TAZKIRAH : KAYA SEJATI



Satu pagi, selepas usai solat Subuh berjemaah, saya duduk berbual dengan seorang sahabat lama yang kebetulan singgah di masjid kariah saya untuk solat Zuhur. Dari serambi masjid tempat kami berbual kelihatan kereta lamanya yang diletak di tempat letak kereta berhampiran jalan raya di hadapan masjid. Dia masih dengan kereta lamanya. Kereta jenis Proton wira lama berwarna coklat.

 “Kau layak untuk menikmati hidup yang lebih baik,” kata saya sambil memegang bahunya. Dia adalah salah seorang sahabat yang sangat saya sanjung. Akhlak dan tutur katanya sangat menyentuh hati. Ibadahnya kemas. Sifat ikram dan hormatnya sangat ketara sejak  usia mudanya.
 “Aku sedang menikmati kehidupan ini,” balasnya pendek. Senyum menguntum di bibirnya. Ertinya, dia merasakan hidup yang dijalani sekarang adalah yang terbaik.
“Keretamu tidak bertukar sejak lama. Rumahmu masih begitu-begitu jua. Cara kau berpakaian, jam tangan dan telefon bimbitmu… aduh, mengapa masih yang itu-itu juga?” balas saya terus terang.
“Aku tidak punya wang yang banyak.”
 “Mustahil. Pendapatan hasil perniagaan dan penulisan buku-bukumu aku kira sangat lumayan. Lebih daripada cukup.”
 “Semuanya telah habis kubelanjakan!” katanya terus terang.
 Kata-katanya itu mengingatkan saya kepada luahan rasa oleh anak sulung lelakinya satu ketika dulu.
“Pakcik, duit ayah habis dibelanjakannya untuk sedekah, derma dan lain-lain biaya kerja-kerja kebajikan. Sebenarnya ayah boleh hidup sebagai seorang jutawan, tetapi kerana sikapnya yang terlalu pemurah… menyebabkan cara hidup ayah di bawah kemampuannya yang sebenar,” kata anak sulung sahabat saya itu.
“Bagaimana kamu melihat keadaan ayah?”
 “ Maksud pakcik?”
“Apakah dia tertekan dengan cara hidup yang dipilihnya itu?”
“Oh, tidak. Sekali-kali tidak…malah saya lihat ayah sangat ceria dengan gaya hidup yang dijalani sekarang.”
Saya senyum. Sahabat saya memang mengamalkan apa yang ditulis dan dicakapkannya. Saya teringat kembali apa yang pernah dikatakannya,
“Memberi lebih gembira daripada menerima. Orang yang memberi bantuan akan lebih ceria berbanding orang yang menerima bantuan… tapi dengan syarat pemberian itu dibuat dengan rasa kasih-sayang.”
 Ya, itulah kuncinya. Sahabat saya memang seorang penyayang. Justeru, dengan sifatnya itu dia mampu gembira ketika memberi bantuan dan menghulurkan pertolongan kepada orang lain. 
“Tidak teringin berkereta besar dan tinggal dalam villa yang agam?” tanyaku hanya untuk mendengar penerangan lebih lanjut tentang prinsip dan pegangan hidupnya.
“Terlalu banyak ‘ingin’, akan menyebabkan kita miskin,” jawabnya pendek.
“Tapi ramai yang menganggap miskin itu bila kita tidak memiliki,” balas saya.
 “Tidak… bukan itu yang menyebabkan kita miskin. Kita miskin kerana terlalu banyak keinginan… sudah punya rumah, mahu rumah yang besar. Sudah punya rumah yang besar, hendak rumah yang lebih besar. Sudah punya sebuah rumah yang lebih besar, hendakkan sebuah lagi.  Begitulah, tidak pernah puas. Orang yang tidak pernah puas itulah sebenarnya orang yang miskin.”
 Ya, sungguh. Kata-katanya mengingatkan saya kepada sebuah hadis riwayat Bukhari, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Nabi SAW telah  bersabda, seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka ia masih menginginkan lembah yang kedua semisal itu. Jika diberi lembah kedua, ia pun masih menginginkan lembah ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.”
 Perlahan-lahan saya mengangguk-anggukkan kepala. Wajah tenangnya terus saya tatap. Masih saya ingat lagi satu kuliahnya tentang rezeki. Dalam kuliah itu  dia berkata,
“Amalkan prinsip 3 M ketika berdepan dengan rezeki, insya-Allah rezeki kita akan halal, baik, dan berkat. M yang pertama, mencari. M yang kedua, memiliki. Dan M yang ketiga, memberi. Apabila kita mencari, insya-Allah kita akan memiliki rezeki, kemudian kita memberinya kepada yang berhak – ahli keluarga sendiri, ibu-bapa dan kepada orang lain yang memerlukan.”
“Mungkin kau terlupa dengan satu M lagi… menyimpan. Kau tak menyimpan?” pintas saya.
 “Saya menyimpan juga. Insya-Allah. Tapi dalam bentuk zakat, sedekah dan wakaf. Saya menyimpan untuk hidup selepas mati. Mudah-mudahan simpanan itu diterima Allah,” katanya perlahan.
Saya terkesima. Mungkin kalau saya ini bukan sahabat rapatnya, sikapnya yang suka membantu orang lain itu akan terus dirahsiakan. Dia tidak gemar bercakap tentang dirinya (apalagi tentang kebaikannya) kecuali apabila sangat-sangat diminta… itu pun dengan tujuan memberi galakan dan didikan.
Tentang konsep ‘simpanan’ untuk Hari Akhirat ini, saya sendiri pernah mendengar satu kisah yang berlaku kepada Siti Aisyah r.a. Kisah itu sangat menyentuh. Satu ketika Aisyah r.a. berkata bahawa dahulu sahabat menyembelih kambing, maka Nabi SAW bertanya, “Apa yang masih tersisa dari kambing itu?” Aisyah r.a. berkata, “Tidak tersisa darinya kecuali tulang bahunya.” Nabi SAW bersabda, “Semuanya tersisa, kecuali tulang bahunya.” (Riwayat at-Tirmidzi)
 Maksud Rasulullah SAW ialah apa yang telah disedekahkan itulah yang kekal di sisi Allah SWT, manakala yang belum disedekahkan maka itu tidak kekal di sisi-Nya.
Melihat saya diam, dia berkata, “Kalau orang kaya mengurangkan sedikit sahaja keinginannya, maka akan ramai orang miskin yang akan dapat dibantu. Bayangkan, perbelanjaan makan sekali sahaja orang kaya bersama isterinya ada kalanya sama, bahkan melebihi perbelanjaan yang diperlukan oleh si miskin untuk makan bersama seluruh ahli keluarga dalam tempoh sebulan. Itu belum lagi hobi bertukar-tukar kereta, melancong berpuluh-puluh kali ke luar negara, jam tangan, rantai leher, gelang dan sebagainya… ”
 Saya mengakui hakikat itu. Pernah saya melihat seutas jam tangan yang harganya ratusan ribu. Masya-Allah, dengan wang sebanyak itu, boleh memberi sebuah rumah kos sederhana untuk perlindungan sebuah keluarga. Itu belum lagi yang punya kereta emas, pinggan mangkuk perak, puluhan malah ratusan kereta dan beberapa buah jet peribadi.
“Apa salahnya,” kata orang kaya tersebut, “Itu kan duit aku? Hasil titik peluh aku,” apabila ditanya tentang kemewahan hidup mereka. Ketika saya bertanya kepada sahabat saya tentang hal itu, dia berkata, “Itulah salahnya. Harta kita bukan milik kita. Ia milik Allah. Kita hanya peminjam dan pemegang amanah. Harta yang haram akan diazab, yang halal akan dihisab…”
 “Di Padang Mahsyar nanti setiap yang punya harta akan ditanya bagaimana harta itu dimiliki dan bagaimana harta itu dibelanjakan? Bolehkah nanti di hadapan Allah kita berkata, peduli apa, harta aku, aku punya pasallah,” sambungnya.
 Mendengar penjelasannya, saya senyum. Senyum pahit sebenarnya.
“Apakah salah memiliki harta yang halal?” aju saya untuk mendapat jawapan balas.
 “Tidak salah… tapi hisabnya panjang. “
“Ya cuma itu.. hanya hisabnya panjang, tapi masih tidak salah kan?”
“Jangan  cakap begitu,” tegurnya, lalu berkata, “Hisab yang panjang juga satu penderitaan. Ingat itu semua berlaku di Padang Mahsyar. Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalan raya dunia pun sudah satu penderitaan, apatah lagi di Padang Mahsyar. “
“Bayangkan pula bagaimana jika kita terpaksa mengambil masa yang lama apabila diperiksa oleh kastam apabila pulang dari luar negara kerana membeli terlalu banyak barang-barang. Walaupun halal… tapi letihlah kita bila beg-beg kita digeledah habis-habisan oleh kastam. Walaupun tidak salah, tetapi masa yang diambil tentulah lama. Itu baru di dunia, bagaimanakah pula kalau di Padang Mahsyar? Kesesakan, kepanasan, ahhh.. tak dapat dibayangkan betapa sukar dan seksanya!”
 Bijak dia membuat tamsilan.
 “Mengapa orang kaya boleh terlibat dengan rasuah?” kata saya untuk terus mengorek pendapatnya.
“Kerana mereka miskin…”
“Miskin?”
“Ya, miskin jiwa.”
Miskin jiwa? Mungkin ini lawan kepada kaya jiwa yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah SAW, “Orang kaya itu bukan yg banyak hartanya tapi orang kaya adalah orang yang kaya hati.”
 “Orang kaya sekalipun adalah miskin, jika banyak keinginannya. Orang miskin sekalipun adalah kaya jika sedikit keinginannya,” tambahnya.
“Benar. Macam minum air laut, makin diminum makin haus. Begitulah orang kaya yang miskin jiwa ini…” sampuk saya untuk memeriahkan perbualan.   
“Mereka hanya memiliki rezeki tetapi tidak menikmatinya!”
“Maksud kau?”
 Lalu dia bercerita dengan perasuah yang tertangkap. Kebanyakan mereka telah berusia 50-an. Pada usia itu, kebanyakannya sudah ada penyakit-penyakit tertentu. Mungkin kencing manis, darah tinggi, ulcer, lemah jantung dan lain-lain. Ertinya, makan perlu dikawal. Makanan yang sedap-sedap seperti daging, udang, ketam dan lain-lain mesti dikurangkan. Dengan duit mereka boleh membeli makanan yang lazat, tetapi duit tidak boleh membeli kemampuan menikmati makanan itu!
Dengan duit mereka membeli tanah yang luas, tetapi sebidang pun tidak boleh dinamakan atas nama mereka. Takut dikesan oleh SPRM. Begitu juga dengan wang tunai yang berjuta-juta ringgit itu, terpaksa di sorokan dalam dinding dan disembunyikan di dalam rumah. Tidak boleh disimpan di bank, takut dikesan oleh pihak berwajib.
“Pemakan rasuah ini tertipu oleh dunia yang dicari dan dimiliki. Memiliki tetapi tidak dapat menikmati.  Menyimpan tetapi tidak dapat menggunakan. Rakus mencuri wang orang lain tetapi tidak dapat membelanjakannya. Kalau dibelanjakan pun secara senyap-senyap apalagi bila sudah di luar batas kebiasaan. Punya banyak kereta mewah, tetapi tidak semua dapat digunakan secara bebas.  Tidur dibayangi ketakutan ditangkap. Pergerakan sentiasa terasa diintip… apakah kehidupan semacam ini yang kita dambakan?” katanya panjang lebar.
“Itu bukan kehidupan yang kita cari.”
“Ya. Itu semua mimpi negeri. Di dunia sudah terseksa, di akhirat neraka menanti. Nauzubillah.”
“Aku tidak mahu diperhamba oleh harta. Harta adalah ‘Tuhan’ yang kejam! Mudah-mudahan. Amin. ”
“Insya-Allah,” saya mengiakan.
Saya renung keretanya. Mungkin itu satu-satunya kereta yang dimilikinya. Ya, memang itu bukan kereta yang mahal. Namun, saya teringat kata-kata yang pernah saya tulis,
“Yang paling bernilai bukan kereta, tetapi manusia yang memandunya… dengan syarat di dalam hati pemandu itu mempunyai kekayaan jiwa. Ya, kaya jiwa kaya sejati!” 


Tulisan: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

No comments