ZIARAHLAH KUBUR

Ya Allah Ya Tuhanku. Tengah merindui mak, nak berlari di dalam syurga terus memeluk mak, dukung mak, mencium dahi, tangan, kaki dan mendakap rapat-rapat.
Sebaik sahaja menuruni kenderaan, anak-anak semua berlari ke kubur dan terus berlari memegang dan bersandar di kubur mak saya.
”Assalamualaikum nenek, kami semua rindu nenek. Nenek tunggu kami semua ye. Nanti nak cium nenek di dalam syurga.”
Mereka bercakap seolah-olah mak saya masih ada lagi. Saya sebak, mereka berkata lagi;
“Nenek apa khabar di sana? Rindu nenek.”
Seorang anak saya berkata;
“Kakak pakai tudung, sebab ayah kata kalau nak jumpa nenek di syurga kena pakai tudung. Supaya Allah sayang.”
Anak-anak semua bersandar di kubur dan memegang batu-batu kecil di kubur. Kakak berkata;
“Ayah nanti kakak nak jumpa nenek lagi ye?”
Saya membalas;
”Boleh wahai anakku. Jaga solat. Jaga agama. Insyaa Allah. Dulu nenek suka nasihat keluarga dan saudara mara. Katanya jagalah solat, bila solat, Allah sayang kita. Jadi hamba Allah yang bersyukur.”
Anak saya membalas kembali;
“InsyaAllah ayah. Kami akan jaga solat. Nak jumpa nenek.”
Mak, Ebit datang lagi mak. Assalamualaikum mak. InsyaAllah tidak lama, Ebit dan kami semua akan menuruti jalan yang sama yang telah mak lalui. Kita akan dikumpulkan kembali bersama.
Mak, dulu masa hidup Allah jadikan, maklah penawar dan segalanya buat Ebit. Nikmat Allah paling besar. Hari ini kubur mak jadi penawar segalanya. Disinilah ubat bagi hati ini.
Walau apa pun musibah atau kesedihan, bila Ebit berada di sisi kubur mak, membuatkan semuanya lapang. Itulah ciptaan Allah paling indah seorang ibu. Sepanjang hidup tidak berehat membahagiakan anak-anak dengan kehendak Allah.
Saat terbaring di dalam kubur juga menjadi ubat bagi anak-anak. Ya Allah. Terima kasih Ya Allah tuhan kami kerana pinjamkan kami ibu ini di dunia ini.
Ibu kami selamanya dalam syurga kerajaan-Mu yang kekal selamanya. Saidina Usman R.A selalu menangis di kubur melebihi di tempat lain. Bila ditanya mengapa, jawabnya;
“Inilah tempat pertama, jika selamat, selamatlah di tempat lain. Jika disini kita gagal, gagal lah di tempat lain.”
Buat sesiapa yang bersedih ada masalah keluarga. Perbanyakkan menziarahi kubur orang tua kita. Jika ada masalah berniaga, masalah hidup dan terasa begitu sempit di dunia ini.
Di kubur membuatkan hati kita menjadi lembut, air mata deras, hilang segala sombong, hilang permusuhan, dan hilang masalah.
Ingatlah mati adalah penawar paling mujarab bagi segalanya. Penasihat yang diam tidak bersuara tetapi kesannya ke dalam hati paling dalam. Dekat dengan kubur buat kita dekat dengan akhirat.
Didiklah anak-anak kita dengan selalu menziarahi kubur. Kelak seandainya Allah mengambil kita dahulu, sekurang-kurangnya mereka tahu kematian itu pasti dan selalu mendoakan kita.
Sumber: Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew



No comments