TAZKIRAH : SEBELUM JUMAAT KALI INI JAUH MENINGGALKAN KITA



Inline image 2
Mari sama-sama tambahkan selawat dalam harian. Moga Allah memberkati seluruh hidup kita.
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ»

Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Sabda Nabi SAW:
(الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ)
Maksudnya: “Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. Sahih]

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.





TAZKIRAH : PESANAN UNTUK SUAMI


Ingatlah khutbah terakhir Rasulullah SAW yang berpesan terus kepada suami. Rasulullah SAW,” sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.”
Rasulullah SAW menyambung lagi, “layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”
Begitulah seriusnya Rasulullah SAW mengingatkan para suami tentang tanggung jawabnya terhadap isteri. Justeru, keluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia sebelum adanya hubungan masyarakat, negara dan ummah. Jika hubungan keluarga sudah berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin orang rumah.
Sebuah rumah-tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai  sebuah kapal yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus mencapai keredaan Allah di akhirat.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin)  yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga. 
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya. Pertama, keperluan fizikal dan material, yakni soal makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selalunya, ini merupakan bukti paling asas bahawa suami itu bertanggungjawab. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.

Kedua, keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu  fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain.  Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).
Ketiga, keperluan emosi. Jangan hanya memberi makan dan minum kepada isteri, tetapi seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Sehubungan itu, untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Selalunya bertanya, bilakah kali terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada isteri? Apabila pulang daripada kerja, apakah suami memilih untuk menjadi pendengar kepada isteri yang ditinggalkan di rumah?
Mungkin, banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri yang berada di rumah, namun suami ada kalanya menjadi ‘tuli’ kerana merasakan masalah-masalah lain jauh lebih besar berbanding apa yang dialami isterinya di rumah. Suami yang baik akan menjadi pendengar yang baik kepada cerita, berita, luahan rasa isterinya. Walaupun mungkin yang diperkatakan itu sudah berkali-kali dan kerap  kali diulang-ulang,  tetapi suami yang setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.
Keempat, keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.
Sedangkan keperluan yang keempat  inilah yang akan membawa keselamatan di dunia dan akhirat. Islam juga sangat mementingkan persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api neraka.”
Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.
Suami mestilah seorang individu yang ‘serba boleh’ . Suami bukanlah seorang individu yang jumud sebaliknya memiliki  kepelbagaian watak selaras dengan kepelbagaian peranannya bagi mengisi empat keperluan yang berbeza itu. Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju ke masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi.
Jangan terkejut jika diberitakan ada kalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan mencedok air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.
Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kuda mu, memanah dan bercanda dengan isteri mu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.
Rasulullah SAW adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah RA yang mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaan itu membentak kedua-dua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”
Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah rumah tangga. Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya yakni kesetiaan dan kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak isterinya.
Hanya setelah kita memberi, barulah kita boleh menerima. Justeru, teladanilah suami seperti Rasulullah, barulah isteri akan meneladani isteri seperti Khadijah dan Aisyah. Ingatlah, sukar bagi seorang suami ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya. Ayat Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah kepada para suami!
 Nukilan: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

TAZKIRAH : BUMI BAKAL MENJADI SAKSI




Bumi akan jadi saksi atas amalan kita. Bumi akan berbicara dan mengkabarkan mengenai amalan setiap manusia di muka bumi, semua itu atas izin Allah.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca ayat,

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

Pada hari itu bumi menceritakan beritanya.” (Surah Al Zalzalah : 4)

Rasul lalu bertanya, “Apakah kalian tahu apa yang diceritakan oleh bumi?”

Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ أَخْبَارَهَا أَنْ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ أَمَةٍ بِمَا عَمِلَ عَلَى ظَهْرِهَا أَنْ تَقُولَ عَمِلَ كَذَا وَكَذَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا قَالَ فَهَذِهِ أَخْبَارُهَا

Sesungguhnya yang diberitakan oleh bumi adalah bumi jadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, baik laki-laki mahupun perempuan yang telah mereka perbuat di muka bumi. Bumi itu akan berkata, “Manusia telah berbuat begini dan begitu, pada hari ini dan hari itu.” Inilah yang diberitakan oleh bumi. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Faedah dari hadis:

  • Al Qur’an sangat bagus jika ditafsirkan oleh hadits Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  • Hendaklah manusia memperbanyak melakukan amalan ketaatan dan benar-benar menjauhi perbuatan maksiat kerana bumi akan menjadi saksi untuk berbicara pada hari kiamat, mengungkap segala yang diperbuat oleh manusia.
  • Allah mampu membuat makluk berbicara, bahkan tanah atau bumi yang kita pijak boleh berbicara. Bumi akan bersaksi terhadap amalan kebaikan dan keburukan yang kita perbuat.
  • Yang menjadi saksi bagi manusia pada hari kiamat adalah kitab catatan amalnya, pendengarannya, penglihatannya, kulit dan tangannya serta bumi yang dipijak. Sehingga setiap manusia tak mungkin mengelak dengan kesaksian yang ada.
Moga Allah menguatkan semangat kita untuk terus beribadah dengan lebih baik.

TAZKIRAH : BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH




وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ، قَالَ : (( يَقُوْلُ اللهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي ، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي ، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ، ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي ، وَإِنْ ذَكَرنِي فِي مَلَأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ )) مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingat-Ku. Jika ia mengingat-Ku saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diri-Ku. Jika ia mengingat-Ku di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (kumpulan malaikat).” (Muttafaqun ‘alaih) [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]  

Sesuai Persangkaan Hamba kepada Allah
Mengenai makna hadis di atas, Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata, “Sebahagian ulama mengatakan bahawa maknanya adalah Allah akan memberi ampunan jika hamba meminta ampunan. Allah akan menerima taubat jika hamba bertaubat. Allah akan mengabulkan doa jika hamba meminta. Allah akan beri kecukupan jika hamba meminta kecukupan. Ulama lainnya berkata maknanya adalah berharap pada Allah (raja’) dan meminta ampunannya” (Syarh Shahih Muslim, 17:3).
Husnuzhan kepada Allah, itulah yang diajarkan pada kita dalam doa. Ketika kita berdoa pada Allah kita harus yakin bahawa doa kita akan dikabulkan dengan tetap melakukan sebab terkabulnya doa dan menjauhi berbagai pantangan yang menghalangi terkabulnya doa. Kerana ingatlah bahawasanya doa itu begitu kuat jika seseorang berhusnuzhan kepada Allah. Jika seseorang berdoa dalam  keadaan yakin doanya akan terkabul, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اُدْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)





TAZKIRAH : AKHLAK YANG MULIA & TUTUR KATA YANG BAIK MEMBERATKAN TIMBANGAN



Terdapat satu amalan yang berpahala besar dan berat dalam timbangan. Apakah itu? Iaitu akhlak mulia dan berkata yang baik.
Dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَا مِنْ شَىْءٍ يُوضَعُ فِى الْمِيزَانِ أَثْقَلُ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ وَإِنَّ صَاحِبَ حُسْنِ الْخُلُقِ لَيَبْلُغُ بِهِ دَرَجَةَ صَاحِبِ الصَّوْمِ وَالصَّلاَةِ
Tidak ada sesuatu amalan yang jika diletakkan dalam timbangan lebih berat dari akhlak yang mulia. Sesungguhnya orang yang berakhlak mulia dapat menggapai darjat orang yang rajin puasa dan rajin solat.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Dalam riwayat Tirmidzi yang lain, disebutkan pula hadis dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَا مِنْ شَيْءٍ أَثْقَلُ فِي مِيْزَانِ المُؤْمِنِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الخُلُقِ، وَإِنَّ اللهَ يُبْغِضُ الفَاحِشُ البَذِي
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat selain akhlaknya yang baik. Allah sangat membenci orang yang kata-katanya kasar dan kotor.”

Faedah dari hadis:
1- Contoh husnul khuluq atau berakhlak yang baik sebagaimana dikatakan oleh ‘Abdullah bin Al-Mubarak adalah seperti:
  • senyum manis
  • melakukan yang makruf (kebajikan)
    2- Yang dimaksudkan dengan hadis di atas adalah yang berat pahalanya dalam mizan (timbangan).
    3- Allah mencintai dan meredhai orang yang berakhlak mulia.
    4- Al-fahisy yang dimaksud dalam hadis adalah orang yang mengeluarkan perkataan yang tidak enak didengar. Al-badzi adalah orang yang berkata kotor. Jadi, orang yang dapat menjaga perkataannya adalah orang yang akan berat timbangannya.
Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk istiqamah berakhlak mulia dan berkata perkara yang baik.

TAZKIRAH : AZAM TAHUN BARU



Awal tahun baru 2108 sudah berlalu beberapa hari. Nak masuk Februari dah kan. Masih seperti dahulu, umat Islam melewati masa pergantian tahun Masihi itu dengan pelbagai cara. Ada yang melaluinya dengan jambatan ketaatan di malam hari, namun tak sedikit pula yang tenggelam dalam keburukan dan kemaksiatan.
Uniknya, walaupun berbeza cara, tetapi semua manusia mempunyai harapan yang sama. Sejak awal, mereka berharap semoga tahun 2018 ini menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Bagi orang beriman, membuat amalan yang terbaik dan berubah menjadi lebih baik adalah sebuah harapan keimanan yang tersemat di dada. Sebab iman yang mantap akan menggerakkan seorang Muslim untuk tidak pernah jemu dan berhenti dalam misi mencari ilmu dan beramal dalam kehidupan.
Allah berfirman, “Maka berlumba-lumbalah dalam berbuat kebaikan”
(QS. Al-baqarah [2]: 148)

Nabi Muhammad (SAW) pernah mengajarkan sebuah doa yang baik untuk diamalkan dan merangkumi keseluruhan hajat. Ini kerana doa ini tidak hanya meminta kebaikan hidup di dunia, tapi juga memohon keselamatan hidup di Akhirat kelak. Sebaiknya doa ini boleh dimunajatkan setiap waktu sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah.
Dari sahabat Abu Hurairah Radhiyallahuanhu, Nabi bersabda:
 “Ya Allah, perbaikilah urusan agamaku yang meurupakan penjaga keselamatan urusanku, perbakilah untukku urusan duniaku yang di dalamnya terdapat mata pencarianku, dan perbaikilah untukku urusan akhiratku yang akan menjadi tempat kembalilku. Jadikanlah hidup ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, dan jadikanlah kematian sebagai pemutus dari setiap keburukan.”
(Hadis Riwayat Muslim).

Pertama:  Doa agar agamanya diperbaiki
Sebagai asas kehidupan, urusan agama hendaklah menjadi fokus dan keutamaan dalam setiap urusan. Termasuk ketika memohon kebaikan kepada Allah. Lalai terhadap kewajipan agama adalah tanda kerosakan seluruh kehidupan manusia, dunia dan akhirat. Oleh itu dalam melayari kehidupan baru dalam suasana tahunbaru ini, antara azam yang boleh disematkan adalah supaya diperbaiki segala urusan agama dalam kehidupan harian.

Kedua: Doa agar dunianya diperbaiki
Sebagai agama yang sempurna, Islam tak hanya membicarakan hal berkaitan akhirat sahaja dan melupakan urusan dunia. Untuk itu, Nabi tetap menuntun umatnya agar tetap memperhatikan kehidupan dunia. Mulai dari urusan rezeki yang halal, isteri solehah, anak-anak yang boleh menjadi qurratu a’yun, hingga tempat tinggal dan kenderaan. Semua itu disebut sebagai kecenderungan manusia yang fitrah.
Bezanya, orang beriman menjadikan hal tersebut sebagai ladang amal untuk memperoleh pahala melipat dan balasan yang lebih baik di hari Akhirat kelak. Mereka menikmati dunia tetapi tidak sampai melenakan dan melalaikan diri dari hal keagamaan. Sebaliknya, orang-orang kafir menjadikan kesenangan dunia sebagai tujuan akhir dari kehidupan mereka.

Ketiga: Doa agar akhiratnya diperbaiki
Hidayah dan rahmat Allah adalah kunci utama kehidupan manusia. Dengan keduanya, manusia dapat membuka kebaikan apa saja sekaligus terhindar dari keburukan yang ada. Termasuk dalam munajat tersebut adalah istiqamah dalam ketaatan, husnul khatimah dalam kematian, dan mendapatkan rahmat serta ampunan agar bebas dari ancaman seksa api neraka.

Keempat: Doa agar bertambah kebaikan dalam kehidupan
Panjang umur menjadi salah satu impian kebanyakan manusia. Dalam Islam, selain dipanjangkan usia, hal yang lebih utama untuk diminta sebenarnya adalah keberkahan usia. Suatu ketika Nabi ditanya, siapa orang yang paling baik? Nabi menjawab:
 “Siapa yang panjang umurnya dan bagus amalnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kelima: Doa agar terhindar dari keburukan dengan kematian
Kematian adalah pemutus segalanya dalam kehidupan manusia di dunia. Bagi orang beruntung maka yang terputus itu adalah keburukan dan segala fitnah serta gundah gulana kehidupan dunia. Sedang kebaikannya tetap mengalir mengiringi perjalanannya menuju Rabb, Sang Pencipta. Nabi bersabda:
 “Seorang hamba yang mukmin beristirehat dari keletihan dunia dan kesusahannya, kembali kepada rahmat Allah. Sedangkan hamba yang jahat, para hamba, negeri, pohon dan binatang beristirehat (merasa aman dan tenang) darinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Moga Allah membantu kita menjadi lebih baik dalam semua urusan dunia dan akhirat pada tahun baru ini. InsyaAllah.

TAZKIRAH : KHOSYAH...???




Apakah itu khosyah??
Khosyah itu rasa takut pada Allah. Rasa takut ini sangat penting kita miliki.
Pagi ini, cuba kita buka mushaf lalu renungkan ayat,
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama” (Surah Fathir: 28).
Sudah renungkan?
Saudaraku … rasa takut pada-Nya inilah yang membuat kita mudah menjauhi maksiat. Ada yang sering mengaji, banyak ilmu, rajin ke majlis ilmu, namun maksiat tetap diteruskan. Ada tidak? Ya jelas, ada.
Kenapa boleh jadi demikian?
Khosyah itu yang kurang lita miliki…. 
Jangan-jangan kita cuma faham hukum Islam (banyak mengaji atau menuntut ilmu), namun kerana tidak punya KHOSYAH (rasa takut pada-Nya), akhirnya maksiat tak pernah henti dan tidak mahu bertaubat.
Moga Allah memberikan kita rasa takut pada-Nya. Semakin takut, semakin kita menghampiri-Nya.