TAZKIRAH : SALAH & MENYALAHKAN

TAZKIRAH : SALAH & MENYALAHKAN


Suatu masa dahulu terdapat seorang lelaki yang merasakan isterinya mempunyai masalah pendengaran. Oleh kerana dia tidak mahu isterinya berkecil hati, dia telah pergi berjumpa dengan doktor secara rahsia untuk mendapatkan nasihat. Doktor telah mencadangkan agar dia melakukan teknik yang termudah dan paling berkesan untuk menguji pendengaran isterinya. Teknik tersebut boleh menguji betapa seriusnya masalah pendengaran isterinya.
"Anda perlu berdiri sejauh 40 kaki daripadanya dan cuba berbual dengannya dengan nada dan kelantangan suara yang biasa. Jika dia tidak dengar, dekatinya pada jarak 30 kaki. Jika dia masih tidak boleh dengar, berdiri 20 kaki daripadanya, dan terus menghampirinya hingga dia boleh dengar apa yang anda cakapkan."
"Mudahnya." Kata lelaki itu dengan gembira.
Petang itu, ketika isterinya sedang memasak, dia mengagak jaraknya daripada isterinya.
40 kaki. "Ya, lebih kurang jauh itu," dia mula bercakap pada isterinya.
"Malam ini kita makan, sayang?"dia bertanya dengan suara yang biasa. Isterinya tidak menjawab.
Perlahan-lahan, dia berjalan lebih hampir. 30 kaki..dia berhati-hati membuat anggaran. Kemudian, dia bertanya semula. "Malam ini kita makan apa, sayang?" Masih tiada jawapan dari isterinya.
"Wah, teruk juga nampaknya,"dia berkata pada dirinya sambil berjalan sehingga dia berada 20 kaki daripada isterinya. Tetapi isterinya masih tidak menjawab.
Dia terus bergerak kearah isterinya, hingga sudah menghampiri isterinya, malah dia betul-betul berdiri di sebelah isterinya, lalu bertanya, " Sayang, kita makan apa malam ni?"
Isterinya berpaling menghadapnya dan berkata,
"Ya Allah, dah berapa kali saya nak jawab, NASI AYAM…saya tengah goreng ayam ni!"

Kisah ini membuatkan kita perlu bertanya pada diri sendiri - sudah berapa kali kita berkelakuan seperti lelaki itu? Berapa kali kita menyalahkan orang lain di atas masalah yang sebenarnya berpunca dari diri kita sendiri? Berapa kali kita lebih cepat menyalahkan orang lain, sedangkan kita yang sepatutnya melihat diri kita sendiri dan mencari kelemahan diri sendiri? Siapakah 'isteri-isteri' yang telah kita persalahkan selama ini? Mengapa kita begitu yakin bahawa bukan kita yang mempunyai 'masalah pendengaran' itu? Mengapa kita begitu yakin ' isteri' kita dan bukan diri kita sendiri yang perlu membuat pemeriksaan telinga?
Pernahkah anda juga menyangka yang 'isteri' anda pekak? Tidakkah anda sedar anda telah menyusahkan mereka kerana selama ini anda menyangka yang mereka pekak, sedangkan sebenarnya mereka telah lama tahu anda sendiri yang pekak? Adakah anda kerap memeriksa ' telinga anda sendiri' sebelum menyalahkan 'isteri' anda?

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang"

(Al Hujuraat:12)

No comments