ANDALAH JUTAWAN BUDI

Keluar sahaja dari pintu bank setelah selesai mengeluarkan sejumlah wang daripada mesin ATM, baru terperasan ada sosok tubuh tua yang kelihatan lemah di sudut tepi dinding luar bank.
Dihadapannya ada beberapa bungkus keropok ikan yang beralas surat khabar di atas lantai untuk dijual.
Sesekali dia mengelap peluh di dahi. Barangkali kepanasan disimbah bahang matahari. Ada simpati yang timbul jauh disudut hati.
Dompet dibuka namun tiada duit kecil untuk diberikan kepada wanita tua itu. Yang ada hanyalah beberapa keping not RM50 dan dua keping syiling 20 sen.
Tidak tergamak rasanya menghulur 20 sen. Namun untuk hulurkan RM50 terasa begitu besar nilainya.
Sedang asyik memerhati wanita tua itu dari jauh, seorang jejaka sekitar umur awal 30-an datang menghampiri wanita itu sambil memegang dua gelas air tebu di tangannya.
Segelas air beserta sekeping wang RM5 dihulurkan kepada wanita tua itu dengan senyuman di bibir. Wanita tua itu nampak terharu. Hilang dahaganya yang sejak pagi tadi menunggu keropoknya dibeli orang.
Jejaka tersebut kemudiannya beredar dari situ menuju ke arah pacuan empat roda, Serena hijau miliknya.
Melihat kejadian itu, seorang lagi lelaki muda mengeluarkan beberapa keping RM1 lalu dihulur ke arah wanita itu.
Aku yang melihat dari jauh tersenyum terharu. Kejadian yang mungkin nampak kecil namun membuahkan tekad dan semangat saling membantu bagi orang yang memerhati.
Terdidik dengan sifat pemurahnya, aku tidak lagi melalui situasi itu melainkan dengan menghulurkan walau dengan sekecil nilai sekalipun.
Jejaka itu telah mendapat saham pahala tanpa dia sedar apabila ada yang termotivasi kerana akhlaknya. Mudah-mudahan.
Memberi Bukan Kerana Kaya
Memberi atau dalam bahasa lainnya adalah sedekah, tidak memerlukan syarat anda orang kaya harta untuk melakukannya.
Pasti setiap daripada kita pernah bercita-cita menjadi jutawan yang kaya raya dengan harapan, segala harta itu dapat dimanfaatkan di jalan Allah, membantu orang-orang susah dan bersedekah sana sini.
Ada insan yang dikurniakan Allah dengan kehidupan yang mewah dan kaya raya dengan harta yang menimbun.
Alhamdulillah syukur jika mereka dapat memanfaatkan harta mereka untuk bersedekah dan membelanjakannya di jalan yang diredhai Allah.
Bagaimana pula dengan kita yang mungkin tidak sekaya mereka yang diluar sana?
Hakikatnya kita tidak perlu tunggu sehingga menjadi jutawan untuk memberi kerana untuk bersedekah yang perlu kaya adalah hati dan bukan pula semata-mata kaya harta.
Hati yang kaya akan berasa senang dan tidak kekok untuk memberi dan berkongsi walau hanya dengan menghulurkan wang RM1, atau berkongsi kuih pau kacang mahupun sekadar menghulurkan senyuman ikhlas disertakan doa ke atasnya.
Peluang untuk memperoleh pahala sangat luas. Hanya tinggal kita memilih untuk mengambil peluang tersebut atau mencipta peluang tersebut atau membiarkan peluang itu hanya tinggal peluang tanpa mempedulikannya. Alangkah ruginya.
20 Sen Mampu Membeli Senyuman
Tiada siapa tahu, mungkin dengan 20 sen itu, kita mampu mencukupkan duit mereka untuk membeli sebungkus nasi lemak bagi mengalas perut.
Siapa tahu dengan RM1 itu, ada anak kecil yang dapat menghilangkan dahaganya. Mungkin jua senyuman ikhlas kita, dapat membahagiakan hari mereka. Tiada siapa tahu.
Jangan berkira untuk bersedekah. Memberilah dengan ikhlas. Percayalah setiap kebaikan yang kita lakukan, malaikat Raqib di kanan setia mencatat. Allah pula menjanjikan kebaikan rezeki yang lebih berkat Insya Allah.
Teringat pesan umi yang sangat mementingkan nilai sebuah sedekah. Satu kita bersedekah, 10 kali ganda Allah balas.
Biar kukuh tertanam nilai berbudi sebegitu dalam jiwa agar tidak diisi dengan sifat lokek dan bakhil yang dibenci Allah.
Mungkin kita terbiasa melalui kaki lima atau di tepi bahu jalan, dan melihat ada yang berpeluh mencari rezeki, menjual tisu yang harganya 30 sen sebungkus, menjual kerepek dengan kacang dan apa sahaja.
Sudah pasti pernah berada di situasi sebegitu kan? Apa pula tindakan kita? Hanya berlalu dengan pandangan simpati? Pandangan tersebut tidak langsung mengenyangkan mereka.
Bukanlah memberi pandangan simpati tersebut adalah tindakan yang buruk. Bukan. Tetapi seandainya kita punya kemampuan untuk membantu, maka bantulah.
Sekalipun jika kita tidak mahu kerepek mereka, kita membeli untuk membantu. Bolehlah dijadikan jajan atau diberikan kepada kawan-kawan yang menyukainya.
Kerana kita membeli untuk membantu. Sekurang-kurangnya mereka berusaha mencari rezeki dengan menjual dan bukan mengemis.
Apalah sangat pemberian kita jika ingin dibandingkan dengan kebahagiaan hati mereka yang terasa keperluan hidupnya sedikit ringan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda;
“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat.”
Memberi juga bukan kerana kita kaya, tetapi kerana kita pernah memahami bagaimana perasaan apabila kekurangan.
Tidak hanya tunggu kaya baru boleh bersedekah bahkan bersedekahlah untuk mencorak kekayaan.
Allah memberikan kita akal yang cerdas untuk berfikir. Jua hati untuk menilai. Serta kudrat untuk bertindak. Selamanya, kita sentiasa mampu dan berpeluang untuk membentuk akhlak diri yang lebih baik.
Kalam Hikmah
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan jalan kebajikan, pasti akan kami hapus kesalahan-kesalahannya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” Surah Al-Ankabut: 7

Penulis: Syazana Syamsul

No comments