TAZKIRAH : MAKSIAT MENGHALANGI CAHAYA ILMU

Ilmu adalah cahaya penyuluh dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu, ia dapat membimbing manusia ke arah kebaikan serta mengeluarkan diri manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada cahaya dan kebenaran. Baik ilmu yang diperlukan untuk dunia ini sahaja seperti ilmu Sains, Kedoktoran, Astronomi dan sebagainya, mahupun ilmu yang diperlukan untuk dunia dan akhirat kita seperti ilmu-ilmu Fikih, Tauhid dan seumpamanya, kedua-duanya ilmu ini sangat penting untuk kita pelajari.
 Imam al-Syafie pernah menasihatkan kita:
 “Sesiapa yang inginkan dunia, dia mestilah mempunyai ILMU, sesiapa yang inginkan akhirat, dia mesti mempunyai ILMU, sesiapa yang inginkan kedua-duanya, maka hendaklah dia mempunyai ILMU.”
 Namun demikian saudara, bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang kita pelajari, kita perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat yang boleh memadamkan cahaya dan keberkatan  ilmu itu sendiri. Sebaliknya, sebagai seorang penuntut ilmu, kita perlu menghiasi diri dengan sifat-sifat yang terpuji seperti berakhlak mulia, jujur, amanah, menghormati dan memuliakan orang lain, tidak meremeh-remehkan, merendah-rendahkan, atau menyalahkan orang-orang yang berbeza pendapat dengannya dan sebagainya.

Ingatlah, kata-kata Imam al-Syafie dalam syairnya:
 “Aku mengadu kepada guruku Waqi’ mengenai buruknya hafalanku. 
Dia membimbingku supaya meninggalkan segala maksiat. 
Dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya. 
Dan cahaya Allah tidak memberi petunjuk kepada pelaku maksiat.”


sumber: Pejabat Imam Masjid Kampung Siglap






No comments