TAZKIRAH : BUSUK BETUL!






"Busuk betul di sini" keluh seorang petani ketika berada di luar rumahnya. Anak petani itu melihat sahaja kerenah bapanya.
"Aku hairan, sebegitu banyak pokok bunga yang aku tanam, tapi halaman rumah ini masih busuk juga."
Orang tua itu masuk ke dalam rumah.
"Eh, masih busuk juga. Pelik."
Orang tua itu terus marah-marah. Ke mana sahaja dia pergi terhidu bau busuk.
Tiba-tiba anaknya masuk lalu berkata, "Ayah, cuba ayah lihat cermin.."
Orang tua itu pun pergi ke depan cermin. Dia terkejut kerana didapati pada hidungnya terpalit baja tahi ayam yang digunakan di kebun pagi tadi.
Patutlah ke mana sahaja dia pergi berbau busuk..rupa-rupanya yang busuk bukan orang atau tempat lain tetapi tahi yang terpalit pada hidungnya sendiri!

PENGAJARAN:
Kejahatan atau keburukan yang selalunya kita nampak ada kalanya berpunca dari kita sendiri. Apabila kita asyik nampak akan kejahatan orang lain, boleh jadi itu petanda kita sendiri yang jahat. Tidak hairan kalau orang yang sentiasa berperasangka dan prejudis sering bertemu dengan keburukan dalam hidupnya.
sumber: SOLUSI isu #5

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berperasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berperasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-car kesalahan orang lain”

[Surah Al-Hujurat : 12]


Rahsia zikir Ya Wahhab



1->Menjadi kaya dan terkenal
Bila membaca Ya Wahhab 300 kali setiap hari atau selepas setiap solat fardhu,insya Allah anda akan dikurniakan kekayaan,kemakmuran dan kemasyhuran.
Mengamalkan solat sunat Dhuha dan membaca Ya Wahhab 41 kali di sujud yang terakhir,insya Allah anda akan dirahmati dengan harta yang banyak. Peluang akan datang dengan mudah sekali.

2->Permintaan dimakbulkan
Siapa yang membaca Ya Wahhab 7 kali sebelum meminta sesuatu,insya Allah permintaanNya akan diperkenankan.Jika dibaca 100 kali dengan tangan menadah ke langit,doa anda akan dimakbulkan. Ini lah yang saya amalkan semasa berPM dengan customer. Alhamdulillah close sale dan urusan dengan customer lancar sahaja.

3->Mencari pekerjaan
Siapa yang tidak mempunyai pekerjaan atau sangat miskin,hendaklah dia mengamalkan solat sunat,kemudian sujud dan membaca 70 kali Ya Wahhab. Dia akan mendapat makanan tanpa disangka-sangka(dari kawan,jiran atau seumpamanya).

4->Membayar hutang
Jika anda mempunyai hutang yang banyak tetapi tidak ada wang untuk membayarnya, kerjakanlah sembahyang sunat hajat 2 rakaat selepas tengah malam setiap Khamis selepas Maghrib dan Isyak,kemudian memalingkan wajah ke langit dan membaca Ya Wahhab 111 kali. Kemudian hendaklah dia membaca Al-Fatihah dan ini hendaklah dilakukan 3 malam berturut-turut(tiga Khamis).Insya Allah keperluan anda akan tersedia dan hutang akan dapat dilangsaikan.

5->Menjauhi kelaparan
Baca Ya Wahhab 41 kali di sujud terakhir solat Zuhur,insya Allah anda tidak akan merasa lapar.

6->Dimakbulkan doa
Baca Ya Wahhab 7 kali selepas berdoa pada bila-bila masa,kemusykilan anda akan terjawab dan permintaan anda akan diperkenankan,insya Allah.

7->Membebaskan diri
Jika ditangkap oleh musuh atau pendapatan anda tidak mencukupi,bacalah Ya Wahhab 100 kali selama 3 hingga 7 malam selepas solat sunat nafil 2 rakaat di tengah malam.Insya Allah anda akan berasa bebas atau mendapat rezeki yang banyak.
Untuk permulaan kita boleh praktis amal dalam 100x sehari, esok lusa kita up lagi. Lama-lama inshaaAllah zikir a-wahhab ini akan jadi amalan kita.

PERINGATAN : AL WAHHAB BUKAN SATU-SATU NYA AMALAN MENJEMPUT REZEKI. TAPI ZIKIR YA WAHHAB ANTARA SALAH SATU AMALAN MENJEMPUT REZEKI. DHUHA, TAHAJJUD DAN SEBAGAINYA JUGA SANGAT HEBAT

TAZKIRAH : TIDAK PERLU MENCARI TANDA LAILATU QADAR





Sebenarnya kita tidak perlu mencari tanda malam lailatul qadar. Cukuplah dengan hanya kita istiqamah beribadah sahaja di sepuluh malam hari terakhir bulan Ramadhan, maka kita akan mendapatkan keutamaan malam yang ada.
Tanda malam lailatul qadar nampak hanya setelah malam tersebut berlalu.
Ibnu Hajar Al Asqolani berkata,
“Ada beberapa dalil yang membicarakan tanda-tanda lailatul qadar, namun itu semua tidaklah nampak kecuali setelah malam tersebut berlalu.” (Fathul Bari, 4: 260)
Di antara yang menjadi dalil perkataan beliau di atas adalah hadits dari Ubay bin Ka’ab, ia berkata,
“Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam ke dua puluh tujuh (dari bulan Ramadlan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lihatlah, tanda ini baru muncul di pagi hari, setelah melepasi waktu malam.
Dari Ibnu Abbas, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Lailatul qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan, tidak begitu panas, juga tidak begitu sejuk, pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat Ath Thoyalisi dan Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman)
Tanda ini pun sama dengan sebelumnya barulah muncul setelah lailatul qadar berlalu.
Jika demikian, maka tidak perlu mencari-cari tanda lailatul qadar kerana kebanyakan tanda yang ada muncul setelah malam itu terjadi. Yang mesti dilakukan adalah memperbanyak ibadah di sepuluh hari terakhir Ramadhan, nescaya akan mendapati malam penuh kemuliaan tersebut. (Sahih Fiqh Sunnah, 2: 149-150)
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pun tidak mencari-cari tanda, namun beliau memperbanyak ibadah sahaja di akhir-akhir Ramadhan.
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa ketika memasuki 10 Ramadhan terakhir, beliau bersungguh-sungguh dalam ibadah (dengan meninggalkan isteri-isterinya), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” Muttafaqun ‘alaih. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lebih rajin di akhir Ramadhan lebih dari hari-hari lainnya, sebagaimana disebutkan dalam hadits,
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sangat bersungguh-sungguh pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan melebihi kesungguhan beliau di waktu yang lainnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lalu jangan lupa perbanyak doa ampunan pada Allah di akhir-akhir Ramadhan. 
Dari Aisyah, beliau radhiyallahu ‘anha berkata,
“Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mengetahui suatu malam adalah lailatul qadar. Apa yang mesti aku ucapkan saat itu?” Beliau menjawab, ”Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anni’ (Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku).” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
Semoga bermanfaat. Semoga kita semakin semangat di akhir-akhir Ramadhan.

Sumber: Muhammad Abduh Tuasikal

TAZKIRAH : PENJELASAN JAKIM: SAMBUTAN HARI KEKASIH




Inline image 1


Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,
Inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.
Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.
Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.
“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.
Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.
“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan di luar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.
Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi. Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.
“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.
Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.
Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.
Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.
“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.
“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

sumber :


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS



Sepuluh Wasiat Rasulullah

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ أَوْصَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَشْرِ كَلِمَاتٍ قَالَ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ شَيْئًا وَإِنْ قُتِلْتَ وَحُرِّقْتَ وَلَا تَعُقَّنَّ وَالِدَيْكَ وَإِنْ أَمَرَاكَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ وَلَا تَتْرُكَنَّ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَإِنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَلَا تَشْرَبَنَّ خَمْرًا فَإِنَّهُ رَأْسُ كُلِّ فَاحِشَةٍ وَإِيَّاكَ وَالْمَعْصِيَةَ فَإِنَّ بِالْمَعْصِيَةِ حَلَّ سَخَطُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِيَّاكَ وَالْفِرَارَ مِنْ الزَّحْفِ وَإِنْ هَلَكَ النَّاسُ وَإِذَا أَصَابَ النَّاسَ مُوتَانٌ وَأَنْتَ فِيهِمْ فَاثْبُتْ وَأَنْفِقْ عَلَى عِيَالِكَ مِنْ طَوْلِكَ وَلَا تَرْفَعْ عَنْهُمْ عَصَاكَ أَدَبًا وَأَخِفْهُمْ فِي اللَّهِ

Dari Mu'adz bin Jabal berkata; "Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara.  Jangan menyengutukan Allah dengan sesuatu apapun walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar.  Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu.  Janganlah kamu meninggalkan solah fardu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah S.W.T.  Jangan sekali-kali minun arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T.  Jangan lari dari medan pertempuran walaupun semua rakan kamu telah terbunuh. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah S.W.T." (HR Ahmad No: 21060).  Status: Hassan

Pengajaran:

10 wasiat Rasulullah:

1.  Tidak melakukan syirik walaupun engkau dibunuh

2.  Tidak mendurhakai ibu bapa meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu 

3.  Tidak meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana  dia terlepas daripada tanggungjawab Allah 

4.  Tidak minum arak (sesuatu yang memabukkan) kerana ia punca segala maksiat

5.  Tidak melakukan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah

6.  Tidak lari dari medan perang walaupun semua rakan kamu telah terbunuh

7.  Tidak berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya 

8.  Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan

9.  Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak (dalam mendidik jika mereka melakukan larangan) sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. 

10.  Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah (tanamkan rasa takut kepada Allah dalam diri mereka).

Ayuh pelihara wasiat Rasulullah.


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS



Amalan Soleh Anak 

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Dari 'Aisyah, bahwa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2.  Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

3.  Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibubapanya yang beriman.

Semoga amal soleh yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibubapanya yang telah pergi.


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS



Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibubapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

Dari 'Abdullah bin 'Umar dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota Mekah. Lalu 'Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang dinaikinya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada 'Abdullah bin 'Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab 'Abdullah; "Bapa orang ini adalah sahabat baik 'Umar bin Khaththab. Aku mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya kebajikan yang utama ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturrahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya." (HR Muslim No: 4629) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa perlu berterusan, walaupun selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan silaturahim dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibubapa yang telah meninggal dunia.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.