RANCANGLAH KEHIDUPAN AKHIRAT SEUMPAMA MERANCANG KEHIDUPAN DUNIA

Ayah saya dahulu seorang pesawah dan dia menyimpan padi yang dituai dalam kepok untuk kami makan selama 6 bulan. Itu perancangan hidup kami yang dibuatnya. Hari ini kita juga merancang untuk hidup. 
Ada jadual kerja harian yang wajib dipatuhi, jadual hantar anak ke tuisyen, jadual bayaran hutang, jadual service kereta, bila nak ke pasar raya, ke pasar minggu, bila nak makan diluar, nak sambut birthday anak dan 1001 perancangan lagi untuk memenuhi hidup. Kita juga menanam, menternak, mengusaha itu ini untuk suatu perancangan ekonomi keluarga.
Saya nak ajak anda merenung adakah kita merancang untuk berbuat ibadat, merancang untuk hidup di akhirat seperti kita merancang untuk hidup di dunia ini kerana hidup di akhirat kekal. Kebanyakan kita tidak merancang untuk berbuat ibadat, untuk akhirat, tetapi membiar ia berjalan ikut keadaan. 
Bila tiba masa, buat sedangkan jika nak masak untuk makan tengahari, makan malam, nak shopping, nak jumpa doktor, kita merancang, maka bila nak ibadat, nak mengadap Allah, juga kena merancang, ditetapkan. Bila nabi berkata, antara yang kena disegerakan ialah solat, maka kena dirancang solat didahulukan, kecuali halangan yang membolehkan.
Kena bagi keutamaan kepada solat dalam perancangan hidup. Jangan bagi alasan sekejap lagi lepas drama tv habis, waktu solat panjang dan sebagainya. Kena rancang untuk solat dimana bila travelling. Kena letak waktu untuk solat jika buat majlis. Kena sedia tempat bersolat untuk tetamu.
Juga kena dirancang solat sunat supaya ada masa dan tidak terlupa bagi solat sunat yang panjang waktunya, seperti solat dhuha. Kita kena rancang untuk bangun malam bagi solat tahajjud, taubat, witir, jangan harap jika terbangun sahaja, kita kena plan untuk bangun, kunci jam, letak niat sebelum tidur, berqailulah (tidur sekejap) waktu siang. 
Kalau harap jika terjaga, sampai bila pun tak terjaga, jika terjaga pun, tetap tidak bangun kerana tiada dirancang, tiada niat.
Begitu juga bila ke masjid hari jumaat, kena rancang nak buat apa semasa menunggu masuk waktu. Solat tahyatul masjid, baca quran, zikir dan lain-lain, jangan duduk melangut membilang lampu dan siling atau tunduk membilang tile langsung terlelap.
Nak berbuat kebajikan pun jangan tunggu secara accidental, kebetulan. Rancanglah untuk bersedekah, tetapkan bahagian dari pendapatan, jangan tunggu peminta berdiri di muka pintu baru nak besedekah, jangan kerana berjumpa budak peminta sumbangan baru nak bersedekah. 
Nampak seperti kurang ikhlas, seperti terpaksa, baru beri sedekah. Sebab itu, bila nak bersedekah, lebih baik kita mencari dari menunggu orang datang minta kerana Allah suruh beri makan anak yatim dan fakir miskin, dalam maksud Allah suruh kita cari mereka, bukan tunggu kalau mereka minta, baru beri. Dalam kontek ini, kita kena merancang.
Kita kena merancang untuk keluar zakat. Petani dahulu sengaja tanam padi supaya hasil mencapai nisab untuk keluar zakat untuk laksana rukun Islam. Kita kenaplan untuk laksana zakat ini untuk memenuhi rukun Islam. Plan untuk bayar zakat pendapatan, berniaga dengan satu niat untuk dapat tunai rukun zakat meski tak untung banyak, jika ada bendang tanamlah padi untuk bayar zakat tanaman. 
Merancanglah juga bila nak kerja haji dan umrah dengan menabung. Merancanglah untuk ramadan dengan pengisian ibadat, sedia belanja untuk banyak bersedekah, bukan banyak untuk makan.
Merancanglah untuk qatam Quran, jangan hanya berkata bila ada masa aku baca, lama-lama qatam juga. Tobat lahom tak qatam, mungkin hingga ke mati. Kalau waktu belajar dulu, boleh qatam buku bertimbun kerana kita merancang untuk lulus periksa, mengapa tak merancang untuk qatam quran untuk kehidupan akhirat yang kekal. 
Tak payah nak bagi alasan pada saya, kita semua lahir dengan buta huruf, tak reti baca tulisan melayu, inggeris atau arab. Lepas tu kita belajar membaca, tetapi sayangnya kita hanya belajar baca bahasa melayu, inggeris tapi meninggalkan bahasa arab yang merupakan bahasa resmi agama Islam, bahasa yang diguna dalam soalan kubur.
Salah siapa, salah diri kita. Maka ambil usaha perbetul, belajar membaca quran usaha baca bagi lancar. Merancanglah untuk qatam Quran, paling lekeh sekali seumur hidup, setahun sekali, sebulan sekali, seminggu sekali.
Ringkasnya, kita kena merancang untuk berbuat ibadat seperti kita merancang untuk hidup. Merancang inilah yang disabitkan dengan niat yang menjadi otak dalam kebanyakan ibadat. Kalau tidak berniat, memanglah tak akan buat. Plan to work, memberi alasan, adalah plan not to work, merancang untuk tidak melakukan. 
Wallahua’lam
Penulis: Abdul Ghani Haron


No comments