SEMAKIN TUA SEMAKIN MULIA

Umur 40 tahun ialah umur di mana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.
Memang bermula 40 tahun, Tuhan akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Tuhan selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.
Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarganya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.
Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Tuhan. Malah dikala orang lain semua bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, dia pula mencari masalah baru.
Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan hartanya untuk ditambah-tambah. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk menambah ibadat.
Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta diluar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.
Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat-sahabat, saudara-mara ramai yang sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita "ehh, tak sangkaaa...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal..."
Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.
Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.
Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang. 
Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.
Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:
“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [Hadis Riwayat Ibnu Majah].
Kalau sekarang kita rasa 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…
Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita.
Oleh kerana itu, lihatlah diri kita, sudahkah kita mempersiapkannya…?!
Allah ta’ala berfirman (yang maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]
Moga Allah beri kekuatan untuk kita kekal istiqamah sehingga nyawa diambil dari jasad.

Sumber: Marman Mahmud WM

No comments