TAZKIRAH : MUDAH & DIPERMUDAHKAN

TAZKIRAH : MUDAH & DIPERMUDAHKAN

Pada zaman dahulu, seorang raja telah membina sebatang jalan raya untuk kegunaan rakyat dibawah pemerintahnnya. Setelah lebuh raya itu siap dibina, raja itu mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan. Baginda pun menjemput kesemua warganegaranya untuk mengambil bahagian di dalam pertandingan itu dimana para peserta perlu membuktikan siapa dikalangan mereka yang berupaya menggunakan lebuh raya tersebut sebaik-baiknya. Pada hari pertandingan tersebut, berduyun-duyun para peserta tiba – ada yang menaiki kereta kuda dan ada juga yang hanya berbaju sukan!
Sepanjang hari itu, para peserta tiba dari seluruh pelusuk Negara. Dan setiap kali para peserta tiba di garisan penamat, mereka akan mengadu kepada raja tentang longgokkan batu yang berlonggokan di atas lebuh raya tersebut yang menghalang perjalanan para peserta.
Lewat petang itu, peserta terakhir tiba ke garisan penamat seorang diri dan berjalan keletihan bertemu raja. Dia kelihatan penat dan agak comot, tetapi dengan penuh hormatnya dia mengadap Raja sambil berkata, “Dalam perjalanan saya kesini, saya telah berhenti untuk membersihkan selonggok batu yang terdapat ditengah jalan yang menghalang para peserta lain yang sedang lalu disitu. Lantas saya terjumpa uncang emas ini di bawah salah sebuah batu yang besar dalam longgokkan itu. Saya harap tuanku dapat memulangkan uncang ini kepada pemiliknya yang sebenar.
Raja itu menjawab, “Awaklah pemilik sebenar kepada uncang emas itu.”
Peserta itu menjawab, “Oh tidak. Itu bukan milik saya. Saya tidak pernah mempunyai harta sebanyak itu.”
“Oh ya, ia memang milik awak.” Jawab raja. “Awak berhak memiliki emas itu kerana awak telah memenangi pertandingan lebuh raya ini. Sesiapa sahaja yang membuat perjalanan orang lain lebih mudah dan lancar dalam pertandingan ini, dialah pemenangnya.”
Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda:
Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”.

(HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadits Arba’in An Nawawi hadits ke 36).

No comments