TAZKIRAH : HATI-HATI WAHAI HATI


TAZKIRAH : HATI-HATI WAHAI HATI


Lampu koridor di aras flat saya ini sudah mati. Jadi ia gelap. Saya fikir, esok atau lusa, atau tulat, mana-mana saya ada masa dan rajin, akan tukar sendiri lampunya. Sekiranya sempat. Mana tahu AJK blok sudah menukar pada ketika saya masih dalam keadaan berhasrat.

Saya biar dahulu gelap itu kerana saya seorang yang balik malam. Pada setiap aras yang saya naik, terang benderang dan ketika sampai pada aras saya, ia gelap dan memberikan saya satu rasa yang tidak tergambar.

Pelbagai imaginasi yang datang dalam kepala. Itu yang membuatkan saya hidup. Membuatkan saya seronok. Imaginasi bagaimana dalam samar-samar gelap itu, ada susuk bayang-bayang sudah menunggu di hadapan pintu.

Imaginasi, bagaimana sekiranya ketika melangkah dalam samar-samar yang gelap, saya terpijak sesuatu yang lembut-lembut daging. Bagaimana pula, sekiranya ketika saya sedang mencari-cari kunci dalam gelap, saya di sapa oleh satu suara yang tidak tahu siapa.

Namun, yang saya paling suka, adalah, gelap pada koridor itu juga adalah ibarat hati ini. Gelap hati itu menjadikan manusia suka berimaginasi. Suka menyangka sangka yang bukan-bukan. Suka berfikir yang buruk-buruk. Malah sempat lagi berfikir buruk, pada ketika cuba membuka pintu yang menyimpan cahaya.

Bersangka buruk kepada manusia, bersangka buruk kepada Tuhan, bermula dengan hati yang sudah hilang cahayanya. Ayuh bersihkan hati!

Sumber: tazkirah.net

No comments