Lima Hadith Utama Mengenai Akhlak



1. Nabi Muhammad saw Diutuskan Untuk Menyempurnakan Akhlak

Daripada Abu Hurairah ra : Rasulullah saw bersabda, “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh (mulia/baik/murni)”. (Sahih Adabul Mufrad riwayat al-Bukhari)

Ramai yang mengatakan permulaan dakwah Rasulullah saw adalah tauhid (mengesakan Allah), tetapi jika dicermati dengan tenang; dakwah pertama sebelum menjadi nabi adalah akhlak yang murni sehingga Beliau digelar al-Amin (yang dipercayai) oleh orang-orang kafir saat itu. 

Malah bila Rasulullah saw mengatakan Beliau adalah Rasul Allah, orang-orang kafir ketika itu berbelah bagi kerana Rasulullah saw tidak pernah menipu sepanjang hidupnya. Sepatutnya inilah prinsip pertama dalam dakwah; iaitu akhlak yang baik.

2. Akhlak Baik Mencerminkan Kesempurnaan Iman

Sunan Tirmidzi : Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seorang mukmin yang PALING SEMPURNA IMANNYA adalah orang yang paling baik akhlaknya; Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Hasan Sahih)

3. Timbangan Amal Soleh Paling Berat Adalah Akhlak

Sunan Abu Daud : Daripada Abu Darda Uwaimir bin Malik ra : Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada yang lebih berat dalam timbangan amal selain akhlak yang baik." (Sahih)

4. Paling Ramai Masuk Syurga Kerana Akhlak Yang Baik

Sunan Tirmidzi : Daripada Abu Hurairah ra ia berkata, “Rasulullah saw pernah ditanya tentang sesuatu perkara (amal soleh) yang paling banyak menyebabkan seseseorang masuk ke dalam syurga.”

Lalu Rasulullah saw bersabda, "Takwa kepada Allah dan akhlak yang mulia."

Dan beliau juga ditanya tentang sesuatu yang paling banyak menyebabkan seseorang masuk ke dalam neraka, lalu Beliau menjawab: "Mulut dan kemaluan." (Abu Isa berkata Sahih Gharib dan al-Albany mengatakan isnadnya Hasan)

5. Orang Yang Paling Dicintai Rasulullah Saw

Musnad Ahmad : Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru ra : Rasulullah saw bersabda, "Mahukah kalian aku khabarkan mengenai orang yang paling aku sukai dari kalian dan pada hari kiamat tempat duduknya paling dekat dengan aku?" 

Orang-orang semuanya diam, lalu Beliau mengulangi kata-katanya tersebut sampai dua atau tiga kali. 

Akhirnya mereka pun menjawab; "Mahu wahai Rasulullah." 

Rasulullah saw bersabda, "Orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian (ialah orang yang paling ku cintai dan paling dekat dengan ku pada hari kiamat)." (Sahih)

No comments