TAZKIRAH : CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA

TAZKIRAH : CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA


Doa seseorang itu BOLEH sahaja dimaqbulkan oleh Allah swt dalam bentuk yang TIDAK disukainya.
Contohnya berdoa agar hati lebih tenang dan khusyu’ solat, lalu Allah swt rugikan bisnesnya sehingga bankrup kerana tidak disedari bisnesnya itulah penghalang hati tenang dan khusyu’, tanpanya (atau dengan bisnes lain yang lebih baik) apa yang dipohonnya boleh diperolehi.
Begitulah seterusnya, sebahagian musibah dan bala yang datang adalah untuk memaqbulkan doa kita sendiri.
Justeru sama-sama kita usaha bersabar dan tidak cepat putus asa, terlalu bersedih dengan apa yang hilang atau melenting membenci taqdir. Carilah positif darinya nescaya hidup lebih tenang.
Itulah sifat Mukmin sejati sabdaan Nabi saw:
Ajaib urusan orang mukmin itu, apa yang berlaku semua baginya kebaikan, tiada seorang kecuali mukmin yang apabila ditimpa kebaikan lalu bersyukur maka kebaikan baginya, apabila ditimpa keburukan maka bersabar, maka kebaikan baginya juga. [Hadis Riwayat Muslim]
sumber: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

Pernahkah kita menjentik hati kita bagaimana untuk membersihkan hati?
Pernahkah merasa keupayaan membersih hati itu semakin pudar?
Terasa makin dibersih hati itu, makin susah untuk ia menjadi jernih…
Dan kita semakin kelelahan…
Rasulullah saw bersabda:
“Dalam jasad manusia ada seketul daging,jika baik daging itu,maka baiklah seluruh tubuh,jika buruk daging itu maka buruklah seluruh tubuh. Dan ketahuilah daging itu adalah hati”
(Riawayat Bukhari & Muslim)
Cuba kita koreksi..dalam keadaan kita mahu memperbaiki diri, di manakah letaknya Allah dalam hidup ini?
“Apabila kamu ditimpa bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (daripada ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah. Tetapi apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah(tidak mengingatiNya). Sememangya manusia itu sentiasa kufur (dengan nikmat-nikmat Allah)
(al isra’ 17:67)
Jika kita hanya kembali kepada Allah sewaktu kita susah ini bererti hubungan kita dengan Pencipta kita adalah hubungan yang wujud hanya ketika kita bermasalah sahaja.
Maka adakah apabila hadirnya ombak besar menggunung tinggi persis melebihi ketinggian 2 batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir akan siapa-siapa lagi melainkan Allah swt (dengan sepenuh hati). Saat itu kita akan kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan Allah swt secara automatik tanpa disuruh atau dipaksa.
Lihat kisah Firaun, semasa berkuasa siapa dia? tapi apabila ditenggelamkan di laut merah apa kata hati dia? “sesungguhnya aku beriman kepada Tuhan Harun & Musa”. Tetapi hanya ketika nyawa di halkum. Itu sudah terlambat.
Bagaimana Mendidik Hati Menjadi SUCI?
Kenapa masih sukar membersihkan hati?
Kerana, dalam diri kita, kita masih menyimpan rasa cinta dengan dosa. Ya, rasa cinta dengan dosa. Kemungkinan, daripada 100 dosa yang biasa kita lakukan, kita telah tinggalkan 99. Namun, mungkin ada satu dosa yang kita langsung tidak boleh tinggalkan (kita rasa). Kita ada rasa cinta kepada dosa itu. Maka, ketahuilah kecintaan kepada dosa itu yang menghalang jiwa kita menjadi bersih.
Firaun pernah menjadi bapa angkat kepada Musa as. Dia membesarkan Musa, memberi makanan serta perlindungan ketika Musa as kecil. Itulah jasanya kepada Nabi mulia itu. Tetapi dosanya satu. Rasa untuk menjadi Tuhan melampaui rasa berTuhan.
Abu Talib pernah suatu masa menjadi pelindung kepada Nabi saw dari serangan hebat musyrikin, tetapi segala jasanya itu terhapus dengan satu kedegilan tidak mahu beriman kepada Nabi. Maka as Sa’iir lah tempat tinggalnya.
Kita?
Mungkin kita orang yang selalu puasa, solat malam, bersedekah dan sebagainya. Tetapi kita sering mengumpat. Seolah-olahnya umpat itu perkara biasa bagi kita. Maka,cukuplah dengan satu sifat mazmumah itu menyusahkan kita untuk mendapat hidayah iman dari Nya.
Jadi solusinya ialah, hendak membersihkan jiwa, pertamanya kita perlu rengkuh, lunyaikan segala kemungkaran yang melekat,meraja, serta mempengaruhi keegoan hati kita sejak sekian lamanya. Tolaklah segala ajakan buruk yang yang datang kepada kita kerana Allah. Walaupun jahiliyyah itu adalah jahilyyah yang kita suka.
Dan kecintaan kepada dosa itu bukanlah alasan logik untuk kita terus berbuat dosa. Apakah ketika kita masih cintakan dosa, suka berbuat dosa, dimanakah agaknya cinta kita kepada Allah swt semasa kita melakukan dosa itu? Cinta kepada siapakah yang lebih tinggi ketika itu?
Rasulullah saw bersabda: “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada dalam keimanan yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan”
(sahih muslim)
Cinta kepada dosa,itulah yang menghalang jiwa kita daripada ketukan hidayah untuk menjadi hamba yang sebenarnya. Kerana cinta dosa itu melemaskan kita untuk bernafas dalam jiwa hamba.
Kerana manusia itu makhluk holistik. Dan kerana islam itu agama sempurna. Kesempurnaan itu membutuhkan kesempurnaan taubat. Kerana taubat itu membersihkan hati, agar segalanya bisa kembali kepada fitrah. Dengan sempurna, seperti bayi. Itulah yang Allah mahu kita jadi :)
 "Wahai jiwa yang tenang datanglah kepada Tuhanmu dengan keadaan ridha dan diridhai" (Qs Al Fajr 27-28 )
wallahu'alam.
Perkongsian: Ahmad Syaher Bin Zamri





TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

Apa pernah, kalian mengalami satu keadaan di mana melihat adanya individu di hadapan mata kalian yang dalam kesulitan dan merasa menyesal kerana tidak dapat membantu?
Barangkali kalian pernah membiarkan duit syiling milik seorang makcik tua yang terjatuh di atas lantai, walaupun di dalam hati kalian terdetik untuk menolong untuk mengambilkannya? Lalu kalian merasa serba salah setelah makcik tua itu berlalu pergi.
Terkadang kita menyesal sendirian kerana tidak membantu.
Di sini saya ceritakan satu kisah, pengalaman seorang rakan saya yang terdetik niat untuk membuat satu kebaikan. Namun niatnya langsung tidak menjadi kenyataan atas pilihan sendiri. Malah mengundang rasa serba salah dan penyesalan. Jadi, bagaimana niat murni Nur ini tidak terlaksana? Ayuh, teruskan pembacaan kalian.
Kejadian Di Vending Machine
Begini, rakan saya Nur merupakan seorang pelajar di salah satu institusi pengajian tinggi tempatan yang menuntut dalam jurusan pergigian. Menjadi rutin Nur untuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan kampus.
Dijadikan cerita pada suatu hari, bagi mengurangkan rasa mengantuk semasa mengulangkaji di perpustakaan, Nur bercadang untuk membeli air di vending machine.
Selesai mendapatkan minuman pilihan, Nur duduk di sebuah bangku berhampiran mesin tersebut. Duduk dan menikmati minuman di tangannya, sambil pandangan mata di tebar ke sekeliling. Dirasakan segar sedikit matanya berbanding di dalam perpustakaan tadi. Mengantuk sungguh!
Pada satu sudut di mana terletaknya vending machine tadi, terdapat seorang pelajar lelaki bukan warganegara tempatan yang dilihat sedang berdiri di hadapan mesin air itu. Dimasukkan duit kertasnya ke dalam mesin tersebut. Tidak berjaya. Vending machine itu menolak kembali duit kertas yang dimasukkan. Berulang kali dicubanya. Tetap tidak berjaya.
Nur memerhati gelagat si pelajar lelaki tersebut. Gaya mencari-cari duit syilingnya. Dilihat berkali-kali individu itu mengira duit syilingnya. Sekejap-sekejap mengira syiling, sekejap-sekejap memandang vending machine. Tidak cukup duit syiling lagaknya.
Gayanya mengundang simpati Nur untuk membantu. Ditambah lagi individu itu adalah pelajar warga asing. Agak terpinga-pinga dibanding pelajar warga tempatan jika berada dalam situasi yang sama. Mungkin individu itu tidak berapa mahir dengan penggunaan vending machine di situ. Nur merasakan serba tidak kena dengan situasi tersebut.
Nur serba salah sama ada ingin membantu atau tidak pelajar tersebut.
Dalam hati Nur bermonolog,
“Ishh.. Orang tu macam tak cukup syiling je. Teringin juga nak hulur syiling, tapi dia pelajar lelaki. Rasa segan pula nak menegur.”
Niat Yang Tidak Ditunaikan
Nur memandang individu tersebut dari jauh. Lama. Nur masih berkira-kira ingin membantu ataupun tidak. Namun akhirnya Nur mengambil keputusan untuk tidak menghulurkan bantuan kepada individu tersebut.
Daya ingin menolong dalam diri Nur dirasakan belum cukup kuat. Terasa berat untuk hanya bangun, maju beberapa tapak dan menghulur beberapa keping duit syiling sebagai bantuan.
Lantas Nur berlalu dan kembali ke dalam perpustakaan. Sesampainya Nur di dalam perpustakaan, dia berkata di dalam hati,
“Rasa macam menyesal tak tolong foreign student di vending machine tadi. Bukan senang sebenarnya Tuhan nak bagi aku peluang buat baik. Lagi pula Tuhan yang izin untuk tunjuk pada aku, ada orang dalam kesulitan.
Bukan kebetulan untuk tiba-tiba dapat pandang situasi tersebut. Ya, peluang yang bukan saja-saja Tuhan bagi. Sayangnya aku dah pun lepaskan peluang yang Tuhan berikan dan rasa perasaan serba salah tidak menolong ini tak best. Buat rasa menyesal saja.”
Hari Nur diteruskan dengan penyesalan yang membawa pengajaran. Insiden tersebut telah mengajar Nur sesuatu. Jika diputar kembali masa sekalipun, belum tentu Tuhan akan memberikan momen yang sama dengan peluang yang sama.
Bilamana kita sudah pun terdetik niat untuk membantu pada sesiapa yang dalam kesulitan apatah lagi di depan mata, jangan bertangguh untuk membantu! Seperti kata ulama’ silam terkenal,
“Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya” Sheikh Ibnu ‘Atoillah
Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?
Kini, Nur menceritakan kembali bagaimana beliau tidak lagi melepaskan peluang untuk membantu. Membantu sesiapa saja yang tercapai pada pandangan matanya andai ada yang memerlukan. Bagaimana perasaan seakan ‘lega dan lapang’ yang menakjubkan dirasakan bilamana dapat membantu orang lain.
Apabila dapat melakukan kebaikkan, hati kita akan merasa bahagia sekali.
“Just now I saw a foreign guy, going somewhere and asked other people the direction. I walked behind him and looked at him. He was looking for some place I think. So I asked,
“Mr, where are you going?”
“I’m looking for surau.”
“That is the surau (pointing at the surau).”
Then I smiled. Well God, thank you.
Sekian.
Karya: Addin Dyna
“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan(kebajikan) sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya..” 

(al-Zalzalah : 7)

TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

Pernah tak waktu zaman kanak-kanak dahulu, bila ada sahaja kawan yang mengejek, kita disuruh membalas ejekannya dengan hanya menyebut ‘Alhamdulillah’?
Kemudian, kita dilarang pula membalas kembali ejekan tersebut dengan kata-kata selain ‘Alhamdulillah’ walaupun sebenarnya kita mampu untuk membidas kembali ejekan kawan kita.
Antara bentuk ejekan yang bisa menyakitkan hati kita ialah:
“Bodoh!”
 “Itulah kau, gemuk sangat.”
 “Kesian, kau diciptakan dengan kulit yang hitam.”
Dan pelbagai lagi bentuk ejekan yang menampilkan diri seseorang itu sebagai kanak-kanak yang nakal dan bercakap tanpa memikirkan perasaan kawan. Ustaz saya pernah berpesan:
“Jika diri kita diejek, disakiti dengan kata-kata, adalah lebih baik kita diam dan ucapkan ‘Alhamdulillah’. Jangan bertikam lidah dengan si dia.”
Benar, jiwa kanak-kanak lebih memberontak untuk membalas ejekan tersebut. Bahkan kalau boleh, mahu sahaja bertumbuk dengan kawan yang mengejek kita.
Tetapi rasa malu masih menebal dalam diri, jadi bermulalah episod berperang mulut. Sama-sama mengejek. Akhirnya masing-masing bermasam muka, memulakan perang dingin pula.
Pada waktu itu, saya tidak pernah tahu mengapa perlu membalas ‘Alhamdulillah’. Dek kedangkalan akal, saya pernah berkata:
“Sudahlah dia menyindir aku, kena pula cakap ‘Alhamdulillah’. Seolah-olah syukur bersetuju dengan ayat sindiran dia.”
Saya memahami bahawa ‘Alhamdulillah’ hanya disebut bila mana kita berasa gembira dan untuk menunjukkan rasa kesyukuran.
Rupa-rupanya ianya bukan begitu, kerana makna bagi ‘Alhamdulillah’ itu sendiri ialah segala puji bagi Allah. Bermaksud hanya Allah Ya Hamid yang layak dipuji, bukan kita yakni hambaNya yang tidak sempurna.
Membalas ejekan kawan dengan memuji-muji Allah sebenarnya boleh melunturkan hatinya yang sedang membuak-buak ingin mengejek kita.

Bahkan, ianya boleh membentuk kita menjadi seorang insan yang penyabar dan pemaaf seandainya kita ikhlas menyebut pujian terhadap Allah dan mengingatiNya sewaktu diri kita disakiti.
Allah telah berfirman:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
Surah Al-A’raaf, Ayat 199
Apabila menganjak dewasa, lain pula ceritanya. Tiada lagi ejek-mengejek seperti zaman kanak-kanak dahulu. Ianya telah diganti dengan perbuatan yang seangkatan dengannya seperti mengata, mengutuk, mengadu domba dan pelbagai lagi perbuatan negatif dengan tujuan untuk menjatuhkan kawan.
Tetapi, kita tetap tidak dibenarkan membalas kembali perbuatan kawan itu seperti mengata semula kepadanya atau mencanang keburukannya. Bahkan, kita diminta membalas kembali perbuatannya dengan kebaikan seperti mana Allah telah berfirman:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;
Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Surah Fussilat, Ayat 34

Islam itu indah. Ada hikmah mengapa kita diminta membalas kembali kejahatan yang dilakukan terhadap kita dengan kebaikan. Antaranya ialah:

#1. Allah tidak mahu kita berdendam dengan dia
#2. Allah mahu memupuk sifat sabar dalam diri kita
#3. Allah mahu dia memiliki sifat kebaikan melalui perbuatan baik yang kita tonjolkan
#4. Allah menegur kesilapan kita yang mungkin kita tidak menyedarinya
#5. Allah mahu silaturahim itu terus utuh antara kita dan Dia
#6. Allah juga mahu hambaNya sama saling bermaafan antara mereka
#7. Syurga Allah itu sangat luas untuk dimasuki oleh kita semua

Sesungguhnya, Allah sangat menyayangi orang yang sabar dan pemaaf seperti mana Dia telah berfirman:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Surah Ali ‘Imraan, Ayat 133-134

Penulis: Nur Ismalina Haris :Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis.

TAZKIRAH : DOA

TAZKIRAH : DOA


Suatu hari Baginda s.a.w. memegang tangan Mu'az bin Jabal, seraya berkata:
"Wahai Mu'az, Demi ALLAH, aku mencintaimu", lalu jawab Mu'az: "Demi ayahku dan ibuku, Demi ALLAH, aku juga mencintaimu wahai Rasulullah" Lalu Rasulullah bersabda: "aku wasiatkan kepadamu wahai Mu'az supaya jangan meninggalkan doa ini setiap kali selepas solat :-
اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 

"Wahai ALLAH, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, sentiasa bersyukur kepada-Mu, dan sentiasa memperbaiki ibadahku kepada-Mu." 
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasa'ie, Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban dan al-Hakim & disahihkan oleh al-Albani) 



TAZKIRAH : KEKAL DALAM KASIH SAYANG ALLAH

TAZKIRAH : KEKAL DALAM KASIH SAYANG ALLAH

Kenapa Nabi kita –shallallahu ‘alaihi wa sallam– terus berdoa agar diteguhkan hati dalam ketaatan.
Ingatlah, kita sentiasa memerlukan doa agar dapat istiqamah kerana sifat hati itu boleh saja berbolak-balik. Oleh kerana itu, doa yangsering Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam panjatkan adalah,
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
“Ya muqollibal quluub tsabbit qolbi ‘alaa diinik (Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu).”
Doa ini boleh dirujuk dalam hadits berikut:
Syahr bin Hawsyab berkata bahawa dia bertanya kepada isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, Ummu Salamah,
يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا كَانَ عِنْدَكِ
“Wahai Ummul Mukminin, apa doa yang sering dipanjatkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam jika berada di sisimu?” 
Ummu Salamah menjawab,
كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ « يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ ».
“Yang sering dibaca oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah, ’Ya muqollibal quluub tsabbit qolbii ‘ala diinik (Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)’.”
Ummu Salamah pernah bertanya pada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
“Wahai Rasulullah kenapa engkau lebih sering berdoa dengan doa, Ya muqollibal quluub tsabbit qolbii ‘ala diinik (Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)’. ”
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam seraya menjawab,
يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِىٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ
“Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah. Siapa saja yang Allah kehendaki, maka Allah akan berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa saja yang dikehendaki, Allah pun boleh menyesatkannya.” 
Setelah itu Mu’adz bin Mu’adz (yang meriwayatkan hadits ini) membacakan ayat,
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami.
                                                                (QS. Ali Imran: 8)      

(HR. Tirmidzi, no. 3522; Ahmad, 6: 315. Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan)

Moga Allah memberi kekuatan, taufik dan hidayah untuk kita terus berada di atas jalan ketaatan.






TAZKIRAH : DOA SI PEMBAWA HP

TAZKIRAH : DOA SI PEMBAWA HP


Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami yang memiliki telefon tangan,
Kerana kami :
 a. Lebih banyak MENGISI
     topup daripada
     BERSEDEKAH ...

b. Lebih banyak membaca
     SMS/WA/FB/BB
     daripada
     membaca AL-QUR'AN ...

c. Lebih sering membuka
     BLUETOOTH daripada
     BERLUTUT SUJUD ...

d. Banyak bergayut di telefon tapi…
     jarang berkunjung dan bertegur sapa....

e. Mengisi topup RM30
     tidak puas,
     tapi isi TABUNG MASJID RM10
     dirasa terlalu banyak ...

f. Bila mendengar telefon berbunyi terus di RESPON,
    tapi saat AZAN berkumandang….
    diabaikan saja ..

Ya ALLAH ampunilah kami,
 Semoga telefon mahal  yang kami miliki dapat lebih berguna sebagai jalan IBADAH kepada-MU
Aamiin...