaha. Aku kerja siang petang. Adakah aku kurang beribadah? Aku tidak pernah tinggal solat walau terkadang aku lambat mendirikannya.
Tiba-tiba aku seolah disapa satu tepukan dari belakang yang aku sendiri tidak tahu daripada siapa. Sapaan itu seolah berbisik padaku,
‘Inilah jawapannya’.
Baru aku tersedar. Apa yang Allah ingin aku lakukan, aku lewatkan. Adilkah untuk aku mendapatkan apa yang aku hajatkan dengan cepat. Sedang apa yang Tuhanku mahukan aku lenggahkan.
Air mataku tiba-tiba mengalir tanpa aku sedar. Adilkah aku terhadap diri ku sendiri. Adil itu bermaksud, meletakkan sesuatu itu pada haknya.
Solat itu haknya di awal waktu, aku tidak adil akan itu. Adilkah aku apabila apa yang Allah perintah aku lewatkan namun apa yang aku hajatkan aku mahukan segera.
Adilkah aku?
“Sekilas aku tersedar, siapa aku di muka bumi ini. Aku hanya seorang hamba. Hamba yang sangat hina martabatnya. Layakkah aku mempertikaikan pemberian Tuhan kepada diriku?
Layakkah aku iri hati dengan pemberian Tuhan pada hamba yang lain? Layakkah aku marah akan apa yang Tuhan beri dan ambil daripadaku, sedang semua milikNya?
Layakkah aku berfikir tentang keadaan diriku yang diuji? Tidak berimanlah aku sekiranya aku tidak beriman walau hanya dengan satu rukun iman. Percaya kepada Qada’ dan qadar.
Ramai yang terlepas pandang akan rukun iman terakhir iaitu beriman kepada qada’ dan qadar.
Pada kita rukun iman keenam ini hanya percaya ketentuan Illahi untuk kita tanpa meletakkan sebenar-benar bahawa Allah adalah perancang segala sesuatu yang terjadi pada hari ini.
Setiap hela nafas kita pada saat ini juga merupakan perancangan Allah untuk kita. Itulah qada’ dan qadar. Beriman dengan sebenar-benar iman.
Alhamdulillah, hari ini aku mula tersedar tentang siapa aku di muka bumi ini.
Adilkah aku sekiranya segala perintah Tuhan aku abaikan. Semoga hari ini merupakan hari yang terbaik bagiku, dan hari esok adalah lebih baik dari ini.
Penulis:  Siti Nurdiyana binti Nor Mohd Mas Ariff 

TAZKIRAH : BERSABAR UNTUK SYURGA


Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi di dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu ‘anh. Kisah ini dipetik (dengan pengolahan semula) daripada kitab “Kanzul Minan ‘Ala Hikami Abi Madyan”, yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu ‘anh yang telah disusun/diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera (atau polis). Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera itu telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.
Setelah kejadian tersebut berlaku, dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu: “Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau.”
Tentera itu agak kehairanan dengan perbuatan Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana begitu biadabnya perbuatannya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemafaan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu bertanya kepada Ibrahim bin Adham: “Kenapa begitu, wahai tuan?” Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham: “Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau (lalu aku bersabar dengannya) aku akan masuk ke dalam syurga. Maka seharusnya lah aku berterima kasih kepada engkau, justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau.”
Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.
Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para ‘ulama dan awliya’, yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.
Wallahu’alam.
“Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”  -(Surah Baqarah:157)


detox with DTX Complex part 4



Jaga-jaga cik Salmah ðŸ˜œðŸ˜˜ðŸ˜œ

#TeamDetoxMJ
#EasyDetox
#LetsDetox
#better2017


TAZKIRAH : UJIAN ITU UNTUK MENGUATKAN



“Sungguh menakjubkan perkaranya orang mukmin. Segala sesuatu yang terjadi padanya semua merupakan kebaikan. Ini terjadi hanya pada orang mukmin. Jika mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Jika mendapat keburukan dia bersabar, maka itu juga kebaikan baginya“ 
(Riwayat Muslim)
....................................
Arnab seperti yang kita sedia maklum sifatnya, merupakan haiwan ciptaan allah yang sangat pemalu dan penakut. Arnab akan melompat lari ketakutan sekiranya ada makhluk lain cuba menghampiri mereka.
Pada suatu hari, di sebuah hutan belantara, ada sekumpulan arnab sedang bermesyuarat untuk membincangkan nasib yang melanda  diri mereka yang penakut. Salah seekor daripada kumpulan arnab ini mencadangkan untuk lebih baik mereka membunuh diri. Dengan terjun ke dalam sungai.
Oleh kerana semuanya sudah putus harapan untuk hidup kerana dibelenggu ketakutan, akhirnya cadangan itu diterima sebulat suara tanpa bantahan.
Setibanya di tebing sungai, terdapat sekumpulan katak sedang berkumpul. Kumpulan arnab dan katak ini masing-masing terkejut. Oleh kerana terkejut melihat ramai arnab-arnab meluru ke tebing sungai dari arah hutan, kumpulan katak pun melompat masuk ke dalam sungai.
Melihat keadaan itu, lalu seekor arnab pun bersuara.
“Mengapa kita perlu bunuh diri. Jika ada lagi haiwan yang lebih penakut daripada kita.”
Akhirnya, kumpulan arnab ini memutuskan untuk membatalkan niat dan hasrat membunuh diri.  Mereka kembali masuk ke dalam hutan dan meneruskan kehidupan seperti basa sebagai seekor arnab.
………………………………………………
Kisah ini mengajar kita untuk melihat masalah dari perspektif yang berbeza.  Ingat masih banyak nikmat Allah diberikan kepada kita tanpa sedar.
Hidup ini untuk diuji dan Allah SWT  tidak akan memberi ujian pada  hambanya melebihi kemampuan untuk mengatasinya. Ayuh kembalilah kita kepada agama. Penyelesaian segala permasalahan dalam kehidupan.

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, ganjaran bagi mereka adalah tanpa hisab (tak terhingga).”

 (Surah Az Zumar: 10)

Perlu ke detox?



Perlu la.. tempat balik banyak kena detox?

Hati la gamaknya ðŸ˜œ

Detox perut - Supaya kita rasa perut tak sedu. Pernah dengar orang kata, penyakit datang dari perut dan usus?

Detox darah - Supaya kekal muda dan berseri ðŸ˜œðŸ˜˜


TAZKIRAH : BAGAIMANA JIKA DIPUJI



Apa yang kita lakukan ketika dipuji orang lain?
Imam Al-Ghazali rahimahullah mengatakan, “Orang yang dipuji hendaklah berwaspada, jangan sampai dia terjatuh dalam kesombongan, ujub, takabur dan bentuk akhlak buruk lainnya.  Seseorang dapat selamat dari hal-hal buruk tadi, hanya dengan mengetahui hakikat keadaan dirinya. Hendaklah ia renungkan akan bahaya jika berada dalam akhir hidup yang tidak baik. Hendaklah dia waspada akan bahaya riya’ dan terhapusnya amalan. Hendaknya dia kenali dirinya sendiri kerana orang yang memuji pun tidaklah mengenalnya sangat sebenarnya. Kalaulah orang yang memuji itu tahu kecacatan akhlak yang ada pada dirinya, tentu dia tak akan memuji.” (Ihya’ Ulum Ad-Diin, 3: 236)
Juga perhatikan perkataan yang sama dari Ibnu ‘Ajibah.
Ibnu ‘Ajibah rahimahullah mengatakan, “Janganlah engkau tertipu dengan pujian orang lain yang menghampirimu. Sesungguhnya mereka yang memuji tidaklah mengetahui dirimu sendiri kecuali yang nampak bagi mereka. Sedangkan engkau sendiri yang mengetahui isi hatimu. Ada ulama yang mengatakan, ‘Barangsiapa yang begitu girang dengan pujian manusia, syaitan pun akan merasuk dalam hatinya.’“ (Lihat Iqazh Al-Himam Syarh Matn Al-Hikam, Ibnu ‘Ajibah, hlm. 159, Mawqi’ Al-Qaraq, Asy-Syamilah)
Para ulama katakan, kalau ada yang memujimu, bacalah doa seperti berikut.
Ketika dipuji,Saidina Abu Bakr berdoa,
Inline image 1
Allahumma anta a’lamu bi nafsiy, wa anaa a’lamu bi nafsii minhum. Allahummaj ‘alniy khoirom mimmaa yazhunnuun, wagh-firliy maa laa ya’lamuun, wa laa tu-akhidzniy bimaa yaquuluun.
[Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka]
(Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al- Iman, 4: 228, no.4876. Lihat Jaami’ Al-Ahadits, Jalaluddin As-Suyuthi, 25: 145, Asy-Syamilah)
Sebagaimana disebutkan Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, Al-Auza’i mengatakan bahwa ketika seseorang dipuji oleh orang lain di hadapan  wajahnya, maka hendaklah ia mengucapkan do’a di atas.
Semoga bermanfaat.
Rujukan:
Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah. Penerbit Kementrian Agama Kuwait. Juz ke-36.