TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

TAZKIRAH : JADILAH RAJA...BARU BAHAGIA

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!
 “Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…
 Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!
 Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.
“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.
“Mengapa?” tanya saya simpati.
“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”
“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”
Dia merenung jauh.
“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”
“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”
“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.
“Aku sedih, itu sahaja…”
“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”
Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.
“Apa maksud kau?”
Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:  Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.
“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.
“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”
“Kerana serban besar yang tuan pakai.”
Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.
“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”
Mat ketawa mendengar cerita saya.
“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”
“Betul ke?”
“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”
“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”
“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”
Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.  “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku  bukan diri ku!”
Sekali lagi Mat ketawa.
“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”
Kemudian, giliran  Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.
“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”
“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”
“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”
“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”
“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”
Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”
“Saya raja,” jawab petani.
“Raja?”
“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

TAZKIRAH : KERJA YANG HALAL BELUM MEMASTIKAN GAJI YANG BERKAT



"Gaji aku banyak tetapi tidak pernah cukup, makin banyak gaji makin tak cukup jadinya, mengapa ya? Adakah konsep "live below your mean" harus aku lakukan atau ada sebab lain disebaliknya? Tambahan pula dengan harga minyak yang naik sekarang ini adakah aku harus lebih berjimat cermat.
Pernah terdengar orang yang gajinya kecil tetapi mampu menyara keluarga yang ramai, rata rata memberi komen, kerjanya halal dan rezekinya berkat, bagaimana pula dengan diriku? Aku bukan melakukan kerja yang haram, macamana tidak berkat pula?"
Adakah persoalan ini sering melanda fikiran kita, tertanya-tanya mengapa, jawapannya memang mudah cuma diri kita tidak sedar akan hukum alam mengenai duit itu sendiri.
Sebenarnya kertas yang dipanggil duit, wang atau fulus yang tersimpan didalam dompet atau poket kita itu sebenarnya bukanlah duit, ia hanya mewakili duit. Saya yakin ramai yang tahu tetapi kelalaian kita membuatkan kita terlupa. Konsepnya sama dengan dosa dan pahala tetapi dosa dan pahala tidak dapat kita lihat kerana ianya perjanjian/perhitungan antara kita dengan Allah, tetapi duit pula dapat dilihat kerana ianya perjanjian kita sesama manusia, itupun setelah ia di"fizikal"kan oleh manusia sendiri.
Jadi berbalik kembali kepada gaji kita yang kita terima setiap bulan, adakah ianya benar-benar hak kita? Katalah kita bersetuju/berakad/kontrak dengan majikan untuk bekerja selama 10 jam sehari dengan gaji RM1000 sebulan (contoh untuk memudahkan pengiraan). Jika masa bekerja kita banyak gunakan untuk lepak lama di kafeteria, baca media sosial, berbual kosong dengan rakan-rakan, buat part time direct selling, beratur menunggu untuk punch card balik walaupun jam masih awal dan macam-macam lagi sedangkan majikan tidak membenarkan perkara begitu dan ada fail-fail kerja lagi yang bertangguh diatas meja, di manakah keberkatan dalam pekerjaan kita?
Duit sebenarnya ber"nyawa", duit tahu yang kita bukan tuannya dan suasana dunia akan merubah untuk menegakkan keadilan, kerana Allah itu maha Adil. Gaji kita yang dirasakan seolah-olah hilang tanpa dikesan dari kita itu bukan kerana Allah tidak sayangkan kita, tetapi kerana Allah maha Adil memulangkan kepada hak sebenar tuan punya duit tersebut.
Bagaimana caranya? Apa sahaja kejadian yang menyebabkan kita terpaksa keluarkan duit tanpa kerelaan kita, itu lah sebenarnya cara duit akan lari pada kita, sakit, anak isteri sakit, kemalangan, kereta rosak, kena saman, dirompak, diragut, sangkut dalam traffic jam, dan macam-macam lagi, semua itu adalah cara duit itu akan kembali pada tuannya. Contohnya, bila kereta kita rosak, mekanik kereta tersenyum duit masuk, mekanik bayar cukai jadi duit itu kembali kepada tuan asalnya jika kita bekerja dengan kerajaan bagi contoh diatas.
Contoh yang saya berikan di atas untuk diri kita yang berkerja, bagaimana pula mereka yang mengambil rasuah, makan harta anak yatim, menipu, mencuri? Perhatikanlah hidup mereka adakah aman dan tenteram? Mungkin fizikalnya sahaja Nampak semakin mewah dan baik, hkikatnya perasaan dalaman penuh kegelisahan tanpa ketenangan. Anak-anak kita, adakah mereka boleh menjadi soleh dan solehah jika makanan yang kita suap adalah bukan hak kita? Allah melarang kita makan harta anak yatim, rasuah, riba dan sebagainya itu adalah untuk melindungi kita sendiri sebenarnya, Allah mahu kita hidup aman dan damai tetapi sikap kita sendiri yang mengundang musibah.
Semuanya berpunca dari diri kita, jika kita sedar akan konsep ini, kita akan lebih berhati-hati dalam tindak tanduk perbuatan kita kerana kita tahu semuanya akan berbalik pada diri sendiri. Jadi janganlah nak marah jika musibah berlaku kerana semuanya salah diri sendiri. Sebelum salahkan takdir, fikirkan dahulu adakah kita yang mengundangnya?
Coretan penulis ini hanyalah untuk kita berfikir dan muhasabah sedalamnya untuk memahami kebenaranya.
Wallahualam.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
(Al-A’raaf ayat 96)

TAZKIRAH : MENCARI KEBERKATAN DALAM KERJA



“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”
(Al-A’raaf ayat 96)
Pekerjaan bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tapi punya perkaitan dengan tujuan hidup iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah yang memberi kebaikkan kepada orang lain. Sesungguhnya kerja itu seharusnya bermula dari hati dan penuh hati-hati.
Pertemuan bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu memberi kesempatan pendengar program Islam Itu Indah untuk memahami dan menguasai makna sebenar di balik perkataan berkat terutama menerusi pekerjaan yang mejoriti individu dewasa akan memperuntukan 1/3 daripada hari dengan aktiviti tersebut. Keberkatan inilah yang menjadi asas dalam menghidupkan kehidupan dengan kata kunci iman dan taqwa.
Menyorot kaedah mengapai keberkatan iaitu iman dan taqwa, para ulama menarifkan iman sebagai sesuatu yang diikrarkan dengan lisan, diakui dengan hati kebenarannya dan dibuktikan dengan perbuatan. Manakala taqwa pula berasal dari makna perkataan berhati-hati dan berjaga-jaga dalam hidup agar sentiasa diatur dan disusun mengikut peraturan daripada Allah SWT. Jelas kedua-dua iman dan taqwa ini datangnya dari hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Taqwa itu letaknya di sini,” sambil meletakkan tangan di dada menggambarkan lokasi hati itu berada.
Panduan untuk melunaskan pekerjaan dengan iman dan taqwa dalam meraih keberkatan perlu dimulakan dengan niat yang lazimnya ditunjangi oleh tiga niat utama seseorang iaitu sebagai sumber rezeki, bagi membiayai keluarga dan untuk memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Niat itu cukup baik, tetapi persoalannya; dimanakah Allah dalam ketiga-tiga niat tersebut?
Bekerja bukan sekadar mencari rezeki semata tetapi untuk mencari rezeki yang halal yang sangat-sangat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu”. (Surah al-Baqarah ayat 172) dan Rasulullah menegaskan juga di dalam sabdanya, “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami). Sesungguhnya, mencari rezeki yang halal miliki talian hayat yang terkait dengan Allah.
Apabila kerja diniatkan utuk menyara dan membiayai keluarga bagi seorang lelaki dan suami hakikatnya ia adalah kewajipan. Wajib itu takrifan dalam syariat adalah sesuatu yang dibuat dapat pahala dan berdosa meninggalkannnya di sisi Allah SWT. Begitu juga pada niat kerja kerana ingin memberi kebaikan dan perkhidmatan kepada masyarakat dan Negara. Luaskan kefahamannya dengan mengambil sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain”. Melakukan tugasan dengan sesuatu yang didorong oleh Rasulullah SAW dan seperti yang termaktub di dalam al-quran bahawa setiap tutur Rasulullah adalah dorongan daripada Allah SWT menerusi firmanNya, “Rasulullah tidak berkata melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm ayat 3 dan 4).
Dari sudut taqwa pula, penting bagi pekerja menghindar daripada perkara-perkara yang haram seperti curi masa, curi tulang, umpat-mengumpat, tikam belakang, memfitnah, menindas, rasuah dan banyak lagi. Bagi yang bekerja atas batas taqwa, perkara-perkara seumpama itu akan dihindar dan perkara-perkara wajib yang digalakkan oleh syariat akan dilakukan dengan penuh kesungguhan, efektif,efisyen dan penuh etika sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan dilakukannya dengan penuh kesungguhan (itqan)”. (Riwayat al-Baihaqi).
Berkat atau barakah dari segi bahasa bermaksud bertambah dan berkembang. Imam An-Nawawi menggariskan barakah sebagai suatu kebaikan yang melimpah-ruah secara berterusan. Tatkala bekerja dengan iman yang mempengaruhi niat dan taqwa yang terjelma dalam perlaksanaan kerja akan menghasilkan barakah. Kebaikan barakah ini akan terpancar kepada tempat, orang, benda, masa dan amalan. Sebagai contoh Allah berfirman mafhumNya, “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. “ (Surah al-Isra’ ayat 1). Ini merujuk kepada keberkatan pada tempat. Selain itu, menerusi surah Maryam merujuk keberkatan seorang nabi iaitu nabi Isa yang akan menjadi “berita gembira” buat umat Muhammad SAW membuktikan berkat yang terletak pada seseorang. Pada benda pula Allah menegaskan bahawa pada al-quran itu ada keberkatan. Benda di sini merujuk kepada al-quran. Satu pertiga malam juga adalah berkat yang merujuk kepada masa sepertimana keberkatan berdoa di antara dua khutbah. Berkat juga Allah letak pada amalan seperti amalan bersahur dan duduk di dalam majlis ilmu.
Hikmah Allah meletakkan barakah itu pada makhluk sebagai pemangkin untuk manusia berfikir bahawa bukan makhluk yang memberi berkat tetapi Allah meletakkan kebaikan pada makhluk itu untuk disebar dan dikembangkan kebaikannya kepada yang lain. Asbab kelebihan-kelebihan berkat yang ada pada makhluk-makhluk seperti masa, tempat, benda dan sebagainya itu akan menghampirkan manusia kepada Allah yang memberi berkat.
Berkat itu tidak ketara dek mata, tapi dapat dirasa. Tidak diukur pada kuantiti harta tapi letak pada kualiti jiwa. Dengan barakah akan peroleh ketenangan di samping kesenangan. Menerusi berkat, sedikit mencukupi banyaknya bisa dibahagi dan diberi. Melalui keberkatan kerja akan raih kepuasan tugasan lebih daripada itu kemanisan beribadah. Semakin tinggi prestasi kerja semakin rendah hatinya. Teruskan kerja dengan mencari berkatnya yang merata.


TAZKIRAH : BERGANTUNGLAH DENGAN ALLAH


Satu hari Abu Nawas dipanggil Sultan, dan berkongsi mimpi baginda.
"Malam semalam beta bermimpi bertemu dengan seorang lelaki tua. Dalam mimpi itu dia berkata bahawa negeri ini akan ditimpa bencana jika ada orang bernama "Abu Nawas". Jadi Abu Nawas harus diusir  dan hanya boleh kembali dengan syarat tidak boleh berjalan kaki, berlari, merangkak, melompat atau menunggang haiwan sebagai kenderaan."
Dengan hati yang sedih, Abu Nawas keluar dari negara tersebut. Biarpun hari berlalu, Abu Nawas sangat yakin bahawa Tuhan akan beri jalan keluar pada kesulitan yang dialami.
"Bukankah tiada seorang teman pun yang lebih baik dari Allah dalam setiap kesulitan?" Kata beliau beri semangat pada diri.
Perasaan rindu dan kuat untuk pulang ditambah keyakinan tinggi pada bantuan Allah, akhirnya Abu Nawas bertemu jawapan. Bagi mengelak dihukum kerana balik dengan cara yang disebut Sultan, akhirnya Abu Nawas memilih jalan pulang dengan bergayut pada badan keldai.
Kisah Abu Nawas barangkali sering dikaitkan sebagai figura pujangga dan penyair Arab yang menghiburkan tetapi boleh memberi pengajaran. Setiap kisahnya yang terkongsi dalam Alfu Lailatin wa Lailah punya kisah tersendiri yang sentiasa meletakkan keyakinan tinggi dan penyerahan diri kepada Allah swt.
Yang pasti, tidak perlu menunggu untuk menjadi seperti Abu Nawas bagi mendapat jalan penyelesaian masalah. Kerana bagi sesiapa yang meletakkan pengharapan dan pergantungan diri secara total kepada Allah, akan pasti ada jalan keluar.

Sumber: Himpunan Cerita Abu Nawas terbitan Hijjaz Records Publishing

“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi ( segala perintah Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”


(Al-Baqarah : 186)

TAZKIRAH : ISTIQAMAH


Jika seseorang tidak mampu menghadiri solat jemaah padahal sebelumnya ia mampu hadir secara rutin, ingatlah keadaan seperti ini akan dicatat seperti ia melakukannya saat sihat dan kuat, iaitu sesuai dengan kebiasaannya ketika itu.
Dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 “Jika seorang hamba sakit atau melakukan safar (perjalanan jauh), maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia ketika mukim dan ketika sihat.”
(Riwayat Bukhari)
Hadis di atas menceritakan saat Yazid bin Abi Kabsyah puasa ketika safar (saat perjalanan jauh), Abu Burdah lantas mengatakan padanya bahawa dia baru saja mendengar Abu Musa menyebutkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam seperti yang disebutkan di atas.
Imam Bukhari membawakan hadits di atas dalam bab: “Dicatat bagi musafir pahala seperti kebiasaan amalnya saat mukim.”
Dari hadits itu, Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan,
“Hadis di atas berlaku untuk orang yang ingin melakukan ketaatan lantas terhalang dari melakukannya. Padahal dia sudah mempunyai niat kalau tidak ada yang menghalangi, amalan tersebut akan dijaga rutinnya.” (Kitab Fath Al-Bari, 6: 136)
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Seorang hamba jika dia berada pada jalan yang baik dalam ibadah, kemudian ia sakit, maka dikatakan pada malaikat yang bertugas mencatat amalan, “Tulislah padanya semisal yang dia amalkan rutin jika ia tidak terikat sampai Aku melepasnya atau sampai Aku mencabut nyawanya.” 
(Riwayat Ahmad, 2: 203. Syaikh Syu’aib Al-Arnauth menyatakan bahawa hadits ini sahih, sedangkan sanad hadis ini hasan)
Amalan yang dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan, sebagaimana disebutkan dalam hadis,
 “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat Bukhari) 
Inti dari pembahasan ini, pentingnya beramal secara istiqamah kerana saat kita diuji dengan keuzuran untuk beramal, maka akan tetap dicatat sebagaimana kita melakukannya secara rutin. 
Moga Allah mudahkan kita untuk istiqamah dalam beramal.




TAZKIRAH : MENANGISLAH WAHAI MATA


Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan dirinya dalam mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah adalah mata yang soleh. Tangisan keinsafan adalah satu kurniaan Allah buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara mata dari api neraka. Nabi s.a.w menyebut:
“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah” (Riwayat al-Tirmizi).
Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada Allah atas kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah cabul ataupun kurangkan. Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadapNYA. Rindukan cintaNYA dan gerunkan kebesaranNYA. Dalam kalangan salafussoleh ada menyebut:
“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).








TAZKIRAH : DUNIA TEMPAT BERPENAT, AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT


Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya!
Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.
Sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat:  Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat!
Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati.
Sumber: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
“Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
(surah Taha:131)