TAZKIRAH : HADIAH TERBAIK


TAZKIRAH : HADIAH TERBAIK

Bayangkan, nak persembahkan hadiah buah-buahan kepada Raja, tapi buah-buahannya busuk, berulat, pinggannya kotor dan sompek. Dah tu, main campak-campak pulak. Jangankan Raja, sampai kat pintu pengawal lagi dah kena reject! Siap dimaki hamun lagi. Gitulah gamaknya kalau kita persembahkan ibadah-ibadah cincai kita seperti solat, puasa, haji, sedekah, tutup aurat dan macam-macam lagi…


Dipetik dari buku “I LOVE YOU TOO!!” Karya Badrul Hisham Shari.

TAZKIRAH : PENGORBANAN AYAH IBU


TAZKIRAH : PENGORBANAN AYAH IBU


Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.
Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya.

Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu. Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di akarku," cadang pokok epal itu.

Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.


TAZKIRAH : SEDIKIT YANG MENGINGATKAN LEBIH BAIK DARI BANYAK YANG MELALAIKAN


TAZKIRAH : SEDIKIT YANG MENGINGATKAN LEBIH BAIK DARI BANYAK YANG MELALAIKAN 


Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi…. aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja.

Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Aaaaa!!!!… Ya Allah….. lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.

Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh… cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas. Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni… habislah jadi mangsa buaya.

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih… Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba…. terdengar satu bunyi…. uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah bawa madu.

Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata.

Hamba Allah tu kata, “Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni.” kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah.

Kalau semua nak tahu …
si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, jadi, beringat-ingatlah.

2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti.

Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu.
.
Madu… madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah.

Astaghfirullah…

 “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih

hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika
kamu orang-orang yang beriman” 
(Ali-`Imran: 139)



TAZKIRAH : ORANG KITA KATA TAPI ISLAM KATA


TAZKIRAH : ORANG KITA KATA TAPI ISLAM KATA

Orang kita kata
kalau dah ada rezeki baru kahwin,
tapi Islam kata
nak tambah rezeki kena kahwin.
Orang kita kata
nak senang kena banyak
simpan duit,
tapi Islam kata
nak senang kena banyak
keluarkan duit atau sedekah.
Orang kita kata
dah kaya
baru bantu orang miskin,
tapi Islam kata
kalau nak kaya
bantu orang miskin.
Orang kita kata
makan sampai kenyang,
tapi Islam kata
berhenti sebelum kenyang.
Orang kita kata
sakit itu bala,
tapi Islam kata
sakit itu penghapus dosa.
Inilah keindahan Islam
yang sentiasa positif,
yang bersandarkan
keyakinan tinggi kepada Allah.
Allah Maha Mengetahui.

TAZKIRAH : KESABARAN ITU SATU KEMULIAAN


TAZKIRAH : KESABARAN ITU SATU KEMULIAAN

Satu hari, sedang saya berjalan-jalan di sebuah jalan yang sibuk, saya terdengar suara seseorang menjerit tidak jauh di belakang saya, “Saya benci awak! Saya benci awak! Saya benci awak!!”
Saya menoleh ke belakang dan cuba mencari siapa yang sedang menjerit itu. Saya terlihat seorang wanita menjerit sekuat hatinya dan menangis teresak-esak sambil mendukung seorang anak kecil. Lebih menyedihkan lagi, wanita itu sedang berdiri di tengah-tengah jalan yang sungguh sibuk! Tidak hairanlah kelakuannya itu mengganggu para pemandu di jalan itu, menyebabkan kereta-kereta semua terhenti.
‘Ya Allah! Apa yang dia buat berdiri di tengah jalan macam tu?’ Saya berasa cemas; tubuh dan fikiran saya tiba-tiba terasa kaku.
Tetapi alhamdulillah, beberapa saat kemudian saya sedar dan bergegas mendapatkan wanita itu. Wanita itu enggan dibantu oleh beberapa orang lelaki di situ, maka terserahlah kepada beberapa orang wanita yang berada di situ untuk memujuknya agar beralih ke tepi jalan. Mereka terpaksa memujuknya agak lama sebelum mereka berjaya menenangkan wanita itu, dan kemudian salah seorang wanita di situ berbesar hati menawarkan untuk menghantarnya pulang kerumahnya yang tidak jauh dari situ, Alhamdulillah….
Sekarang baru saya faham maksud Willard Gaylin apabila dia mengatakan:
Menunjukan kemarahan merupakan satu contoh pencemaran awam.
Wah! Kenyataan yang menarik sekali, bukan? Bagi saya, pencemaran awam yang dilakukan oleh wanita tersebut pada hari itu amat jelas sekali. Dan percayalah, memang tidak sedap hati saya apabila melihat kejadian itu!
Saya tertanya-tanya – apakah yang telah mendorong wanita itu untuk ‘mencemar kebersihan awam’ pada hari itu? Apakah yang telah berlaku beberapa minit, jam atau hari sebelumnya hingga dia ‘meletup’ pada hari itu? Atau mungkinkah kejadian itu berlaku akibat kemarahanyang telah dipendam berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya, hinggakan akhirnya dia terpaksa luahkan dengan cara begitu?
Ketika itulah saya tersedar- kelakuan wanita itu bukanlah sesuatu yang unik! Tidak sama sekali!
Kita juga pernah melakukan kesilapan yang serupa, bukan? Ya, kita juga melakukan pencemaran awam dengan cara kita tersendiri, sama ada kita mengakuinya atau tidak! Baiklah, mungkin pencemaran kita tidak sebesar lori sampah seperti yang dilakukan oleh wanita itu, tetapi paling tidak, kita pernah mencemar dengan seikat beg plastik atau sebakul sampah, satu tin minuman ringan, sekeping kertas atau gula getah yang telah dikunyah, mahu pun dengan ludahan kita (jijiknya!) ke tanah? Anda tentu faham maksud saya – ‘pencemaran’ kecil-kecilan!
Ada yang nak mengaku tak? Tolong angkat tangan? Satu? Dua? Tak pasti? Baiklah, mari kita renungkan hal ini sebentar, okay?
Mari kita fikirkan dan singkap kembali hari-hari yang telah kita lalui minggu ini- adakah kita telah ‘mencemari’ rumah kita pagi tadi ketika bersiap untuk pergi ke tempat kerja sambil menyediakan anak-anak kita untuk ke sekolah? Atau mungkin kita telah ‘membaling sampah’ ke arah ibu bapa kita kerana mengejutkan kita untuk sembahyang subuh agar syaitan tidak dapat mengencingkan kita sedang kita tidur? Atau mungkin kita ‘melontar sampah’ ke arah rakan sekerja kita kerana dia tiba lewat ke pejabat buat kesekian kalinya? Atau adakah kita telah ‘membuang sampah’ ke arah kereta di belakang kerana pemandu itu cuba memotong kereta kita? Atau ‘membaling kertas’ ke arah pelayan restoran yang menyajikan salad ayam untuk kita sedangkan kita memesan stik kambing; dan mungkin semalaman kita telah ‘menghumban sampah’ ke arah pasangan kita sebab perkara-perkara yang remeh?
Alamak…tiba-tiba perasaan bersalah mula meresap ke dalam hati saya…
Mungkin itulah sebabnya nasihat yang berikut diwariskan sebagai panduan untuk kita :
“Seorang lelaki telah berkata kepada Nabi (s.a.w) : “Nasihatilah kepadaku!” Dijawab oleh Nabi (s.a.w): “Usah marah! “ Orang itu berulang kali meminta supaya dirinya dinasihati, namun tetap Rasullullah (s.a.w) mengatakan: “Usah marah!” (Al-Bukhari)
Kemudian saya terjumpa hadith berikut yang merupakan salah satu sebab mengapa Rasullullah (s.a.w) menekankan tentang kemarahan:
“Ada antara kamu yang lekas marah dan lekas tenang, sifat pertama menyeimbangkan sifat kedua; sesetengahnya lambat marah dan lambat pula reda kemarahannya, sifat pertama menyeimbangkan sifat kedua; yang terbaik antara kamu ialah mereka yang lambat marah tetapi lekas reda kemarahannya.” (Al-Tirmidhi)
Thomas Jefferson pernah mencadangkan satu saranan:
Bila anda marah, kiralah satu hingga sepuluh sebelum anda bercakap; jika amat marah, kira hingga seratus.
Berkesankah saranan ini? Mungkin juga, bukan? Tapi saya tak mahu orang yang berdiri di depan saya kehairanan melihat mulut saya terkumat-kamit mengira, betul tak? Dan bukan itu sahaja, bagaimana jika saya masih berasa marah walaupun telah mengira hingga satu juta? Perlukah saya terus mengira hingga dua juta? Alamak!
Nasib baik saya terjumpa hadis di bawah:
“Sesungguhnya kemarahan itu dari api syaitan dan syaitan itu dicipta dari api, dan api itu hanya boleh dipadamkan dengan air. Maka, apabila seseorang di antara kamu marah, hendaklah dia berwuduk.” (Abu Daud)
Tetapi kemudian saya teringat yang saya pernah hilang sabar di tempat yang tiada air! Alamak! Bagaimana kalau ada orang yang menyebabkan saya melenting sewaktu bermesyuarat di pejabat? Alasan apakah yang boleh kita berikan untuk pergi ke bilik air? Atau katakan kita sedang memandu kereta, sedang makan di restoran atau berjalan-jalan di taman bunga dan tiada punca air di situ- apakah yang patut kita lakukan dalam keadaan itu?
Nabi Muhammad (s.a.w) mempunyai satu penyelesaian bagi sesiapa yang sedang dalam kemarahan:
“Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang diucapkan oleh orang yang sedang marah, nescaya akan hilang kemarahannya, iaitu ‘Aku berlindung dengan Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam.’ Jika dia mengucapkan kata-kata ini, kemarahannya akan reda.” (Muslim)
Menajubkan sekali, bukan? Subhanallah…Ucapkan sahaja ayat pendek ini dan kita akan menjadi tenang semula! Hebat betul!
Semoga bermanfaat.
Dipetik dari buku :HIDUP BUKAN RAHSIA- Anda, Saya dan Kita karya Zabrina A.Bakar

TAZKIRAH : CAWAN DAN KOLAM


TAZKIRAH : CAWAN DAN KOLAM


“Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?” lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.
Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.
Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.
Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.
Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.
“Anak muda,” lelaki tua itu bersuara.
“Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam,” ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.
Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.
“Sekarang kamu minumlah air tersebut,” dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.
” Apa rasanya?” tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.
” Masin!”
Lelaki tua itu tersenyum lagi.
“Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya.”
Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.
“Apa rasanya, wahai anak muda?” soal lelaki tua itu.
“Tawar, tidak masin seperti tadi,” lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.
“Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?” tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.
“Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita.”
“Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita.”
“Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri.”
Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.

TAZKIRAH : YAKIN PADA DIRI


TAZKIRAH : YAKIN PADA DIRI


Di dalam sebuah hutan terdapat seekor kuda bertemu seekor gajah, sang kuda terus menyapanya.

Kuda: “Hai badak, selamat pagi.”
Gajah: “Eh, saya bukan badak, saya gajah!”
Kuda: “Tapi banyak binatang di hutan ini menganggap kamu badak”
Gajah: “Saya gajah, bukan badak. Dari dulu gajah sampai sekarang”

Kemudian ada seekor monyet melalui kawasan tersebut, juga menyapa sang gajah

Monyet: “Helo badak, apa khabar?”
Gajah: “Hey … saya bukan badak, saya gajah!

Kuda: “Sudahlah, tidak usah membela diri, banyak binatang mengatakan kamu itu badak.”

Gajah: “Bukan membela diri, sebab saya memang gajah … ”
Kuda: “Ah…. mengaku saja kalau kamu tu badak … tidak perlu membabi buta membela diri.”

Gajah: “Terpulanglah kepada semua jika mahu menganggap saya badak, sebenarnya saya adalah gajah dan tetap seekor gajah sampai bila pun. Macam mana saya nak mengaku saya seekor badak, padahal bukan badak.”


HIKMAH
Kadang-kadang, dalam kehidupan sehari-hari ada kata-kata yang melemahkan kita. Kita dianggap tidak mampu. Namun yakinlah bahwa itu bukan sebetulnya. Itu baru anggapan orang. Yang sebenarnya anda adalah mahluq mulia yang dianugrahi potensi luar biasa dahsyat. Jangan pedulikan dengan perkataan orang yang menganggap anda tidak mampu. Yakinlah. Anda mampu melakukan yang terbaik!