KENAPA ALLAH TIDAK MEMAKBULKAN DOA AKU?

Abu Hurayrah radhiyallahu’anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"مَا مِن رَجُلٍ يَدعُو الله بِدُعَاءِ إِلَّا استُجِيبُ لَهُ، فَإِمَّا أن يُعَجِّلَ لَهُ فِي الدُّنيَا، وَإِمَّا أن يُدَّخَرَ لَهُ في الآخيرَةِ، وَإمَّا أن يُكَفَّرَ عَنهُ مِن ذُنُوبِهِ بِقَدرِ مَا دَعَا مَا لَم يَدعُ بِإِثمٍ أو قَطِيعَةِ رَحِمٍ أو يَستَعجِل، قالوا: يا رسول الله وَكَيفَ يَستَعجِل؟، قال: يقولُ دَعَوتُ رَبِّي فَمَا استَجَابَ لِي" [رواه الترمذي من صحيح الباني].

Tidaklah seseorang yang berdoa kepada Allah SWT dengan satu doa, kecuali ia akan dijawab untuknya sama ada:

1. disegerakan (dijawab doa itu) untuknya di dunia, atau,

2. disimpankan untuknya di akhirat kelak, atau,

3. dihapuskan darinya dosa-dosanya mengikut kadar doanya dengan syarat selama mana dia tidak berdoa (1) perkara yang membawa dosa, atau (2) perkara yang memutuskan silatur rahim, atau (3) dia tidak tergesa-gesa.

Para sahabat pun bertanya: “wahai Rasulullah, bagaimana seseorang itu boleh tergesa-gesa (dalam berdoa)?” Nabi menjawab: “(apabila) dia mengatakan: aku telah berdoa kepada Tuhanku, tetapi Dia tidak menjawab doaku untukku” [Riwayat Termizi dari Sahih al-Albani].

Syaikh al-Mubarakfuri (w.1353H) menyatakan ijtihad beliau dalam menerangkan maksud tergesa-gesa dalam hadith di atas, bahawasanya tergesa-gesa di sini bermaksud sama ada kerana dia merasakan lewatnya doa itu dijawab atau dia melahirkan rasa putus-asa kerana doanya tidak dijawab. Lantaran itu, kedua-duanya amatlah dicela.

Kemudian beliau rahimahullah menyambung, yakni cara Allah menjawab doa hambaNya, antaranya:

1. mendapatkan seperti apa yang diminta pada waktu yang diinginkan, atau

2. mendapatkan pada waktu lain kerana sesuatu hikmah yang menyebabkan ianya dilewatkan, atau

3. menolak keburukan yang digantikan dari doa itu, atau pemberian kebaikan lain yang lebih baik dari apa yang diminta, atau

4. disimpankan ia untuk hari yang mana dia akan lebih memerlukan kepada ganjaran dari doa tersebut, atau

5. terhapusnya dosa-dosa mengikut kadar apa yang diminta




“Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan(kebajikan) sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya..” 
(al-Zalzalah : 7)









No comments