TAZKIRAH : JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA-TIBA"

TAZKIRAH : JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA-TIBA"


"AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN". Bergema ucapan alu aluan daripada muslim yang rindukan bulan pesta ibadah ini. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan Ramadan, padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-mu.
Mungkin berkat bulan ramadan ini, tambahan pula, syaitan dirantai, maka apa yang terjadi, ramailah manusia
Tiba tiba ibadah digandakan
 Tiba tiba bangun qiamullail
 Tiba tiba tahap kesabaran meningkat
 Tiba tiba segala perkara sia sia ditinggalkan
Alhamdulillah sangat baik seandainya ibadah sepanjang bulan ramadan dilakukan dengan mengejut dalam usaha melatih jiwa dan mengawal nafsu.
Namun JANGAN DIULANGI KEJUTAN "TIBA TIBA" itu seawal hari pertama graduate dari madrasah ramadan.
Tiba tiba makan banyak
 Tiba tiba mendedahkan aurat
 Tiba tiba terlupa di mana al Quran
 Tiba tiba meninggalkan masjid
 Tiba tiba meninggalkan amalan sunat
 Tiba tiba memulakan kembali agenda sia sia
Apakah semua ini? Adakah satu perbuatan membalas dendam? Kepada siapa?
Ayuh koreksi diri. Apa niat utama kita puasa sebulan? Adakah sekadar ingin berpuasa dan fokus kepada ibadah hanya dalam tempoh sebulan sahaja? Apakah ibadah sepanjang ramadan dapat menebus semua kealpaan kita daripada mengingati Allah selama 11 bulan berbaki?
sumber: Dakwah JAKIM

TAZKIRAH : ERAT HUBUNGAN SESAMA SAUDARA

TAZKIRAH : ERAT HUBUNGAN SESAMA SAUDARA

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua
kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!." Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan
kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....
"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi...aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...." katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
Semoga bermanfaat perkongsian ini.
Pengorbanan sekecil mana pun,pasti diingati..dikenang..janganlah berharap balasan semahal mana...kerana yg sikit itu sebenarnya ..itulah yg bernilai besar..
 Ingatlah akan sillaturahim sesama manusia, apatah lagi sesama adik beradik.
sumber: JAKIM
“Tidaklah masuk surga orang yang suka memutus, (memutus tali silaturahmi)”.
[Mutafaqun ‘alaihi]

* Syawal masih berbaki. Hubungkan silaturahim sesama saudara. Berikan kemaafan selagi masih bernyawa.


TAZKIRAH : MAAFKAN ABAH WAHAI ANAK

TAZKIRAH : MAAFKAN ABAH WAHAI ANAK

Hari yang cukup meletihkan. Menyakitkan. Memeritkan. Empat jam penuh debaran dan bergelut dengan nyawa akhirnya disudahkan dengan tangisan.
Tangisan seorang bayi lelaki. Tangisan kegembiraan diri sendiri juga. Suami di sisi juga mengalirkan air mata. Anak sulung kami.
Ajaib. Terasa hilang seketika seluruh kesakitan melahirkan tadi tatkala melihat bayi lelaki yang masih kemerahan kulit badannya di depan mataku sendiri.
Alhamdulillah. Syukur yang tak terhingga. Jururawat membawa anak sulungku itu ke sisiku.
Ku kucup pipinya yang comel. Bayi yang tengah menangis tadi mereda tangisannya. Mungkin mengenali aku ini ibunya.
“Mama dan abah tunggu kamu sembilan bulan, tau.”
Bergenang air mataku sekali lagi mengingatkan peritnya dan besarnya dugaan selama mengandungkan anak pertama. Dengan pelbagai ragam diri sendiri, asyik nak muntah, cepat sensitif, cepat nangis, cepat marah, asyik nak pitam pening kepala. Tuhan sajalah yang tahu. Nasib baik dapat suami yang memahami.
Kami bernikah tahun lepas. Terus bunting pelamin. Suamiku orang biasa saja. Bukan ‘suamiku ustaz’ bagai tu semua. Taklah kaya. Cukuplah apa adanya. Cukup ada rumah sewa untuk didiami, cukup makan pakai sekadarnya.
Aku pun biasa-biasa. Macam orang keramaian saja. Tudung pun tak betul lagi. Suamiku kata, ‘nanti awak dah ready, pakailah betul-betul.’ Dia sendiri pun masih dengan seluar pendeknya bila keluar dari rumah. Aku pernah tegur. Dia kata, dia pun tak ready lagi. Sama macam aku tak ready.
Jururawat dah selesai mencuci bersih anak kami, berbungkus selimut. Dah wangi-wangi. Menyerahkannya kepada kami.
Doktor pun sudah menyelesaikan tugasnya, cuci luka dan sebagainya yang berkaitan. Aku dipindahkan ke katil dan wad lain yang telah siap disediakan.
Mertuaku dan ayah mak dah ada di sisi. Semua orang ada. Dengan muka gembira. Yang tua, happy dapat timang cucu. Aku dan suami happy dengan orang baru dalam keluarga kami. Dipeluk cium bayiku yang comel tu.
“Azankanlah di telinga budak tu.”
Ibuku bersuara. Diserahkan bayi dalam dakapannya tadi kepada suamiku.
 Suamiku menyambutnya dengan cermat.
“Kena azan ke?” Suami bertanya. Errr..
Suamiku terdiam seketika.
Dalam 10 minit dia diam. Ibu bapaku dah rasa pelik. Dah kenapa pula dengan menantunya itu.
Tiba-tiba suamiku itu menangis. Menitiskan air matanya. Jatuh menitik ke muka anak kami.
“Maafkan abah. Abah tak pandai nak azan. Sungguh, abah tak reti.”
Aku sebak. Ibu bapaku terkejut sedikit. Namun, tenang saja. Mentuaku nampak seakan dah tahu.
“Abah tak jujur pada mama kamu. Bila masuk waktu solat, abah kata nak pergi masjid. Tapi, sebenarnya abah tak pergi pun.
Abah keluar lepak dengan kawan-kawan. Abah tak pernah jadi imam di rumah untuk mama kamu. Apatah lagi mengajar mama Al-Quran. Abah tak reti. Maafkan abah. Maafkan abah.”
Suamiku itu terus menangis sambil mendakap anak lelaki sulungnya itu. Anak itu tidak pula menangis. Seakan-akan memahami ayahnya sedih.
“Maafkan saya, ma, abah. Maafkan saya.”
Suamiku itu meminta maaf dengan parentsku dan mentuaku. Aku turut menitiskan air mata. Selama ini, suamiku itu tak pernah macam hari ni.
“Takpe. Biar ayah saja azankan. Tapi, janji dengan ayah dan mak, lepas ni kamu berdua kena sama-sama pergi belajar agama. Kamu suami adalah pemimpin keluarga.
Baiki diri. Jangan selesa dengan perangai zaman bujang. Dah tak sama dengan zaman berkeluarga. Dekatkan diri dengan Allah. Kamu yang akan bawa anak dan isteri kamu kepada Syurga Allah.
Kita keturunan Nabi Adam dan Hawa yang berasal dari Syurga. Kampung asal kita di sana. Kita tak nak balik ke kampung yang satu lagi tu.”
Suamiku bangun dan memeluk ayahku, memeluk ayahnya. Berjanji akan berubah sepenuh hati. Menangis-nangis menyesal dan insaf.
Syukur. Anak yang baru lahir itu adalah pencetus hidayah Allah kepada suami dan aku sendiri.
Aku tersenyum dalam tangisan. Moga semua lelaki di dunia ini persiapkan diri dengan agama sebelum berkeluarga. Jangan diharap pada si isteri yang kena merubah suami.
Mohon sayangi isteri dan suami masing-masing walaupun tidak sempurna sikapnya, soleh atau solehahnya. Allah dah satukan kamu berdua kerana Dia tahu pilihan-Nya terbaik. Sama-sama berubah ke arah lebih baik.
Penulis: Muhammad Rusyidi







TAZKIRAH : CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA

TAZKIRAH : CARA ALLAH MEMAKBULKAN DOA


Doa seseorang itu BOLEH sahaja dimaqbulkan oleh Allah swt dalam bentuk yang TIDAK disukainya.
Contohnya berdoa agar hati lebih tenang dan khusyu’ solat, lalu Allah swt rugikan bisnesnya sehingga bankrup kerana tidak disedari bisnesnya itulah penghalang hati tenang dan khusyu’, tanpanya (atau dengan bisnes lain yang lebih baik) apa yang dipohonnya boleh diperolehi.
Begitulah seterusnya, sebahagian musibah dan bala yang datang adalah untuk memaqbulkan doa kita sendiri.
Justeru sama-sama kita usaha bersabar dan tidak cepat putus asa, terlalu bersedih dengan apa yang hilang atau melenting membenci taqdir. Carilah positif darinya nescaya hidup lebih tenang.
Itulah sifat Mukmin sejati sabdaan Nabi saw:
Ajaib urusan orang mukmin itu, apa yang berlaku semua baginya kebaikan, tiada seorang kecuali mukmin yang apabila ditimpa kebaikan lalu bersyukur maka kebaikan baginya, apabila ditimpa keburukan maka bersabar, maka kebaikan baginya juga. [Hadis Riwayat Muslim]
sumber: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

TAZKIRAH : HATI SUCI, TEMPAT CAHAYA DARI ILAHI

Pernahkah kita menjentik hati kita bagaimana untuk membersihkan hati?
Pernahkah merasa keupayaan membersih hati itu semakin pudar?
Terasa makin dibersih hati itu, makin susah untuk ia menjadi jernih…
Dan kita semakin kelelahan…
Rasulullah saw bersabda:
“Dalam jasad manusia ada seketul daging,jika baik daging itu,maka baiklah seluruh tubuh,jika buruk daging itu maka buruklah seluruh tubuh. Dan ketahuilah daging itu adalah hati”
(Riawayat Bukhari & Muslim)
Cuba kita koreksi..dalam keadaan kita mahu memperbaiki diri, di manakah letaknya Allah dalam hidup ini?
“Apabila kamu ditimpa bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (daripada ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah. Tetapi apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah(tidak mengingatiNya). Sememangya manusia itu sentiasa kufur (dengan nikmat-nikmat Allah)
(al isra’ 17:67)
Jika kita hanya kembali kepada Allah sewaktu kita susah ini bererti hubungan kita dengan Pencipta kita adalah hubungan yang wujud hanya ketika kita bermasalah sahaja.
Maka adakah apabila hadirnya ombak besar menggunung tinggi persis melebihi ketinggian 2 batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir akan siapa-siapa lagi melainkan Allah swt (dengan sepenuh hati). Saat itu kita akan kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan Allah swt secara automatik tanpa disuruh atau dipaksa.
Lihat kisah Firaun, semasa berkuasa siapa dia? tapi apabila ditenggelamkan di laut merah apa kata hati dia? “sesungguhnya aku beriman kepada Tuhan Harun & Musa”. Tetapi hanya ketika nyawa di halkum. Itu sudah terlambat.
Bagaimana Mendidik Hati Menjadi SUCI?
Kenapa masih sukar membersihkan hati?
Kerana, dalam diri kita, kita masih menyimpan rasa cinta dengan dosa. Ya, rasa cinta dengan dosa. Kemungkinan, daripada 100 dosa yang biasa kita lakukan, kita telah tinggalkan 99. Namun, mungkin ada satu dosa yang kita langsung tidak boleh tinggalkan (kita rasa). Kita ada rasa cinta kepada dosa itu. Maka, ketahuilah kecintaan kepada dosa itu yang menghalang jiwa kita menjadi bersih.
Firaun pernah menjadi bapa angkat kepada Musa as. Dia membesarkan Musa, memberi makanan serta perlindungan ketika Musa as kecil. Itulah jasanya kepada Nabi mulia itu. Tetapi dosanya satu. Rasa untuk menjadi Tuhan melampaui rasa berTuhan.
Abu Talib pernah suatu masa menjadi pelindung kepada Nabi saw dari serangan hebat musyrikin, tetapi segala jasanya itu terhapus dengan satu kedegilan tidak mahu beriman kepada Nabi. Maka as Sa’iir lah tempat tinggalnya.
Kita?
Mungkin kita orang yang selalu puasa, solat malam, bersedekah dan sebagainya. Tetapi kita sering mengumpat. Seolah-olahnya umpat itu perkara biasa bagi kita. Maka,cukuplah dengan satu sifat mazmumah itu menyusahkan kita untuk mendapat hidayah iman dari Nya.
Jadi solusinya ialah, hendak membersihkan jiwa, pertamanya kita perlu rengkuh, lunyaikan segala kemungkaran yang melekat,meraja, serta mempengaruhi keegoan hati kita sejak sekian lamanya. Tolaklah segala ajakan buruk yang yang datang kepada kita kerana Allah. Walaupun jahiliyyah itu adalah jahilyyah yang kita suka.
Dan kecintaan kepada dosa itu bukanlah alasan logik untuk kita terus berbuat dosa. Apakah ketika kita masih cintakan dosa, suka berbuat dosa, dimanakah agaknya cinta kita kepada Allah swt semasa kita melakukan dosa itu? Cinta kepada siapakah yang lebih tinggi ketika itu?
Rasulullah saw bersabda: “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada dalam keimanan yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan”
(sahih muslim)
Cinta kepada dosa,itulah yang menghalang jiwa kita daripada ketukan hidayah untuk menjadi hamba yang sebenarnya. Kerana cinta dosa itu melemaskan kita untuk bernafas dalam jiwa hamba.
Kerana manusia itu makhluk holistik. Dan kerana islam itu agama sempurna. Kesempurnaan itu membutuhkan kesempurnaan taubat. Kerana taubat itu membersihkan hati, agar segalanya bisa kembali kepada fitrah. Dengan sempurna, seperti bayi. Itulah yang Allah mahu kita jadi :)
 "Wahai jiwa yang tenang datanglah kepada Tuhanmu dengan keadaan ridha dan diridhai" (Qs Al Fajr 27-28 )
wallahu'alam.
Perkongsian: Ahmad Syaher Bin Zamri





TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

TAZKIRAH : BILA TERNIAT UNTUK BERBUAT BAIK, JANGAN BERTANGGUH!

Apa pernah, kalian mengalami satu keadaan di mana melihat adanya individu di hadapan mata kalian yang dalam kesulitan dan merasa menyesal kerana tidak dapat membantu?
Barangkali kalian pernah membiarkan duit syiling milik seorang makcik tua yang terjatuh di atas lantai, walaupun di dalam hati kalian terdetik untuk menolong untuk mengambilkannya? Lalu kalian merasa serba salah setelah makcik tua itu berlalu pergi.
Terkadang kita menyesal sendirian kerana tidak membantu.
Di sini saya ceritakan satu kisah, pengalaman seorang rakan saya yang terdetik niat untuk membuat satu kebaikan. Namun niatnya langsung tidak menjadi kenyataan atas pilihan sendiri. Malah mengundang rasa serba salah dan penyesalan. Jadi, bagaimana niat murni Nur ini tidak terlaksana? Ayuh, teruskan pembacaan kalian.
Kejadian Di Vending Machine
Begini, rakan saya Nur merupakan seorang pelajar di salah satu institusi pengajian tinggi tempatan yang menuntut dalam jurusan pergigian. Menjadi rutin Nur untuk mengulangkaji pelajaran di perpustakaan kampus.
Dijadikan cerita pada suatu hari, bagi mengurangkan rasa mengantuk semasa mengulangkaji di perpustakaan, Nur bercadang untuk membeli air di vending machine.
Selesai mendapatkan minuman pilihan, Nur duduk di sebuah bangku berhampiran mesin tersebut. Duduk dan menikmati minuman di tangannya, sambil pandangan mata di tebar ke sekeliling. Dirasakan segar sedikit matanya berbanding di dalam perpustakaan tadi. Mengantuk sungguh!
Pada satu sudut di mana terletaknya vending machine tadi, terdapat seorang pelajar lelaki bukan warganegara tempatan yang dilihat sedang berdiri di hadapan mesin air itu. Dimasukkan duit kertasnya ke dalam mesin tersebut. Tidak berjaya. Vending machine itu menolak kembali duit kertas yang dimasukkan. Berulang kali dicubanya. Tetap tidak berjaya.
Nur memerhati gelagat si pelajar lelaki tersebut. Gaya mencari-cari duit syilingnya. Dilihat berkali-kali individu itu mengira duit syilingnya. Sekejap-sekejap mengira syiling, sekejap-sekejap memandang vending machine. Tidak cukup duit syiling lagaknya.
Gayanya mengundang simpati Nur untuk membantu. Ditambah lagi individu itu adalah pelajar warga asing. Agak terpinga-pinga dibanding pelajar warga tempatan jika berada dalam situasi yang sama. Mungkin individu itu tidak berapa mahir dengan penggunaan vending machine di situ. Nur merasakan serba tidak kena dengan situasi tersebut.
Nur serba salah sama ada ingin membantu atau tidak pelajar tersebut.
Dalam hati Nur bermonolog,
“Ishh.. Orang tu macam tak cukup syiling je. Teringin juga nak hulur syiling, tapi dia pelajar lelaki. Rasa segan pula nak menegur.”
Niat Yang Tidak Ditunaikan
Nur memandang individu tersebut dari jauh. Lama. Nur masih berkira-kira ingin membantu ataupun tidak. Namun akhirnya Nur mengambil keputusan untuk tidak menghulurkan bantuan kepada individu tersebut.
Daya ingin menolong dalam diri Nur dirasakan belum cukup kuat. Terasa berat untuk hanya bangun, maju beberapa tapak dan menghulur beberapa keping duit syiling sebagai bantuan.
Lantas Nur berlalu dan kembali ke dalam perpustakaan. Sesampainya Nur di dalam perpustakaan, dia berkata di dalam hati,
“Rasa macam menyesal tak tolong foreign student di vending machine tadi. Bukan senang sebenarnya Tuhan nak bagi aku peluang buat baik. Lagi pula Tuhan yang izin untuk tunjuk pada aku, ada orang dalam kesulitan.
Bukan kebetulan untuk tiba-tiba dapat pandang situasi tersebut. Ya, peluang yang bukan saja-saja Tuhan bagi. Sayangnya aku dah pun lepaskan peluang yang Tuhan berikan dan rasa perasaan serba salah tidak menolong ini tak best. Buat rasa menyesal saja.”
Hari Nur diteruskan dengan penyesalan yang membawa pengajaran. Insiden tersebut telah mengajar Nur sesuatu. Jika diputar kembali masa sekalipun, belum tentu Tuhan akan memberikan momen yang sama dengan peluang yang sama.
Bilamana kita sudah pun terdetik niat untuk membantu pada sesiapa yang dalam kesulitan apatah lagi di depan mata, jangan bertangguh untuk membantu! Seperti kata ulama’ silam terkenal,
“Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya” Sheikh Ibnu ‘Atoillah
Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?
Kini, Nur menceritakan kembali bagaimana beliau tidak lagi melepaskan peluang untuk membantu. Membantu sesiapa saja yang tercapai pada pandangan matanya andai ada yang memerlukan. Bagaimana perasaan seakan ‘lega dan lapang’ yang menakjubkan dirasakan bilamana dapat membantu orang lain.
Apabila dapat melakukan kebaikkan, hati kita akan merasa bahagia sekali.
“Just now I saw a foreign guy, going somewhere and asked other people the direction. I walked behind him and looked at him. He was looking for some place I think. So I asked,
“Mr, where are you going?”
“I’m looking for surau.”
“That is the surau (pointing at the surau).”
Then I smiled. Well God, thank you.
Sekian.
Karya: Addin Dyna
“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan(kebajikan) sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya..” 

(al-Zalzalah : 7)

TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

TAZKIRAH : KALIS KEJAHATAN DENGAN PERISAI KEBAIKAN

Pernah tak waktu zaman kanak-kanak dahulu, bila ada sahaja kawan yang mengejek, kita disuruh membalas ejekannya dengan hanya menyebut ‘Alhamdulillah’?
Kemudian, kita dilarang pula membalas kembali ejekan tersebut dengan kata-kata selain ‘Alhamdulillah’ walaupun sebenarnya kita mampu untuk membidas kembali ejekan kawan kita.
Antara bentuk ejekan yang bisa menyakitkan hati kita ialah:
“Bodoh!”
 “Itulah kau, gemuk sangat.”
 “Kesian, kau diciptakan dengan kulit yang hitam.”
Dan pelbagai lagi bentuk ejekan yang menampilkan diri seseorang itu sebagai kanak-kanak yang nakal dan bercakap tanpa memikirkan perasaan kawan. Ustaz saya pernah berpesan:
“Jika diri kita diejek, disakiti dengan kata-kata, adalah lebih baik kita diam dan ucapkan ‘Alhamdulillah’. Jangan bertikam lidah dengan si dia.”
Benar, jiwa kanak-kanak lebih memberontak untuk membalas ejekan tersebut. Bahkan kalau boleh, mahu sahaja bertumbuk dengan kawan yang mengejek kita.
Tetapi rasa malu masih menebal dalam diri, jadi bermulalah episod berperang mulut. Sama-sama mengejek. Akhirnya masing-masing bermasam muka, memulakan perang dingin pula.
Pada waktu itu, saya tidak pernah tahu mengapa perlu membalas ‘Alhamdulillah’. Dek kedangkalan akal, saya pernah berkata:
“Sudahlah dia menyindir aku, kena pula cakap ‘Alhamdulillah’. Seolah-olah syukur bersetuju dengan ayat sindiran dia.”
Saya memahami bahawa ‘Alhamdulillah’ hanya disebut bila mana kita berasa gembira dan untuk menunjukkan rasa kesyukuran.
Rupa-rupanya ianya bukan begitu, kerana makna bagi ‘Alhamdulillah’ itu sendiri ialah segala puji bagi Allah. Bermaksud hanya Allah Ya Hamid yang layak dipuji, bukan kita yakni hambaNya yang tidak sempurna.
Membalas ejekan kawan dengan memuji-muji Allah sebenarnya boleh melunturkan hatinya yang sedang membuak-buak ingin mengejek kita.

Bahkan, ianya boleh membentuk kita menjadi seorang insan yang penyabar dan pemaaf seandainya kita ikhlas menyebut pujian terhadap Allah dan mengingatiNya sewaktu diri kita disakiti.
Allah telah berfirman:
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”
Surah Al-A’raaf, Ayat 199
Apabila menganjak dewasa, lain pula ceritanya. Tiada lagi ejek-mengejek seperti zaman kanak-kanak dahulu. Ianya telah diganti dengan perbuatan yang seangkatan dengannya seperti mengata, mengutuk, mengadu domba dan pelbagai lagi perbuatan negatif dengan tujuan untuk menjatuhkan kawan.
Tetapi, kita tetap tidak dibenarkan membalas kembali perbuatan kawan itu seperti mengata semula kepadanya atau mencanang keburukannya. Bahkan, kita diminta membalas kembali perbuatannya dengan kebaikan seperti mana Allah telah berfirman:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik;
Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Surah Fussilat, Ayat 34

Islam itu indah. Ada hikmah mengapa kita diminta membalas kembali kejahatan yang dilakukan terhadap kita dengan kebaikan. Antaranya ialah:

#1. Allah tidak mahu kita berdendam dengan dia
#2. Allah mahu memupuk sifat sabar dalam diri kita
#3. Allah mahu dia memiliki sifat kebaikan melalui perbuatan baik yang kita tonjolkan
#4. Allah menegur kesilapan kita yang mungkin kita tidak menyedarinya
#5. Allah mahu silaturahim itu terus utuh antara kita dan Dia
#6. Allah juga mahu hambaNya sama saling bermaafan antara mereka
#7. Syurga Allah itu sangat luas untuk dimasuki oleh kita semua

Sesungguhnya, Allah sangat menyayangi orang yang sabar dan pemaaf seperti mana Dia telah berfirman:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Surah Ali ‘Imraan, Ayat 133-134

Penulis: Nur Ismalina Haris :Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis.