CIRI-CIRI INDIVIDU TOKSIK


Pastinya dalam kehidupan, kita berhadapan dengan pelbagai jenis individu sama ada sementara atau lama.
Setiap daripada mereka memberi kesan kepada diri kita secara langsung atau tidak langsung, bergantung pada tahap mana kita sedar akan hubungan kita bersama individu tersebut.
Sewaktu saya dalam pengajian di universiti, terdapat satu subjek yang dinamakan Organizational Behaviour ketika semester ketiga.
Subjek ini memperkenalkan saya kepada pengetahuan mengenai sikap dan personaliti manusia, lebih fokus dalam suasana pekerjaan secara amnya.
Antara salah satu topik yang menarik perhatian saya ialah berkenaan individu toksik.
Maksud individu toksik atau toksin adalah orang-orang yang memberi implikasi negatif terhadap diri kita seperti mencederakan emosi, menjejaskan perkembangan kognitif dan merendahkan maruah.
#1 – Mereka Memanipulasi Anda
Saya pernah membaca sebuah buku bertajuk Santunan Fitrah, tulisan Harlina Halizah, yang membicarakan konsep price tag atau tanda harga dalam sebuah persahabatan.
Dalam memahami idea yang dikemukakan penulis, perkara ini membawa saya kepada persoalan seseorang yang memanipulasi orang lain untuk kepentingan sendiri atas nama persahabatan.
Orang yang bersikap toksik adalah mereka yang menggunakan label keikhlasan untuk membuatkan orang lain membuat sesuatu supaya memenuhi kepentingan mereka sendiri.
Contoh dalam persahabatan ialah mereka jangkakan kita perlu menolong mereka jika mereka telah menolong kita.
Hal ini banyak berlaku dalam masyarakat hari ini. Dialog seperti;
“Aku tolong mereka, nanti mereka tolong aku”
Sudah sebati malah diajar kepada kita untuk mengharapkan bantuan orang lain semata-mata kerana kita pernah membantu mereka.
Orang toksik memusnahkan konsep keikhlasan dalam perhubungan.
Allah SWT berfirman;
“Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” Surah Yunus 10: 105
Mereka akan mengungkit dan membuat lakonan drama seolah-olah kita yang jahat sekiranya kita tidak dapat memenuhi permintaan mereka.
Ya, kita dianjurkan supaya memudahkan urusan orang lain hatta menyingkirkan duri dari atas jalan sekalipun.
Namun, biarlah perbuatan kita itu dilakukan atas dasar keikhlasan, bukan semata-mata untuk “membayar” bantuan yang pernah kita terima sebelum ini.

#2 – Sikap Yang Tidak Berprinsip
Semestinya kita pernah menemui insan yang mulutnya bercabang. Sebelum ini mereka bercakap lain tetapi hari ini lain pula yang mereka bicarakan.
Orang toksik adalah mereka yang indecisive atau digelar tidak tetap pendirian.
Sikap ini membuatkan kita yang berhubungan dengan mereka berasa tidak selamat (insecure) untuk meletakkan kepercayaan kepada mereka.
Apabila kita berada bersama mereka, menyebabkan kita keletihan emosi untuk berurusan dengan mereka disebabkan mereka kerap berubah bergantung pada kepentingan mereka sendiri mengikut keadaan tertentu.
Contoh yang agak mudah ialah kurangnya pemahaman common sense dalam diri mereka. Istilah common sense agak sukar dicari dalam Bahasa Melayu tetapi secara asasnya bermaksud perlakuan dan pilihan yang relevan dalam situasi tertentu.
Perbuatan yang tidak bertimbang rasa adalah salah satu dari ciri-ciri kurangnya common sense orang toksik.
Malah, kita tidak boleh untuk memberi penjelasan kepada individu toksik ini kerana sekiranya diberi penerangan berkenaan perbuatan kurang bertimbang rasa, mereka tidak dapat menerimanya disebabkan semuanya hanyalah berkisar diri mereka sahaja.
Asalkan kemahuan mereka dipenuhi, tidak mengapa jika itu berlaku at the expense of others, atau menyebabkan orang lain kurang senang.
 “Barangsiapa menyusahkan (manusia), maka Allah juga bakal menyusahkannya pada hari kiamat.” Riwayat Bukhari

#3 – Sukar Membantu Orang Lain
Sangat sukar memudahkan urusan orang lain. Mereka hanya berfikir tentang diri mereka sendiri lantas mengabaikan perbuatan baik kepada orang lain.
Malah jika dilakukan sekalipun, adalah disebabkan niat-niat tertentu yang semestinya punyai “harga”.
Pernah saya baca sebuah buku tulisan saudara Khairul Abdullah yang agak provokatif tajuknya, Mentaliti Jamban.
Dalam buku ini disentuh beberapa refleksi si penulis mengenai masyarakat kita yang bersifat toksik dan menyusahkan orang lain.
Sewaktu pada zaman pengajian di universiti, saya mempunyai seorang sahabat yang apabila setiap kali kami makan di restoran segera, beliau akan mengemas semua sekali sendiri sebaik sahaja habis makan.
Malah, sampah turut dibuang di dalam tong dan dulang diletakkan di tempat yang disediakan. Itulah yang membuka mata saya dan turut disentuh dalam buku Mentaliti Jamban tersebut.
“Barangsiapa menghilangkan kesulitan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan melepaskan kesulitannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan orang yang sedang dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.” Riwayat Muslim
Orang yang sikapnya toksik, sukar untuk menerima perkara ini. Mereka menganggap orang lain ingin menggunakan diri mereka, walaupun hal sekecil ini.
Mereka merasakan pekerja di restoran segera sebagai malas dan ‘makan gaji buta’ jika kita mengemas sendiri meja setelah makan.
Kita yang berada di samping mereka akan mendapat aura negatif dan merasa sungguh tidak selesa dengan kata-kata individu toksik yang mengutuk orang lain tanpa sebarang kewajaran.

#4 – Menahan Potensi Orang Lain
Setiap kali kita mempunyai perancangan cita-cita dan impian, sudah tentu kita akan berkongsi mengenainya dengan orang lain.
Ciri individu toksik ialah mereka tidak peduli berkenaan matlamat, impian kita dan lebih bersikap unsupportive (tidak menyokong) apabila kita cuba menggilap potensi diri kita.
Komen-komen mereka terhadap kita pula lebih menjurus kepada peribadi berbanding usaha.
Rasulullah memberitahu kewajipan kita terhadap sesama Muslim adalah adanya beberapa hak yang salah satunya ialah memberikan nasihat apabila diminta.
“Kewajipan seorang Muslim terhadap saudaranya yang Muslim itu ada enam.”
“Apabila dia minta nasihat, maka nasihatilah dia.”Riwayat Muslim
Apabila individu toksik melihat usaha kita ke arah potensi yang baik dan positif, mereka lebih gemar mengejek dan memerli.
Apa yang boleh membuatkan mereka diam adalah hanya apabila kita berjaya mencapai sesuatu pencapaian.
Secara psikologinya, individu toksik mempunyai kecenderungan kepada instant gratification atau kepuasan segera. Mereka cuma meraikan pencapaian dan tidak melihat kepada usaha.
Namun konsep kepuasan segera ini boleh membawa kesan buruk apabila kita terburu-buru ingin mendapatkan result tanpa melalui penat lelah ke arahnya.
Sedikit dan sebanyak mana pun ciri-ciri toksik adalah di dalam seseorang individu, tidak dapat dinafikan bahawa kita boleh membuangnya perlahan-lahan.
Menjadi individu toksik sangatlah tidak menyenangkan orang lain dan berkecenderungan memudaratkan orang lain.
Mudah-mudahan kita dapat sama-sama memperbaiki diri kita selalu, insya-Allah.

 Penulis: Bahauddin Hamizan

No comments