TAZKIRAH : DI SEBALIK CIPTAAN ALLAH




Mengapakah lebah dan lalat sering dikaitkan bersama? Bahkan, dua serangga ini turut dijadikan perbandingan serta perumpamaan dalam hidup manusia. Persoalannya, mengapa dikaitkan?
Sudah tentu, ada cerita dan pengajaran daripada kedua makhluk Allah swt itu.
Berikut merupakan beberapa perkara yang terdapat pada lebah dan lalat dari beberapa sudut;

1# Tempat Tinggal
Lebah lebih suka tinggal di tempat yang bersih, tinggi, bukit-bukit, pohon kayu dan menyerap bahan-bahan yang bersih sahaja.
Firman Allah swt,
“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibina oleh manusia’.”  (An-Nahl : 68)
Tetapi lalat lebih suka tinggal di kawasan yang kotor seperti sampah-sarap, dan tempat yang mempunyai bau-bauan busuk seperti longkang busuk.

2# Makanan
Lebah menghisap sari pati bunga atau nektar daripada bunga-bungaan yang cantik, segar dan berwarna-warni. Hal ini seperti disebut dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud;
Dari Abdullah bin Amru bin Ash bahawa ia mendengar Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin seperti lebah. Dia memakan yang baik dan mengeluarkan yang baik, hinggap namun tidak memecah dan merosakkannya.”  (Hadis Riwayat Ahmad)
Lalat pula sentiasa dilihat mengerumuni benda-benda busuk, seperti bangkai binatang, makanan basi, tahi dan lain-lain.

3# Minat
Lebah lebih meminati bunga-bungaan yang berwarna-warni, cantik, baunya harum, wangi, dan tumbuhan hijau yang segar.
Manakala lalat pula lebih menggemari benda-benda kotor seperti buah-buahan yang busuk.

4# Kelebihan
Lebah memiliki kelebihan yang tidak ada pada serangga lain, iaitu menghasilkan madu yang berkhasiat untuk kesihatan dan penawar bagi penyakit yang menyerang tubuh badan manusia.

Firman Allah swt:
“Kemudian makanlah dari tiap-tiap buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu ke luar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” ( An-Nahl : 69)

Begitu juga lalat, ada sumber mengatakan bahawa lalat membawa racun di bahagian sayap kiri dan membawa penawarnya di sayap bahagian kanan. Hal ini seperti hadis Rasulullah saw yang bermaksud,

Dari Abu Hurairah r.anhu beliau berkata, Rasulullah saw bersabda,
“Jika lalat hinggap ke dalam minuman salah seorang di antara kalian, maka hendaklah ia menenggelamkannya, kemudian buanglah (lalat tersebut), kerana sesungguhnya di salah satu sayapnya ada penyakit, dan di sayap lainnya ada ubat.” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

5# Kelemahan
Walaupun lebah membawa faedah kepada manusia, iaitu menghasilkan madu yang dihisap melalui pati bunga-bungaan, serangga kecil ini juga memiliki kelemahannya iaitu menyerang manusia atau sesiapa yang menganggu sarangnya dengan menggunakan ‘senjata tajam’ di punggungnya.
Begitu juga lalat, serangga bertubuh hijau dan bermata bulat ini juga boleh membawa penyakit kepada manusia, antaranya penyakit desentri, diare, demam typhoid dan penyakit cholera.
Demikianlah perbandingan antara kedua serangga ini. Adapun, sama ada lebah atau lalat kedua-duanya memiliki keistimewaan yang tersendiri. Kedua-dua serangga ini adalah antara makhluk Allah yang disebut dalam al-Quran dan hadis.

Kesimpulannya, dalam hidup ini kita hendaklah mengambil sikap seperti lebah iaitu hanya mencari kebaikan atau perkara-perkara yang elok sahaja.
Lebah tidak meninggalkan kotoran atau penyakit tetapi awas, jika kita cuba mengganggunya, dia akan bertindak untuk melindungi dirinya. Begitu juga perumpamaan manusia yang baik, beriman dan bertakwa diibaratkan seperti seekor lebah, tidak memakan makanan yang haram, berusaha menjaga dan melindungi dirinya dan hanya melihat kebaikan sahaja.
 Bukan seperti lalat yang sering mencari benda-benda kotor atau dalam erti kata lain, keburukan, selain menyebarkan pelbagai penyakit.
Begitu juga manusia, usahlah kita menjadi seperti lalat yang hanya melihat keburukan orang lain dan tidak sedar keburukan itu ada pada diri sendiri.
Kemudian, disebarkan pula keburukan tersebut pada orang lain dengan cara mengadu domba, mengumpat dan sebagainya sehingga membawa mudarat kepada orang lain.
Sesungguhnya, segala ciptaan Allah swt itu pasti memiliki hikmah bagi kehidupan manusia.
Oleh itu, bersamalah kita renungkan setiap ciptaan Allah dan teladani perkara bermanfaat dari kehidupan mereka (serangga, binatang dan hidupan lain).

Wallahua’lam.
Penulis: Marina M. Arus

No comments