TAZKIRAH : Oh Ibu...

TAZKIRAH : Oh Ibu...

Pagi yang cerah itu tiba-tiba berubah menjadi mendung dan kelam, tatkala menerima berits ibu dalam keadaan tidak sedarkan diri. 10 minit kemudian, dunia yang mendung menjadi bertambah kelam apabila panggilan telefon yang diterima mengatakan ibu sudah kembali menghadap Illahi. Pemergian mendadak, tanpa pesan itu memang menyakitkan, seolah-olah semua keluarga merasakan seperti ‘kecurian’.
‘Kecurian’ seseorang yang disayang. Tanpa tanda dan tanpa pesan, tepat pukul 8.25 pagi, ibu pergi dengan tenang ke pangkuan Tuhan. Masih tersimpan dan terkumpul dengan baik, surat-suratnya yang dihantar dari kampong dengan kata-kata istimewa, “Jaga diri baik-baik dan jangan lupa solat, jaga kesihatan”.
Ibu di kampung  mungkin agak kekok menggunakan internet, email atau wassup. Tetapi itu bukanlah halangan baginya untuk sentiasa menghubungi anak-anaknya. Setiap kenalan yang mahir atau kemudahan yang mula masuk ke kampung akan diusahakan untuk memastikan hubungan bersama anak-anaknya yang jauh sentiasa berada dekat dan dalam keadaan yang baik dan selamat. Bagi ibu, biarlah dia bersusah-susah sedikit mengeluarkan duit dan keringat demi anak-anaknya yang tercinta.
Masih segar dalam ingatan tatkala mengharungi zaman kanak-kanak dahulu, ibu sentiasa mempunyai waktu yang khusus untuk anak-anaknya, mendoakan,bercerita,bermain malah membantu menyiapkan kerja sekolah juga merupakan tugasan ibu yang tak pernah kenal erti penat lelah. Wajahnya sentiasa mengukir senyuman. Indah, tiada gantinya.
Satu perkara yang tidak dapat dilupakan adalah semasa persatuan Pengakap di sekolah ingin mengadakan persembahan pakaian beragam, anak-anak mula merayu kepada si ibu untuk menyiapkan pakaian mereka untuk dipertontonkan. Ibu hanya tersenyum dan memujuk kata-kata indah sebagai jaminan untuk anaknya tenang. Walau jauh di fikirannya, kemungkinan yang agak sukar, tetapi semangatnya terus membara untuk anaknya. Ibu tidak tidur malam, cuba menyiapkan pakaian anaknya yang akan diperagakan esok di sekolah. Bersengkang mata, berkorban tenaga untuk mengukir senyuman pada wajah anak tercinta….
Setiap kita mempunyai kisah yuang tersendiri. Pengorbanan ibu tiada galang ganti.
Menyediakan tanah perkuburan yang indah dan pelbagai penghormatan yang hebat sewaktu mereka meninggal dunia tidak akan memberi sebarang makna, sekiranya dibandingkan dengan perhatian dan kasih sayang yang kita berikan semasa mereka masih hidup. Kerana apabila si ibu pulang ke pangkuannya, akan timbul penyesalan walaupun kita melakukan yang terbaik untuk mereka,apalagi sekiranya kita tidak pernah melakukan kebaikan terhadap mereka sama sekali. Namun penyesalan selalu datang pada saat akhir dan tidak mungkin dapat kita putarkan waktu bagi menutupi penyesalan itu.
Ayuh selitkan doa buat mereka setiap hari.


No comments