TAZKIRAH : JALAN MEMPEROLEH REZEKI YANG BERKAT

 TAZKIRAH : JALAN MEMPEROLEH REZEKI YANG BERKAT


Agama Islam mengajar umatnya agar menjadi manusia yang sentiasa berusaha mencari rezeki yang dikurniakan dengan daya usaha sendiri dan menegah mereka daripada menjadi umat yang malas bekerja, menganggur serta suka bergantung hidup kepada pemberian dan bantuan orang lain. Perkara ini ditegaskan dalam firman Allah SWT :

 

قُلۡ إِنَّ رَبِّی یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَیَقۡدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یَعۡلَمُونَ ﴿ ٣٦ ﴾

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhamamd): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”

(Surah Saba’: 36)

 

Sesungguhnya dalam soal pencarian rezeki ini, seseorang mukmin perlu meletakkan kesungguhan di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan semata-mata untuk mendapat kesenangan hidup di dunia, akan tetapi hendaklah meletakkan keutamaan untuk memperoleh rezeki yang berkat. Rezeki yang berkat ini ialah rezeki yang halal yang dapat memberi manfaat kepada diri dan orang lain serta mendapat keredaan Allah SWT. Kepentingan mencari rezeki yang berkat ini ialah kerana rezeki yang berkat akan mendatangkan kebaikan dan manfaat di akhirat kelak. Antara cara untuk memperoleh rezeki yang berkat ialah seseorang itu hendaklah memiliki keimanan dan ketaqwaan di dalam dirinya. Hal ini demikian kerana orang-orang yang bertakwa ini, Allah SWT menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki dan akan mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan. Firman Allah SWT :

 

   ﴿٣  وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ﴿٢  وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ  ... 



Maksudnya: “… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah SWT (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan  mengadakan bagiNya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkanNya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkanNya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 2-3)

 

Rezeki yang berkat juga dapat diperolehi dengan menunaikan hak-hak dalam harta yang kita miliki. Sebagai orang yang beriman kita perlu sedar bahawa harta yang kita peroleh bukan semuanya hak milik kita secara mutlak, sebaliknya sebahagiannya adalah merupakan hak orang lain yang perlu kita tunaikan. Kita hendaklah memanfaatkan rezeki yang dimiliki untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan dan kesukaran seperti menunaikan kewajipan berzakat, bersedekah, berwakaf dan sebagainya. Hal ini demikian kerana antara sebab pengurniaan rezeki Allah SWT kepada hambaNya ialah apabila adanya doa orang lain kepada kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


 “Tidaklah kalian ditolong dan diberi rezeki melainkan kerana adanya doa orang-orang yang lemah di antara kalian.

(Hadis Riwayat al-Bukhari: 2896)

Rezeki yang berkat juga dapat diperoleh apabila kita sentiasa menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia. Mereka yang memelihara hubungan silaturrahim ini akan mudah mendapat kerjasama daripada orang lain dan orang sekeliling mereka akan berasa selesa dan gembira apabila berurusan dengannya. Akan tetapi, sebaliknya sekiranya hubungan silaturrahim ini hilang maka akan timbul perasaan hasad dengki, khianat, zalim dan sebagainya yang boleh merosakkan sumber pencarian rezeki seseorang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


“Barang siapa ingin dibentangkan pintu rezeki untuknya dan dipanjangkan umurnya hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”

(Hadis Riwayat Sunan Abu Daud: 1443)

 

Selain itu, untuk memperoleh rezeki yang berkat ini, seseorang itu hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Hal ini demikian kerana dosa itu bukan sahaja membuat hati manusia menjadi hitam dan kotor akan tetapi juga akan menutup pintu rezeki seseorang. Oleh itu, apabila seseorang yang melakukan dosa maka hendaklah dia membanyakkan istighfar dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Selain itu, rezeki yang berkah ini ialah apabila kita dapat membelanjakan rezeki yang dikurniakan secara sederhana tanpa terpengaruh dengan hawa nafsu. Amalan bersederhana ini akan menimbulkan sifat qanaah iaitu berasa cukup dan menerima dengan reda apa-apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sifat qanaah ini sangat penting kerana akan mengelakkan diri seseorang daripada sifat tamak, mementingkan diri, membazir dan sebagainya.

Justeru, ingatlah bahawa rezeki yang kita miliki ini adalah milik Allah SWT dan hanya Allah SWT sahaja yang berhak mengurniakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai kita mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar laranganNya. Marilah sama-sama berusaha mencari rezeki yang berkat di dunia ini kerana rezeki yang diperoleh tanpa keberkatan akan merosakkan diri kita dan akan membawa kebinasaan di akhirat kelak.

 

 

 Rujukan : Jabatan Agama Islam Negeri Johor

No comments