TAZKIRAH : JAUHILAH MAKSIAT

TAZKIRAH : JAUHILAH MAKSIAT

Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata,

شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي
Aku pernah mengadukan kepada Waqi’ tentang buruknya hafalanku. Lalu beliau menyruhku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahawa  ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.
(Kitab I’anatuth Tholibin, 2: 190)

Padahal Imam Syafi’i sebenarnya orang yang hafalannya sungguh amat luar biasa. Diriwayatkan dari Imam Asy Syafi’i, ia berkata, “Aku telah menghafalkan Al Qur’an ketika berumur 7 tahun. Aku pun telah menghafal kitab Al Muwatho’ ketika berumur 10 tahun. Ketika berusia 15 tahun, aku pun sudah berfatwa.” (Thorh At Tatsrib, 1: 95-96).

Sungguh luar biasa hafalan beliau rahimahullah. Namun kenapa hafalan beliau boleh terganggu? Ketika itu Imam Syafi’i mengadukan pada gurunya Waqi’. Beliau berkata, “Wahai guruku, aku tidak dapat mengulangi hafalanku dengan cepat. Apa sebabnya?” Gurunya, Waqi’ lantas berkata, “Engkau pasti pernah melakukan suatu dosa. Cobalah engkau merenungkan kembali!”

Imam Syafi’i pun merenung, dia merenungkan keadaan dirinya,

“Apa lah dosa yang kira-kira telah aku lakukan?”

Beliau pun teringat bahawa pernah suatu ketika beliau melihat seorang wanita tanpa sengaja yang sedang menaiki kenderaannya, tiba-tibatersingkap pahanya [ada yang mengatakan: yang terlihat adalah buku lalinya]. Lantas beliau memalingkan wajahnya.

Maka keluarlah sya’ir yang diucapkan di atas. Inilah tanda wara’ dari Imam Asy Syafi’i, iaitu berhati-hatinya beliau dari maksiat. Beliau hanya terlihat kaki wanita yang tidak halal baginya, lantas beliau menyebut dirinya bermaksiat. Sehingga ia lupa terhadap apa yang telah ia hafalkan.

Hafalan beliau terganggu kerana ketidak sengajaan. Itu pun sudah mempengaruhi hafalan beliau. Bagaimana lagi kepada kita yang kadang kala selesa melihat aurat wanita dengan sengaja atau sengaja mencari ruang-ruang untuk memandang perkara yang diharamkan oleh Allah.

Sungguh, kita memang benar-benar telah terlena dengan maksiat. Lantas maksiat tersebut menutupi hati kita sehingga kita pun terasa sukar melakukan ketaatan, malas untuk beribadah, juga sulit dalam hafalan Al Qur’an dan hafalan ilmu lainnya.

Allah Ta’ala berfirman,

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
(Surah Al Muthoffifin: 14)

Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata, “Yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah dosa di atas tompokan dosa sehingga dapatmembuat hati itu gelap dan lama kelamaan pun mati.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 14: 268)

Mujahid rahimahullah mengatakan, “Hati itu seperti telapak tangan. Awalnya ia dalam keadaan terbuka dan jika berbuat dosa, maka telapak tangan tersebut akan tergenggam. Jika berbuat dosa, maka jari-jemari perlahan-lahan akan menutup telapak tangan tersebut. Jika ia berbuat dosa lagi, maka jari lainnya akan menutup telapak tangan tadi. Akhirnya seluruh telapak tangan tadi tertutupi oleh jari-jemari.” (Fathul Qodir, Asy Syaukani, Mawqi’ At Tafasir, 7: 442)

Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan, “Jika hati sudah semakin gelap, maka amat sukar untuk mengenal petunjuk kebenaran.” (Ad Daa’ wad Dawaa’,107.)

Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata,

بقدر ما يصغر الذنب عندك يعظم عند الله وبقدر ما يعظم عندك يصغر عند الله
“Jika engkau menganggap dosa itu kecil, maka itu sudah dianggap besar di sisi Allah. Sebaliknya, jika engkau mengganggap dosa itu begitu besar, maka itu akan menjadi ringan di sisi Allah.”

Imam Ahmad berkata bahawa beliau pernah mendengar Bilal bin Sa’id menuturkan,
لا تنظر إلى صغر الخطيئة ولكن انظر إلى عظم من عصيت
“Janganlah engkau melihat pada kecilnya dosa. Akan tetapi lihatlah pada agungnya siapa yang engkau maksiati (iaitu Allah Ta’ala).”

Ya Allah, berilah taufik pada kami untuk mudah melakukan ketaatan dan menjauhi maksiat serta berilah hidayah pada kami untuk selalu rajin bertaubat.

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ
Allahumma inni as-aluka fi’lal khoiroot, wa tarkal munkaroot.
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mudah melakukan berbagai kebajikan dan meninggalkan berbagai kemungkaran.

Semoga bermanfaat.

No comments