TAZKIRAH : KEMAHUAN YANG MEMBAJA


TAZKIRAH : KEMAHUAN YANG MEMBAJA 


Seorang mahasiswa yang berasal dari salah sebuah negara Islam belajar di Barat, iaitu di London. Di sana, dia tinggal bersama keluarga Britain yang kafir untuk mendalami bahasa Inggeris. Dia adalah seorang pelajar muslim yang taat kepada agamanya, selalu bangun menjelang fajar untuk pergi ke tempat air dan berwuduk. Air di sana sangat dingin disebabkan pengaruh cuaca. Setelah itu dia pergi ke tempat solatnya, untuk bersujud, ruku', bertasbih dan bertahmid kepada Tuhannya. 
Dalam keluarga itu terdapat seorang perempuan tua yang selalu memperhatikan apa yang dilakukan oleh pelajar muslim ini. Setelah beberapa hari, perempuan tua itu bertanya : "Apa yang engkau lakukan?" Pelajar itu menjawab : "Agamaku memerintahkanku untuk melakukan ini." Perempuan tua itu bertanya lagi : "Mengapa tidak kamu tunda waktunya untuk beberapa saat agar kamu boleh lebih menikmati tidurmu?" Pelajar itu menjawab : "Tetapi Tuhanku tidak akan menerima jika aku menangguhkan waktu solat dari waktu yang telah ditentukan."
     Perempuan tua itu pun menganggukkan kepalanya dan berkata : "Sungguh, ini adalah sebuah kemahuan yang mampu mematahkan sebatang besi."
Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jaul-beli dan berzikir kepada Allah dan mendirikan solat...
(An-Nur : 37)
     Inilah tuntutan iman, bukti kuatnya keyakinan dan pengaruh tauhid. Kekuatan ini pulalah yang telah memberi inspirasi  kepada para penyihir Firaun. Mereka terbuka pintu hati untuk beriman kepada Allah, Tuhan semesta alam ketika mereka terlibat dalm pertarungan antara Nabi Musa A.S dan Fir'aun. Mereka berkata kepada Firaun :
Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang menciptakan kami; maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan...
(Taha : 72)
     Ini adalah sebuah pertentangan yang jarang didengar. Ketika itu mereka berkewajipan untuk menyampaikan risalah dan kalimat yang benar dan kuat (kalimat tauhid) kepada penguasa yang kafir dan diktator itu. 
   Hubaib bin Zaid pernah menemui Musailamah Al-Kazzab untuk mengajaknya kembali kepada tauhid. Namun Musailamah menolak, bahkan mencincang tubuhnya. Walaupun dia diperlakukan seperti itu, sama sekali tidak gentar hinga akhirnya menemui ajalnya sebagai seorang syahid. 
...dan orang yang menjadi saksi di sisi Rabb mereka. Bagi mereka pahala dan cahaya mereka. 
(Al-Hadid : 19)
     Saat Khubaib bin 'adi diangkat ke tali gantung, dia malahan bersenandung :
Aku tidak khuatir jika tewas dalam keadaan muslim
Di mana pun aku berada
kematianku ada dalam kekuasaan Allah.

TAZKIRAH : JANGAN BIARKAN JUMAAT INI BERLALU TANPA DOA

TAZKIRAH : JANGAN BIARKAN JUMAAT INI BERLALU TANPA DOA

Hari Jumaat, adalah hari yang terdapat waktu istimewa doa untuk lebih mustajab. Waktu pertama : ketika imam mula duduk di atas minbar sehingga solat Jumaat. Kedua : Selepas waktu Asar berdasarkan hadis Nabi : 

يَوْمُ الجُمُعة ثِنْتَا عَشْرَةَ سَاعَةً ، لاَ يُوجَد فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ الله شَيْئاً إِلاَّ آتَاهُ إِيَّاهُ ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ العَصْر

Erti : Hari Jumaat ada 12 jam yang mana tiada seorang hamba muslim berdoa padanya kecuali akan diberikan (maqbul), maka CARILAH IA di HUJUNG WAKTU SELEPAS ASAR" 

(hadis riwayat Abu Daud- hadis sohih)




TAZKIRAH : MATA LEBAH VS MATA LALAT



TAZKIRAH : MATA LEBAH VS MATA LALAT

Satu kisah motivasi yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.
Setiap hari dia akan menanti kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara kedua anak kembar mereka.
Yang lebih menyedihkan, setiap kali si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak tersebut.
Masa berlalu pantas, rumah tangga ini punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan kehidupan sendirian.
Bertahun-tahun kemudian orang menemui seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.
“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”
Seorang melihat kemusnahan itu dan menirunya.
Seorang lagi melihat benda yang sama dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh kesakitan itu!!
Seorang lagi melihat kehidupan lampau mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan lampau sebagai pendorong motivasi.
Dua anak membesar daripada susuan ibu yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih menegakkan keadilan.
Bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!”
Kesimpulannya, pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.
oleh: Imam Muda Asyraf

TAZKIRAH : JANGAN BIARKAN JUMAAT INI BERLALU TANPA AL-KAHFI

TAZKIRAH : JANGAN BIARKAN JUMAAT INI BERLALU TANPA AL-KAHFI


Seorang sahabat Nabi s.a.w iaitu Abu Said Al-Khudri melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jumaat." 
(Hadith sahih)

Hadith lain yang menyebut tentang kelebihan membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat adalah seperti berikut:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Baitul 'atiq." 
(Hadith sahih) 

TAZKIRAH : TANDA HAMPIR KIAMAT


TAZKIRAH : TANDA HAMPIR KIAMAT

Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW),beliau berkata," (Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-­orang yang soleh?" Lalu Nabi SAW bersabda "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".

(Riwayat Bukhari Muslim)

Pengajaran
1-    Apabila terlampau banyak kejahatan, azab Allah akan turun tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan terlibat. Walau bagaimanapun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.
2-    Ya'juj dan Ma'juj (kaum yang suka melakukan kerosakan) akan dibebaskan daripada kepungan yang dibuat oleh Zul Qarnain menandakan bahawa hari qiamat sudah semakin dekat.
3-    Bersegeralah kita kembali ke jalan takwa dan sentiasa menambah amal serta menjauhi jalan kekufuran, kemaksiatan dan kefasiqan.

Disediakan oleh:
Ustaz Kamal Eazzat bin Mat Isa

Seksyen Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : SIAPAKAH YANG RUGI & SIAPAKAH PULA YANG UNTUNG


TAZKIRAH : SIAPAKAH YANG RUGI & SIAPAKAH PULA YANG UNTUNG


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyuman nya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun" Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku reda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Shazni Abdullah
Pegawai Hal-Ehwal Islam

TAZKIRAH : HATI TIKUS


TAZKIRAH : HATI TIKUS

Seekor tikus yang bersahabat dengan seorang ahli sihir hidup dalam ketakutan di sebuah rumah besar. Apa tidaknya, dia sentiasa dikejar oleh seekor kucing besar peliharaan tuan rumah. Tidak tahan dengan penderitaannya, si tikus menemui ahli sihir.
“Tolong ubah diriku menjadi seekor kucing yang lebih besar daripada kucing di rumah ini. Aku sudah tidak tahan lagi.”
Ahli sihir itu pun menukar si tikus menjadi seekor kucing seperti yang dipintanya.
Setelah menjadi kucing besar, si tikus terus mengejar kucing yang mengejarnya dahulu. Kucing rumah lari lintang-pukang dibuatnya. Si tikus berjalan penuh bangga. Rumah itu seolah-olah dikuasainya. Tidak lama kemudian si tikus yang berubah menjadi kucing itu pun keluar dari rumah. Dia ingin berjalan-jalan di halaman rumah hinggalah ke tepi jalan raya.
Sebaik tiba di tepi jalan, datang seekor anjing mengejarnya. Si tikus yang menjadi kucing itu terkejut dan kecut. Dia bertempiaran lari menyematkan diri.
“Tolong, tolong aku wahai sahabatku tukang sihir. Ubahkan aku menjadi anjing garang yang lebih besar...”
Tanpa membuang masa, ahli sihir menggunakan kuasa sihirnya menukar si tikus dari seekor kucing menjadi seekor anjing yang besar.
Sebaik menjadi anjing besar, si tikus terus melompat keluar ke halaman rumah dan dikejarnya anjing yang mengejarnya dahulu. Oleh kerana badannya lebih besar, anjing itu pun lari. Sekarang, si tikus yang menjelma menjadi anjing itu semakin bangga. Dia melompat, menyalak dan berlari-larian di tepi jalan hingga ke seberang jalan.
Rupa-rupanya di seberang jalan ada sekumpulan budak nakal. Melihat anjing menyalak dan melompat-lompat, mereka jadi marah. Dengan lastik yang ada di tangan, mereka melastik si anjing itu. Batu-batu yang mengenai badan, kaki dan kepala si tikus itu sangat menyakitkan. Si tikus yang menjadi anjing besar itu lari menyelamatkan diri... kembali menemui si ahli sihir.
“Tolong, tolong... matilah aku kali ini!”
“Mengapa?”
“Aku dilastik budak-budak nakal. Tolong tukarkan aku menjadi...”
“Tak payah,” pintas ahli sihir.
“Kenapa?” tanya tikus kehairanan.
“Aku boleh menukarkan kau menjadi apa jua yang kau minta. Tetapi semua itu tidak ada gunanya, selagi...”
“Selagi apa?”
“Selagi hatimu tetap hati tikus. Hati yang pengecut.”
Pengajaran: Perubahan hanya dapat dilakukan bila hati telah berubah. Misalnya, ramai orang merasakan dirinya boleh menjadi seorang yang pemurah apabila telah kaya. Tetapi setelah kaya, pelbagai alasan diberikan untuk tidak membantu orang lain. Hakikatnya, orang kaya sekalipun kalau hatinya masih bakhil dia tidak akan membantu orang lain. Sifat pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sedikitnya harta, tetapi oleh hati yang pemurah!

Sumber artikel majalah Solusi isu No.3

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Shazni Abdullah
Pegawai Hal-Ehwal Islam